1436 Hijrah: Memperingati Hijrah, Memaknakan Perpaduan

Masih belum terlewat lagi untuk memperingati Tahun Baru 1436 Hijrah. Tiadalah pula istilah terlewat jika ingin pula memperingati Hijrah itu sendiri. Barangsiapa yang berkata bahawa Hijrah hanya harus diperingati pada awal tahun Hijrah ataupun setakat pada bulan Muharram semata-mata, kenyataan ini tidak harus diterima. Mesej Hijrah, walaupun bersifat lebih semasa dan terkini pada bulan Muharram setiap tahun Hijrah, mesej itu tetap bersifat relevan sepanjang zaman, sama seperti nilai-nilai murni yang lain.

Setiap tahun, kita akan menyambut Maal Hijrah – bersama berhijrah, maksudnya secara literal. Setiap tahun, kita akan berhimpun, melagukan ucap selamat datang buat Baginda SAW ketika tiba di Madinah dari Makkah, mendengar ceramah hijrah, meraikan tokoh Maal Hijrah. Itu semua hanyalah adat yang sudah menjadi kebiasaan. Soalannya, sekadar mengingatkan diri dan semua, sejauh mana kita sudah mempraktikkan erti sebenar Hijrah?

Hijrah memerlukan kita untuk memperbaharui diri dari semasa ke semasa ke arah yang lebih baik. Tidak perlu pembaharuan secara drastik. Sedikit demi sedikit pun sudah mencukupi, dikira ada daripada tiada. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Sehari sehelai benang, lama-lama menjadi kain. Bukankah begitu? Pun begitu, Hijrah tidak akan menjadi realiti jikalau kita usahakannya sendiri-sendiri. Fungsi orang lain, terutamanya yang bertindak sebagai agen penyokong amatlah penting dalam usaha merealisasikan erti Hijrah.

Saya tertarik dengan tema 1436 Hijrah, “Perpaduan Nadi Transformasi Negara”. Tema ini seperti mengulangi slogan-slogan bersifat Hijrah dan kemerdekaan tahun-tahun sudah, seolah-olah tiada lagi nilai murni yang ingin diterakan. Sungguhpun begitu, tidak mengapa, kerana mesej ini masih terpakai mengikut masa dan keperluan semasa.

Datangnya mesej ini kerana memahami hakikat, betapa sebahagian daripada masyarakat kita terlalu meraikan perbezaan mengatasi perpaduan. Hal itu semua pula kerana setiap manusia berhak ke atas semua hak asasi manusia. Perkara ini cukup membimbangkan; boleh jadi perkara ini membawa pula kepada krisis sosial yang cukup kritis di masa hadapan. Sedangkan pada hari ini, kita telah menyaksikan banyak krisis, terutamanya krisis sosial, yang wujud di pandangan; di masa hadapan apatah lagi.

Benar, setiap insan punya hak asasinya – hak untuk bersuara, hak untuk berhimpun, hak untuk berpersatuan dan banyak lagi. Rasulullah SAW sudah menjanjikan hak-hak itu semua sejak berkurun lamanya. Baca Piagam Madinah yang mengasaskan hak asasi manusia itu semua. Namun, hak-hak asasi yang diberikan kepada manusia bukanlah lesen untuk meletakkan perbezaan melebihi perpaduan.

Setiap kita, sekalipun ada persamaan, tidak dapat lari daripada perbezaan secara individu mahupun secara kolektif. Perbezaan sesama kita di pelbagai sudut dan ketika sudah menjadi hakikat. Soalan besar untuk kita pada hari ini adalah kemampuan kita untuk menguruskan perbezaan itu tanpa sedikitpun menodai erti perpaduan yang sepatutnya, tanpa pula menjejaskan persamaan yang ada.

Yang Islam ajarkan adalah untuk bersatu. Firman Allah SWT, “Berpegang teguhlah kamu pada tali Allah dan janganlah kamu berpecah-belah.” (Surah Ali Imran, ayat 103). Perpaduan pula perlulah diraikan mengikut hak yang sepatutnya seperti yang Islam telah ajarkan sekian lama. Hakikatnya, macamana sekalipun kita sama dan kita berbeza, perpaduan yang akan selalu menang.

Kembali kepada tawarikh Islam. Banyak sejarah membuktikan bahawa perpaduan sentiasa mencapai kemenangan di tahapnya yang sungguh tersendiri. Oleh itu, raikanlah persamaan, hormatilah perbezaan, semarakkanlah perpaduan. Banyak sejarah, lebih-lebih lagi Sirah Nabawiyyah, telah membuktikan betapa masyarakat hidup dalam aman dan bahagia kerana perpaduan.

Dalam pada itu, tidak cukup rasanya apabila mesej perpaduan setakat “Perpaduan Nadi Transformasi Negara”. Secara nasionalnya, benar, sesebuah negara hanya akan berjaya jika sesebuah negara dapat mempraktikkan perpaduan. Namun demikian, perpaduan tidak boleh dipandang pada konteks nasional semata-mata.

Dalam nada yang berbeza, perpaduan itu sudah merentasi kepercayaan agama, budaya bangsa, warna kulit, fahaman politik dan pengamalan falsafah. Islam berjaya membuktikan ini semua dalam Negara Madinah, lebih 15 kurun yang sudah. Madinah, ketika itu, adalah sebuah negara yang berjaya kerana perpaduan yang merentasi itu semua. Bacalah sejarah kerana, “Barangsiapa yang tidak mempelajari sejarah, pasti ia akan mengulanginya,” kata George Santayana.

Islam itu indah. Islam itu mudah. Begitulah perpaduan. Perpaduan akan bersifat indah dan mudah sekiranya disertai dengan rasa kasih sayang. Tanpa kasih sayang, mana mungkin perpaduan akan menjadi realiti. Mafhumnya, perpaduan dan kasih sayang hendaklah sentiasa bersama di setiap tempat dan pada pelbagai ketika. Kasih sayang, dalam hal ini, bukanlah pada cinta seorang lelaki dan seorang wanita sahaja. Kalau inilah makna kasih sayang, nescaya makna perpaduan tidak akan dijumpai.

Belajar daripada al-Quran, kalam Allah yang mengabadikan kasih sayang Rasulullah SAW dengan para sahabat Baginda. “Muhammad itu Pesuruh Allah. Setiap yang bersama Baginda itu tegas ke atas orang-orang kafir, dan berkasih sayang sesama mereka.” (Al-Quran, 48:29) Tidak ada kasih sayang sesama manusia yang Allah abadikan dalam al-Quran melainkan kisah ini. Ayat itu sudah cukup untuk menjelaskan betapa perpaduan harus disertai dengan kasih sayang sesama manusia.

Oleh itu, marilah mengambil iktibar, betapa hijrah memerlukan kita untuk sentiasa memperbaharui diri semampu yang mungkin, sama ada usaha ini dilakukan secara individu mahupun secara berkelompok. Pada masa yang sama, hijrah menuntut kita untuk sentiasa meraikan perpaduan sesama kita tanpa mengira masa dan ketika, dan meraikan kasih sayang yang akan sentiasa menyemarakkan perpaduan dan kesejahteraan.

Tanpa itu semua, mana mungkin kita akan mencapai kejayaan di tahap yang kita impikan. Sebab itulah, untuk zaman-berzaman, kita kini memerlukan kepada hijrah, perpaduan dan kasih sayang. Mudah-mudahan, dengan usaha sebegini, walaupun amatlah kecil, Allah akan restui kita semua dengan rahmat, keampunan dan kasih sayangNya.

Comments