Aidiladha: Bukan Dirimu yang Salah

Suasana selepas Solat Sunat Aidiladha
di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM Gombak
Sudah menjadi kebiasaan; asal tiba sahaja Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha, bahkan perayaan lain sekalipun, hampir semua dari kalangan kita akan pulang ke kampung halaman masing-masing. Yang kekal hanyalah segelintir – penjawat awam dan pekerja swasta yang punya tanggungjawab meneruskan amanahnya, dan warga asing.

Sepatutnya, saya menulis mengenai perkara ini pada 14 Zulhijjah Namun, sengaja saya menulis lebih awal daripada yang sepatutnya (13 Zulhijjah, malam) kerana 13 Zulhijjah bagi saya sudah tiada apa-apa lagi. Tiada apa-apa lagi yang tersisa di sini melainkan erti pengorbanan.

Secara resamnya, saya sepatutnya meraikan Hari Raya Aidiladha bersama sanak-saudara di Kluang, Johor, walaupun tiada ibadah korban dilaksanakan. Kerana ada halangan, saya terpaksa melawan arus, membelakangi resam yang sepatutnya. Buat pertama kali, saya berseorang diri meraikan Hari Raya Aidiladha di UIAM Gombak; berjauhan daripada keluarga (di Tuaran) dan sanak-saudara (yang berkumpul di Kluang).

Saya tidaklah sedih untuk menyambut Hari Raya Aidiladha seorang diri di UIAM Gombak. Selama ini, walaupun diri ini sangatlah memerlukan kepada peneman, terutamanya sahabat sejati, saya lebih memilih untuk bersendiri sejak di bangku sekolah lagi. Dengan bersendiri, saya merasai kebebasan untuk menyusunatur aktiviti-aktiviti harian.

Yang sedihnya adalah apabila saya menyambutnya bersama orang yang selain dari kalangan keluarga dan sanak-saudara. Saya hanya mampu tersenyum dalam duka apabila ramai yang pulang ke kampung untuk berhari raya dan beristirahat sempena Cuti Pertengahan Semester. Yang tinggal di UIAM Gombak hanyalah warga antarabangsa dan segelintir warga tempatan.

Pun begitu, kesedihan sudah sedikit terubat apabila UIAM mengadakan sambutan Hari Raya Aidiladha dengan penuh meriah. Pagi raya di UIAM Gombak tiada bezanya dengan pagi raya di tempat lain. Yang membezakan hanyalah takbir raya yang dipelbagaikan dan suasana persaudaraan.

Ibadah Korban di UIAM Gombak
Saya cukup gembira apabila menerima dan memberikan semula ucapan tahniah sesama jemaah masjid pelbagai bangsa dan rupa, seolah-olah saya berada di bumi asing; dan seolah-olah mereka semua sahabat saya. Lebih menggembirakan lagi adalah apabila Pejabat Hal Ehwal Antarabangsa (IAD), UIAM mengadakan jamuan sepanjang hari sempena meraikan Aidiladha, di samping ibadah korban anjuran Masjid Sultan Haji Ahmad Shah (SHAS) yang melibatkan 21 ekor lembu sumbangan pelbagai pihak.

Secara tuntasnya, Hari Raya Aidiladha di UIAM Gombak sungguh meriah! Jikalau saya pulang ke kampung, belum tentu saya dapat merasai kemeriahan sambutan sebegitu rupa. Walaupun berjauhan daripada keluarga dan sanak-saudara, saya tidak rugi apa-apa apabila memilih untuk menyambutnya di UIAM Gombak kerana kemeriahan sambutan Aidiladha di sana.

Bagi yang memahami, mereka akan melihat betapa saya sedang berkorban. Ya; saya – pada mata mereka – mengorbankan cuti untuk meneruskan tanggungjawab; mengorbankan masa Aidiladha bersama keluarga dan sanak-saudara. Benar kata sahabat saya, Danial Aiman, “Singa, jikalau tidak keluar daripada keluarganya, tak akan tahu memburu.” Begitulah barangkali mereka memandang pengorbanan saya. Namun, bagi saya, itu semua bukanlah pengorbanan yang sebenar.

Betapa ramai dalam kalangan kita telah berkorban, mengorbankan segala-galanya yang mereka ada – harta benda dan nyawa – demi kelangsungan agama dan negara. Kebanyakan mereka telah mendahului kita semua. Kita sepatutnya belajar daripada pengorbanan mereka.

Hari berikutnya, saya memenuhi undangan Pusat Pendidikan SRI-SMI Berhad (Musleh) untuk menyertai Program Qurban Kasih anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Cawangan Gombak dengan kerjasama Pusat Pendidikan al-Amin Berhad, tuan punya Sekolah Menengah Islam al-Amin, Gombak. 4 ekor lembu dikorbankan hasil sumbangan ahli-ahli IKRAM Gombak. Daging-daging korban, kemudiannya, diagihkan kepada saudara baru, penduduk Gombak Utara dan Sungai Pusu.

Kegembiraan tidak terhenti setakat itu. Siang tadi, saya berkesempatan pergi ke Seremban. Atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan, saya akur bahawa lawatan terpaksa disingkatkan sesingkat-singkatnya. Itulah pertama kali saya datang ke sana dari UIAM Gombak dalam masa yang amatlah singkat. Tiba di tengahari dan pulang sebelum Asar; hanya 4 jam. Biasanya, saya akan meluangkan masa saya di Seremban, paling tidak, 1 malam.

Sekolah Menengah Kebangsaan Pendeta Zaba (PZ), Seremban mengadakan ibadah korban secara kebetulannya. Beberapa ekor kambing dikorbankan untuk dijamu kepada seluruh warga PZ. Pun begitu, bertandangnya saya ke PZ bukanlah atas sebab yang itu; tetapi, kerana memenuhi jadual yang telah sedia diatur oleh pengiring yang membawa saya ke sana. Saya jangkakan akan ada satu projek berkaitan debat dan pengucapan awam akan diadakan pada masa hadapan.

Walaupun Aidiladha hanya berlangsung 4 hari, Aidiladha kali ini, bagi saya, punya mesej yang tersendiri buat saya dan semua. Aidiladha tidak setakat mengajar diri erti hidup pada memberi dan erti hidup pada pengorbanan; tetapi juga untuk menerima hakikat dan sentiasa bersedia. Mudah-mudahan ini semua bermanfaat kepada saya. Terima kasih kepada setiap yang mengingatkan mahupun mengajarkan saya nilai-nilai murni ini.

Buat sahabat-sahabat saya, bukan dirimu yang salah...

Comments