Debat Maal Hijrah 1436: Lembaran Baru dalam Sejarah Debat Bahasa Arab di Malaysia

Ketika mengalu-alukan warga Debat Maal Hijrah 1436
di Auditorium Utama, UIAM Gombak
(Foto: IIUM Munazarah)

Saya mulakan dengan memohon berbanyak keampunan daripada Allah SWT, dan kemaafan daripada semua atas segala kesalahan dan kelemahan selama ini. Saya tidak lain dan tidak bukan hanyalah insan biasa, seperti kalian, yang diciptakan dengan kelemahan, walaupun diciptakan dalam keadaan yang sebaik-baiknya. Walaupun begitu, saya kekal dengan azam saya – mudah-mudahan Allah permudahkannya – untuk senantiasa memperbaiki diri sendiri dari semasa ke semasa.

Kedua, saya ingin menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada semua atas kepercayaan dan pengertian yang telah diberikan sepanjang berlangsungnya Kejohanan Debat Bahasa Arab antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sempena Maal Hijrah 1436 (Debat Maal Hijrah 1436), pada 31 Oktober hingga 3 November 2014 di UIAM, Gombak, Selangor. Tanpa kepercayaan dan pengertian, tidak mungkin Debat Maal Hijrah 1436 menjadi kenyataan.

Ketiga, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada kesemua 71 pendebat daripada 18 pasukan yang mewakili 11 IPT atas kejayaan menyertai Debat Maal Hijrah 1436; lebih-lebih lagi kepada yang telah menjadi johan dan naib johan kategori terbuka dan kategori Bahasa Arab sebagai Bahasa Kedua (ASL), pendebat terbaik keseluruhan kategori ASL dan pendebat terbaik peringkat akhir bagi kedua-dua kategori. Semoga rekod berwarna-warni seperti ini menjadi penyuntik semangat untuk meneruskan legasi debat bahasa Arab peringkat universiti di Malaysia, amnya, dan di IPT masing-masing, khasnya.

Ucapan yang sama ingin saya tujukan kepada semua pegawai dan rakan-rakan mahasiswa yang mengganggotai Jawatankuasa Induk dan Pelaksana Debat Maal Hijrah 1436. Kita, atas nama UIAM, telah membuktikan bahawa UIAM berjaya menaja dan menjayakan satu-satunya pertandingan debat bahasa Arab antara IPT di Malaysia bagi tahun 2014. Sesungguhnya penganjuran Debat Maal Hijrah 1436 telah membuktikan kepada semua bahawa UIAM masih gah di persada negara dalam bidang debat dan pengucapan awam bahasa Arab.

Siaran "Assalamualaikum" terbitan TV al-Hijrah
mengenai Debat Maal Hijrah 1436

Penghargaan juga secara peribadi ingin saya sampaikan kepada semua penaja, penyumbang dan rakan media yang membantu, menyumbang dan menaja Debat Maal Hijrah 1436, termasuklah Permodalan Nasional Berhad, Lembaga Zakat Selangor, Malaysia Milk Sdn. Bhd., Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Al-Hijrah Media Corporation (TV al-Hijrah) dan Akhbar al-Atheer. Sumbangan dan tajaan yang diberikan memungkinkan Debat Maal Hijrah 1436 berjaya direalisasikan.

Untuk pengetahuan, inilah kali pertama saya menyertai Debat Maal Hijrah 1436 yang dianjurkan oleh Kelab Debat dan Pengucapan Awam Bahasa Arab UIAM (IIUM Munazarah) atas nama UIAM secara keseluruhan. Saya diberikan tanggungjawab menganggotai Biro Penghakiman dan Penjadualan Pertandingan (Tabulation and Adjudication Bureau) bersama lagi 8 orang yang bersama saya sebagai ahli jawatankuasa; yang mana 2 orang daripada kami bertugas secara jangka pendek, manakala seorang lagi bertugas secara sementara.

Pada dasarnya, saya dilantik mengetuai kumpulan tersebut. Agar pembahagian tugas dan tanggungjawab lebih jelas, salah seorang ahli jawatankuasa saya dipilih menjadi Penguasa Penjadualan (Tabulation Master) yang bertanggungjawab secara langsung terhadap urusan penjadualan pertandingan sepanjang berlangsungnya pertandingan. Saya, sebagai ketua kumpulan, secara tradisinya dan secara automatiknya menjadi Setiausaha Jemaah Hakim. Tugas saya banyak kepada urusan sebelum pertandingan berlangsung.

Walaupun saya diberi kesempatan untuk Debat Maal Hijrah kali ini, saya tidak mendapat apa-apa kesempatan untuk bertugas dalam Debat Maal Hijrah edisi yang lepas memandangkan acara tersebut diadakan pada waktu cuti pertukaran. Pun begitu, saya ada sesuatu saya sumbangkan kepada Debat Maal Hijrah yang lepas. Saya, ketika menerajui Kelab Debat Bahasa Arab, Pusat Asasi UIAM, telah mewakilkan Naib Presiden saya ketika itu untuk menganggotai Biro Penghakiman dan Penjadualan Pertandingan. Beliau adalah satu-satunya wakil Pusat Asasi UIAM yang menjadi petugas kejohanan.

Secara keseluruhannya, saya melihat bahawa Debat Maal Hijrah 1436 berjaya membawa nafas baru dalam arena debat dan pengucapan awam bahasa Arab di Malaysia. Sesuai dengan objektifnya, “untuk menggiatkan lagi pembudayaan debat bahasa Arab,” rata-rata pasukan telah menunjukkan peningkatan dan penambahbaikan di tahapnya yang signifikan. Peningkatan prestasi didorong oleh banyak faktor, tidak setakat kepada latihan intensif berterusan dan strategi yang efisien, bahkan juga peningkatan mutu penyampaian dan amalan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).

Perkara ini dikuatkan pula oleh pembawaan usul-usul perdebatan yang berwajah baru bertepatan dengan matlamatnya, “untuk menyedarkan belia terhadap isu-isu ekonomi, politik dan sosial yang membawa impak kepada umat Islam, khususnya, dan kepada dunia, amnya, melalui arena perdebatan.” Perkara ini selaras dengan piawaian yang ditetapkan, agar semua usul perdebatan bersifat boleh diperdebatkan (debatable), logik, relevan dan terkini (up-to-the-minute). Mesyuarat Jemaah Hakim Kejohanan pada 17 Oktober memutuskan untuk memilih 12 daripada 68 usul yang dicadangkan, berdasarkan kepada keperluan debat untuk membincangkan pelbagai isu.

Buat pertama kali, Jemaah Hakim Kejohanan bersetuju agar Kejohanan menerima usul bertemakan kebudayaan dan kesenian, pertama kali dalam sejarah debat bahasa Arab antara IPT di Malaysia. Usul berbunyi, “Dewan ini percaya bahawa filem Malaysia memerlukan reformasi,” diterima sebagai usul debat peringkat saringan. Usul ini disyorkan melihat kepada keadaan bidang perfileman di Malaysia yang memerlukan kepada penambahbaikan dan pembaharuan.

Seperkara yang menarik perhatian di sini apabila usul-usul yang bersifat amat baharu berjaya diangkat oleh Jemaah Hakim Kejohanan untuk diperdebatkan. Usul berkaitan dengan penganiayaan orang kurang upaya (OKU) dan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April 2015 diangkat tepat pada masanya, sebagai memberikan ruang dan peluang kepada masyarakat penutur bahasa Arab untuk melontarkan pandangan dan saranan terkait perkara-perkara tersebut.

Kehadiran pasukan-pasukan baru menambah lagi seri Debat Maal Hijrah itu sendiri. Bagi saya, ini suatu pencapaian yang membanggakan. Rentetan itu, saya sarankan agar IPT lain yang masih belum menyertai mana-mana pertandingan debat bahasa Arab antara IPT supaya meneladani usaha IPT berkenaan. UIAM melalui IIUM Munazarah sedia membantu jika ada IPT yang memerlukan asas yang kukuh dalam bidang debat bahasa Arab.

Seperkara lagi yang menambahkan seri kejohanan ini adalah kewujudan johan dan naib johan baru. Walaupun UIAM berjaya mengekalkan kejuaraan bagi kategori terbuka, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) muncul sebagai johan baru bagi kategori ASL. Naib johan pula disandang oleh Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) bagi kategori terbuka, dan Universiti Malaya (UM) bagi kategori ASL. Hal ini menunjukkan bahawa Debat Maal Hijrah 1436 telah merekodkan persaingan yang sihat dan saksama. Kesimpulannya cukup mudah: Allah Maha Adil. Allah tidak pernah tidak adil. Keadilan hendaklah dan akan selalu menang.

Tidak menang secara kolektif tidak bermakna tidak ada kemenangan secara individu. Atas kesedaran itu, seperti amalan biasa, Debat Maal Hijrah 1436 mengiktiraf rekod pendebat secara peribadi. Rekod menunjukkan sebanyak 52.11% pendebat menyertai semua pusingan saringan debat. Daripada jumlah itu, sebanyak 56.75% pendebat berjaya menunjukkan prestasi keseluruhan yang membanggakan. Pendebat-pendebat inilah, pada hemat saya, yang berpotensi, pada masa hadapan, untuk melahirkan perintis debat bahasa Arab yang baru di IPT masing-masing, yang kelak akan menyumbang kepada peningkatan prestasi debat bahasa Arab secara keseluruhan tahun demi tahun. Ini suatu pencapaian yang membanggakan. Kalau boleh, untuk edisi yang akan datang, kita ingin melihat lebih ramai lagi yang mampu menyumbang kepada rekod yang sebegini rupa.

Debat Maal Hijrah 1436 telah merekodkan sejarahnya. Debat Maal Hijrah 1436 tidak akan menjadi kenyataan melainkan dengan kehadiran setiap individu dan organisasi yang sudi bersama berganding bahu, menyinsing lengan, membanting tulang empat kerat, memikul yang berat dan menjinjing yang ringan bersama-sama menghadapi pelbagai cabaran berliku untuk melihat sejarah debat bahasa Arab di Malaysia ditulis di lembaran baharu yang berwarna-warni. Kehadiran setiap daripada mereka dan kita punya makna. Oleh sebab itu, sebagai pengakhiran, dua ayat yang mudah lagi bermakna untuk diungkapkan: Terima kasih, Allah; Terima kasih, semua, kerana menjadikan hasrat ini suatu realiti.

Comments