Sunday, 16 November 2014

Pilihanraya Kampus UIAM 2014: Bermula

Ramai yang bertanya kepada saya, “Tidak bertanding SRC?” Jawapan saya mudah. “Nanti dululah. Simpan dulu (hasrat itu).” Saya rasa tiada masalah bagi saya untuk bertanding dalam Pilihanraya Kampus (PRK) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Walaupun begitu, setelah menimbang beberapa perkara berkaitan, sekali lagi, saya nyatakan dengan mudah, “Nanti dululah.” Kemudianlah saya memerhatikannya semula suatu hari nanti, tapi bukan pada saat ini.

PRK UIAM, belum pun sampai pada hari mengundi (20 November) punya ceritanya yang tersendiri. Masing-masing ada ceritanya; terpulanglah untuk menyampaikannya dengan caranya. Masing-masing mahu menjadi cakna akan isu universiti sendiri. Itu sudah lebih daripada bagus. Bagi saya, itulah antara manifestasi rasa cinta kita kepada universiti.

Masih segar dalam ingatan. PRK tahun lepas menyaksikan pemecahan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP/SRC) yang dulu bersatu menjadi dua mengikut kampus: SRC Gombak dan SRC Kuantan. SRC Gombak dahulu mempunyai 19 kerusi, manakala SRC Kuantan mempunyai 13 kerusi.

PRK kali ini sudah lain ceritanya. Semuanya bermula daripada Mesyuarat ke-407 Senat UIAM. Pertamanya, seperti biasa, untuk membubarkan SRC yang lama supaya PRK dapat diadakan. Kedua, untuk melantik Pengarah Hal Ehwal Pelajar (Gombak) dan Timbalan Pengarah Kampus (Kuantan) sebagai Pesuruhjaya PRK masing-masing.

Perkara ini secara kebetulan selari pula dengan usul tergempar supaya Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) berhenti daripada menjadi Pesuruhjaya PRK, yang kemudiannya dipersetujui sebulat suara oleh Mesyuarat Agung Tahunan SRC Gombak.

Ketiga, untuk mewujudkan kerusi baharu. PRK kali ini menyaksikan pertambahan kerusi di fakulti terbesar, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan (KIRKHS). Sejak berzaman, KIRKHS hanya mendapat dua kerusi. Kali ini, ceritanya sudah baharu dan berbeza. Mesyuarat ke-407 Senat UIAM memutuskan bahawa KIRKHS layak mendapat 4 kerusi, 2 kerusi untuk wakil Ilmu Wahyu (IRK) dan 2 kerusi untuk wakil Kemanusiaan (HS).

Mesyuarat yang sama juga memutuskan untuk memberikan 2 kerusi SRC kepada fakulti terkini, Kulliyyah Bahasa dan Pengurusan (KLM), menjadikan bilangan kerusi untuk kampus Gombak bertambah kepada 23 kerusi. Di Kampus Kuantan, SRC kekal dengan komposisi 13 kerusi.

PRK kali ini, di beberapa kawasan perwakilan (konstituensi), amat mudah, terutamanya di Kuantan. Di Kuantan, 5 orang calon mewakili 3 konstituensi dikhabarkan menang tanpa bertanding; seorang calon kerusi antarabangsa dan 2 orang calon masing-masing dari Kulliyyah Pergigian dan Kulliyyah Kejururawatan. Sementara itu, di Gombak, hanya KLM yang tidak akan menyertai hari pengundian berikutan kemenangan 2 orang calonnya tanpa bertanding.

Secara ringkasnya, daripada 36 buah kerusi di kedua-dua kampus Gombak dan Kuantan, hanya 31 kerusi yang dipertandingkan, untuk disaingi oleh 53 orang calon, 39 daripadanya dari Gombak, manakala selebihnya dari Kuantan.

Pun begitu, PRK kali ini, bagi saya, sungguh mencabar. Apa tidaknya; nama-nama besar naik dalam senarai, berentap untuk menduduki SRC. Itu pun saya sedari setelah saya mengamati sendiri senarai rasmi calon-calon PRK. Nama-nama besar itu sebelum ini – bahkan sekarang ini pun – diberi taklifan untuk menjadi 'orang besar' mahasiswa universiti, seperti presiden persatuan, ahli majlis kebelakangan, wakil kolej kediaman, aktivis sosial dan politik dan sebagainya. Saya kenal mereka sebab pernah bersama mereka dalam beberapa siri mesyuarat yang berkaitan dengan tugas saya.

Sekarang, terpulang pada semua konstituen di konstituensi masing-masing untuk mengundi bagi merebut kerusi SRC. Semua konstituen akan memilih calon yang menepati citarasa mereka setelah melihat dan memahami dengan teliti aspirasi yang para calon bawakan, manifesto yang para calon tawarkan, idea yang para calon kongsikan dan gerakan yang para calon promosikan.

Semoga para calon dapat melakukan yang terbaik. Mereka disaran menarik sokongan dengan cara yang berhemah, mengamalkan persaingan sihat, berfikiran terbuka dan teliti dengan manifesto yang dibawakan dan yang akan dilaksanakan setelah diangkat ke perwakilan nanti, dan begitulah sekelumit harapan yang saya ingin lontarkan sempena PRK.

Yang lebih penting, seperti yang semua harapkan sejak berzama, semoga PRK berjalan dengan lancar, dimudahkan urusan, diterangkan kebenaran dan dikekalkan perpaduan sesama konstituen secara khasnya dan sesama kita semua amnya.

Sambil itu, secara peribadinya, ingin saya ucapkan tahniah kepada SRC terdahulu kerana telah selamat menjalankan tugas sepanjang setahun yang lalu. Terima kasih juga saya ucapkan kepada SRC atas jalinan yang dihubungkan dan atas kerjasama yang diberikan dalam memastikan UIAM kekal atas aspirasinya dan falsafahnya.

0 comments:

Post a Comment