Zulhijjah: Berkorban Demi Cinta

Zulhijjah

Bulan Zulhijjah setiap tahun Hijrah dengan ibadah haji tidak dapat dipisahkan sama sekali. Maklumlah, nama bulan Zulhijjah itu sendiri memberi isyarat bahawa bulan tersebut dikhaskan untuk ibadah haji sahaja. Tiada bulan lain dikhaskan untuk haji melainkan bulan Zulhijjah.

Jikalau bulan Zulhijjah dengan ibadah haji tidak dapat dipisahkan, bulan Zulhijjah dengan pengorbanan apatah lagi. Pengorbanan yang cukup menduga pada zaman dahulukala menjadi pengajaran di masa kini hingga ke saat akhirnya. Begitulah pengabadiannya sehingga wujudnya sambutan Hari Raya Aidiladha pada 10 Zulhijjah.

Berkorban Demi Cinta

Mengertilah, betapa pengorbanan cukup berat sifatnya. Tidak semua orang mampu menanggung beban pengorbanan. Seberat mana pun pengorbanan, kita perlu menerima. Yang boleh meringankan sedikit berat pengorbanan itu hanyalah iman yang teguh lagikan utuh. Lebih daripada itu, pengorbanan hendaklah disertai dengan rasa cinta yang mendalam. Tanpa cinta, pengorbanan seakan menjadi sia-sia.

Sejarah menuliskan peristiwa demi peristiwa pengorbanan. Dari itu semua, kita cuba untuk menerima hakikat, betapa mereka berjuang dan berkorban kerana mencintai apa-apa yang dikehendakinya. Belajar daripada Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda yang saling mencintai sesama mereka. Mereka sanggup berkorban, tinggalkan segala-galanya kerana cinta mereka yang amat menebal terhadap Islam.

Haji dan Aidiladha

Begitulah; sudah menjadi impian umat Islam untuk mengerjakan haji (dan umrah) di Tanah Suci Makkah dan Madinah. Mengapa tidak? Haji itu rukun Islam yang kelima, bukan? Namun, hanya mereka yang berkemampuan dan yang diberikan kesempatan dapat mengerjakannya. Begitu juga dengan ibadah korban pada Hari Raya Aidiladha yang berlanjutan sehingga Hari-hari Tasyrik. Ramai sahaja yang boleh dan ingin mengerjakan haji mahupun menunaikan ibadah korban pada tahun ini, namun belum diberikan kekuatan dan kesempatan.

Setiap halangan itu pasti ada sebabnya. Terhalang bukanlah alasan untuk berputus asa. Marilah kita redha dan sabar dengan segala takdirNya. Yakinlah; suatu masa nanti, kita akan diizinkan oleh Allah SWT untuk menunaikan ibadah-ibadah tersebut, InsyaAllah. Yang penting, kita berusaha untuk mencapainya kerana sudah menjadi resam, Allah memandang usaha, bukannya hasil daripada usaha itu.

Buat setiap yang menjadi tetamu Allah SWT pada tahun ini, kita doakan; semoga Allah SWT mengurniakan mereka haji yang mabrur. Buat setiap yang akan menunaikan ibadah korban nanti, kita doakan; semoga Allah SWT menerima ibadah korban kita.

Belajar Menghayati

Sama ada kita berada di Tanah Suci Makkah dan Madinah untuk mengerjakan haji mahupun berada di tanah air juga di perantauan untuk meraikan Hari Raya Aidiladha, kita akan tetap diingatkan dengan satu mesej murni: Pengorbanan, yang sesungguhnya tidak dapat dipisahkan daripada kamus kehidupan kita semua. Kehidupan memerlukan kita untuk berkorban. Kehidupan tanpa pengorbanan tiadalah bererti.

Bacalah sejarah kerana dalam sejarah, terkandung peristiwa dan makna pengorbanan. Kata George Santayana, “Barangsiapa yang tidak mempelajari sejarah, pasti dia akan mengulanginya.” Sayang seribu kali bahkan sejuta kali sayang apabila ramai dalam kalangan kita pada hari ini telah melupai sejarah. Lebih menyedihkan lagi, ada dalam kalangan kita yang langsung tidak mengambil inisiatif untuk mengabadikan sejarah dalam diri mereka sama ada secara mengingatinya semula mahupun menghayatinya.

Sejarah Agung

Belajar daripada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail AS. Nabi Ibrahim AS diperintahkan oleh Allah SWT untuk mengorbankan Nabi Ismail AS setelah bermimpi yang sama berkali-kali. Nabi Ismail AS, tanpa berkira, akur dengan kehendak ayahanda baginda untuk menuruti perintah Allah. Begitulah tingginya ketaatan dan kuatnya keimanan baginda berdua. Rentetan itu, Allah SWT menggantikan Nabi Ismail AS dengan seekor kibas untuk dikorbankan. Kibas itu pula diriwayatkan meminta kepada Allah SWT supaya dapat berkorban untukNya.

Peristiwa ini sungguh meninggalkan mesej yang cukup menyentuh minda dan jiwa kita semua. Bayangkan; sekiranya manusia mengorbankan manusia sendiri, pasti populasi manusia di dunia akan berkurangan. Namun, Allah tidak memerintahkan sebegitu. Betapa kasihnya Allah SWT terhadap hamba-hambaNya apabila Allah SWT memerintahkan supaya yang dikorbankan itu binatang ternakan yang kalangan al-Anaam supaya kita dapat makan daripada rezeki Allah yang halal lagi diredhai.

Dalam pada itu, ibadah korban sebenarnya mengajar kita, betapa kita perlu mengekalkan – bahkan meningkatkan – nilai ketaqwaan kita ke hadratNya. Hal ini demikian kerana, dalam ibadah korban, yang sampai kepada Allah SWT bukanlah darah dan daging binatang yang dikorbankan. Yang sampai kepadaNya adalah rasa taqwa kita kepadaNya. Al-Quran jelas menyentuh perkara ini.

Rentetan Sejarah Agung

Sejarah itu memungkinkan pengorbanan berkesinambungan sepanjang zaman. Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda juga telah banyak berkorban bagi memastikan bahawa syiar Islam tersebar di serata dunia. Mereka semua tidak pernah berkira dalam mengorbankan harta benda dan jiwa raga. Semua pengorbanan yang mereka tunjukkan, tidak lain dan tidak bukan, adalah kerana Allah SWT dan demi kelestarian Islam. Pengorbanan mereka semua membolehkan Islam tersebar hingga ke serata dunia. Malaysia adalah antara negara yang mendapat kesan hasil perjuangan para pejuang Islam.

Sejarah Malaysia sendiri telah menuliskan pengorbanan. Setakat sejarah putih Kesultanan Melayu Melaka pada kurun ke-13 dan sejarah hitam 446 tahun penjajahan tanah air oleh kuasa-kuasa asing sejak 1511 tidak mencukupi. Seolah-olah mereka yang di zaman pra-Merdeka sahaja yang berjuang. Walaupun Malaysia sudah merdeka pada 31 Ogos 1957 dan sudah ditubuhkan pada 16 September 1963, masih ada lagi yang turun ke lapangan atas nama perjuangan. Jangan fikir tiada apa-apa yang menggugat di kala negara menikmati kedamaian.

Ingatlah, betapa ramai dalam kalangan kita telah mendahului kita dalam perjuangan atas nama pengorbanan untuk agama dan negara. Sebahagian daripada mereka telah pulang ke pangkuan Yang Maha Esa buat selamanya. Ya, mereka itulah yang menentang perseteruan, menuntut keadilan, merindukan kedamaian, menyeru kebebasan dan mengimpikan kestabilan.

Kita Diperlukan

Belajarlah daripada mereka. Kita hayati tawarikh kehidupan mereka. Kita renungi pengorbanan mereka. Kita hargai sumbangan mereka. Kita teladani kebaikan mereka. Biarlah sejarah mereka bersifat cukup peribadi; namun memiliki pengajaran dan teladan yang bersifat universal.

Dari itu, kita akan sedar betapa kita masih diperlukan untuk meneruskan pengorbanan dengan cara kita sendiri. Lihatlah, betapa pengorbanan kita semua membolehkan Islam terus memayungi negara kita. Lihatlah, betapa pengorbanan kita semua membolehkan negara terus membangun dengan pesat. Lihatlah, betapa pengorbanan kita semua membolehkan negara kita terus berdaulat dan merdeka.

Namun begitu, kita jangan lupa; betapa saudara-saudara kita di luar Malaysia sedang sibuk meneruskan perjuangan untuk membebaskan negara mereka daripada penjajahan dan kezaliman. Janganlah jua kita lupa betapa kita semua diperlukan untuk membantu mereka meneruskan perjuangan yang suci.

Palestin, meski diiktiraf sebagai sebuah negara, masih berada di bawah cengkaman Israel. Mujur dan syukur, Palestin tetap teguh kerana dicintai oleh ramai negara sahabat. Beberapa buah negara Islam pula, seperti Mesir dan Syria, dipayungi pemerintahan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan. Tidak kurang juga, ada negara Islam yang menyaksikan pertelingkahan sesama saudara; hilang rasa kekitaan dalam kalangan mereka; tergadai maruah negara, tercalar dipandang di mata dunia.

Mereka semua harus dibantu dengan semangat kita yang ingin berkorban. Kita sudah tentu tidak mampu untuk bersama mereka, menghunus senjata, memerangi musuh yang sangat kejam. Namun, apabila kita memahami erti pengorbanan, sekurang-kurangnya kita akan membantu mereka; jikalau bukan dengan harta, dengan doa sudah mencukupi.

Memperingati Jasa dan Sumbangan

Di kesempatan ini, saya mengajak diri saya dan semua untuk memperingati betapa diri kita dan setiap yang berada di sekeliling perlu hidup dalam suasana memahami dan menghayati erti pengorbanan. Mungkin ada benarnya sekiranya kita – sebagai seorang yang dipimpin dan memimpin – menuliskan pengorbanan kita terhadap orang lain dengan cara yang signifikan. Namun, di sini kita diperingatkan; kita sedang dan masih hidup berbantukan pengorbanan orang lain.

Ingin sekali saya mengajak diri saya dan semua memperingati beberapa peristiwa.

PERTAMA, betapa ayahbonda dan sanak-saudara kita banyak berkorban mengasuh dan membesarkan kita demi memastikan kita menjadi insan yang berguna di masa muka berbantukan hidayah Allah SWT.

KEDUA, betapa para guru kita banyak berkorban demi memastikan bahawa ilmu yang mereka ajarkan sampai di akal dan di dada kita dalam keadaan diredhai oleh Allah SWT.

KETIGA, betapa para sahabat kita banyak berkorban demi memastikan persaudaraan dan persahabatan berkekalan dalam kerestuan Allah SWT.

Pendek kata, dalam pada kita berkorban – menyumbang harta, tenaga dan buah fikiran – kepada yang lain, kita jua sedang hidup aman dan selesa hasil pengorbanan orang lain yang mendahului kita.

Terima Kasih

Buat setiap yang telah, pernah dan masih berkorban dalam kehidupan; lihatlah, betapa pengorbanan kalian semua amat bererti buat setiap kami yang merasainya. Terima kasih yang tidak terhingga kami ucapkan atas jasa dan sumbangan kalian dalam pelbagai perkara yang bermanfaat dan berguna di pelbagai tempat dan ketika.

Kami semua – sesungguhnya – belajar daripada sumbangan dan perjuangan orang lain; sehingga kami diberi peluang untuk turut berkorban bersama. Kami, di masa mendatang, berazam untuk mengerah diri kami secara fizikal, mental dan spiritual untuk bersama berjuang dan berbakti. Semoga Allah SWT menerima amalan dan pengorbanan kita semua; dan semoga Allah SWT terus memberikan kekuatan untuk meneruskan perjuangan.

Buat setiap insan yang telah pergi mendahului kita, terutamanya yang terkorban di medan perjuangan, kita doakan, semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh mereka dan menempatkan mereka bersama para Syuhada.

Di kesempatan ini, saya menyusun sepuluh jari memohon keampunan dan kemaafan atas salah silap dan dosa saya selama ini. Sesungguhnya saya – seperti kalian – tidak dapat lari daripada melakukan dosa. Namun begitu, saya berazam untuk memperbaiki diri di masa yang akan datang.

Di penghujung, saya menyeru diri saya dan semua; betapa erti pengorbanan bukanlah untuk dikhaskan dan disempitkan kepada satu perspektif pada satu waktu sahaja. Pengorbanan akan berterusan di pelbagai tempat dan ketika. Oleh hal yang demikian, kita diperlukan untuk melengkapkan dan meneruskan perjuangan dengan mempraktikkan pengorbanan.

Di mana-mana pun kita berada, dan walau apa pun yang terjadi, saya mohon; kita terus bersama.

Semoga Allah merestui kita semua dengan rahmat, keampunan dan kasih sayangNya.

Comments