Memperkenalkan Solihin

Saya dan Sdr. Solihin (kiri) ketika menghadiri
Kursus Latihan Pengurusan MRC CFS IIUM
kali ke-2 bagi sesi 2012/2013 di Batu 12, Gombak.

Sdr. Mohd. Solihin Che Rozali, anak jati Baling, Kedah, bukanlah yang baru dan asing bagi sebahagian daripada kita, termasuk diri saya sendiri. Bagi yang berkesempatan menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP/SRC) 2013/2014, beliau adalah Pengerusi, Jawatankuasa Penganjur (Programme Manager) Mesyuarat.

Bagi yang belum dan mahu mengenali sahabat saya yang senior ini, izinkanlah saya untuk memperkenalkan diri ini kepada beliau. Orang selalu kata, “Tak kenal maka tak cinta.” Saya mahu ubah sikit, “Tak kenal maka Taaruf.” Beliau senior saya dalam Kulliyyah Pendidikan (KOED), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM/IIUM), dengan beza satu semester.

Saya mula mengenali beliau sejak suku ketiga tahun 2012. Waktu itu, saya baru sahaja mendaftar sebagai pelajar Asasi Bahasa dan Kesusasteraan Arab, UIAM. Dalam erti kata lain, saya baru mahu bertatih di alam UIAM. Waktu itu jugalah, saya baru sahaja dilantik oleh Pusat Asasi (CFS), UIAM, sebagai Penolong Setiausaha, Jawatankuasa Perwakilan Mahallah (MRC) Abu Bakar. Beliau, pada masa yang sama, turut dilantik menganggotai MRC Umar al-Khattab – Fatimah az-Zahra (UMAFZ) sebagai Ketua Biro Dakwah dan Tarbiyyah. Kami sama; kami dulu bersama MRC.

Satu yang saya tidak dapat lupakan adalah ketika Program Baktisiswa Tempatan (LOCUS). Pada tahun 2013, MRC UMAFZ diberi hak untuk menganjurkan LOCUS 2013 di Sekolah Menengah Agama al-Irsyadiah, Marakau, Ranau, Sabah. Kami sama; kami dulu sama-sama dalam LOCUS 2013. Saya mengetuai Biro Penajaan, manakala beliau mengetuai Biro Persediaan dan Teknikal.

LOCUS 2013, bagi kami dan setiap yang pernah menyertainya adalah kenangan terindah. Bertandangnya kami ke sana tidak setakat untuk memberikan suatu sinar harapan agar mereka terus melangkah ke hadapan tanpa rasa takut dan gentar, tetapi juga untuk menikmati keindahan alam, kebesaran Ilahi.

Beliau tidak setakat menganggotai MRC sahaja, tetapi juga, beliau turut menyertai Kelab Debat Bahasa Arab (ADC) secara aktif. Pada zaman Sdr. Muhammad Hafizzudin Zakaria menerajui ADC, beliau merupakan Ketua Pertandingan. Jikalau beliau sebutkan bahawa beliau pernah menyertai Pertandingan Debat Bahasa Arab antara Kelas Maharat Kalam (Inter Maharat al-Kalam Debating Championship), saya boleh sahkan.

Kami tidak setakat bersama di persatuan sahaja. Kami turut bersama dalam kelas akademik. Pada Semester 2 Asasi, 2013/2014, saya bersama beliau menjadi rakan sekelas bagi mata pelajaran Pemikiran Kritis dan Kreatif (CCT). Tidak setakat beliau, tetapi beberapa orang lagi sahabat beliau dari kalangan pelajar Asasi Ilmu Wahyu, yang mana sebahagian daripada mereka kini sudah bersatu kembali di KOED.

Apabila saya menyertai KOED pada Februari yang lalu, saya boleh katakan yang kami bersatu kembali. Selama ini, kami sudah bersama di MRC, di kelas CCT hatta ketika menyertai Debat Bahasa Arab di CFS dahulu. Di KOED sahaja, saya berpeluang menjadi rakan sekelas bagi beberapa subjek, termasuklah beberapa orang lagi yang punya kaitan yang sungguh sama, terutamanya Sdr. Hasyim Nawwaf Mohd. Mokhtar.

Di KOED, beliau memilih untuk aktif bersama Biro Penerbitan dan Penerangan, Persatuan Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (BEDSA) dan bersama Sekretariat Kebajikan, SRC. Saya tidak berapa tahu apa-apa yang beliau lakukan selama itu. Namun, saya yakin dan percaya, beliau telah banyak menyumbang dalam kedua-duanya dengan caranya yang tersendiri. Beliau adalah orang yang mengasaskan Edu Pena IIUM, suatu platform untuk menggalakkan warga KOED untuk meluahkan pendapat dan mempersembahkan bakat melalui medium penulisan.

Secara keseluruhannya, saya boleh simpulkan semua cerita ini menerusi beberapa pandangan yang menjadi terma rujukan saya.

  1. Beliau mempunyai rekod cemerlang dan setara dalam bidang akademik, kokurikulum, sahsiah dan kepimpinan.

  2. Beliau punya hasrat untuk menjanakan semula aspirasi dan falsafah universiti secara dalaman mahupun luaran, khususnya yang berkaitan dengan mahasiswa.

  3. Beliau berjaya membina hubungan baik dengan pelbagai pihak dalam usaha mengekalkan mesej perpaduan dan persaudaraan sesama insan.

Lanjutan daripada itu semua, beliau melangkah setapak ke hadapan lagi. Beliau menjadi salah seorang daripada 4 orang calon Pilihan Raya Kampus (PRK) UIAM Gombak bagi merebut 2 kerusi KOED. Setelah mengamati terma rujukan tersebut, pada hemat saya, beliau patut dan harus diberi peluang oleh majoriti konstituen KOED untuk mewakili KOED dalam SRC.

Dengan saranan yang saya berikan – sekadar atas nama diri-sendiri, dan dengan manifesto yang beliau bawakan, juga berdasarkan kepada pengalaman kebelakangan, saya yakin, apabila beliau menganggotai SRC, beliau mampu merealisasikan hasratnya bahawa “suara anda adalah tanggungjawab saya”.

Comments

  1. Salam. Boleh saya minta saudara kongsikan sedikit tentang perkembangan beliau yang terkini.

    ReplyDelete

Post a Comment