Memperingati "Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta"

Signifikan 31 Ogos dan 16 September

Terima kasih, Allah, atas rahmat dan kasih sayangMu kepada kami semua. 16 September, seperti yang diketahui umum, merupakan Hari Malaysia, hari yang menyatukan 11 buah negeri di Tanah Melayu (termasuk Singapura, ketika itu, sehingga 9 Ogos 1965) dan 2 buah negeri di Borneo menjadi sebuah persekutuan yang berdaulat dan merdeka; diiktiraf di mata dunia. Oleh sebab itu, 16 September, mengikut tradisi negara, merupakan hari akhir Sambutan Bulan Kemerdekaan, yang berlangsung sejak 17 Ogos setiap tahun; yang kemudiannya diikuti pula dengan sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos.

Sebagai memperingati Ulangtahun ke-57 Kemerdekaan Malaysia dan Ulangtahun ke-51 Penubuhan Malaysia, Jemaah Menteri memutuskan bahawa “Malaysia: Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta” sebagai tema. Saya tidak perlu jelaskan lagi maksud tema tersebut memandangkan saya telah menjelaskannya beberapa kali, kebelakangan ini, bersempena memperingati dua peristiwa tersebut yang menjadi batu asas kepada keberlangsungan sebuah negara yang merdeka.

Memperingati 31 Ogos

Pada tahun-tahun kebelakangan, saya memperingati 31 Ogos di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, tempat sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negara diadakan. Tahun ini, saya memperingatinya di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS). Tanpa keberangkatan Yang DiPertuan Besar, Tuanku Muhriz ibni al-Marhum Tuanku Munawir, sambutan tetap diteruskan dengan keberangkatan Dato'-Dato' Undang Luak dan Tunku Besar Tampin serta Menteri Besar, Dato' Seri Utama Mohamad Hasan. Ratusan buah kontinjen dari pelbagai jabatan kerajaan, syarikat dan badan bukan kerajaan (NGO) terlibat dalam menjayakan sambutan kali ini yang tidak kurang hebatnya.

Menariknya 31 Ogos tahun ini bukan kerana menyambutnya di luar Kuala Lumpur. Tetapi, kerana pada hari yang sama, dua orang teman sepermainan saya di kampung halaman – kedua-duanya merupakan dua pupu saya sebelah bonda – bersanding sebagai raja sehari. Saya menghadiri majlis mereka di Simpang Pertang. MasyaAllah; ramai orang kampung saya – Kuala Pilah – hadir menyerikan majlis tersebut.

Kuantan

Pusat Asasi UIAM, Gambang, Kuantan, Pahang
(Gambar: En. Izdihar Ishak)
Benar, “di sini lahirnya sebuah cinta” apabila pada 2-4 September, saya dijemput untuk datang ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan (Kampus Gambang). Saya diminta untuk berkongsi idea dengan pelajar-pelajar Sabah di sana mengenai banyak perkara, termasuklah nasib tanah air dan debat dan pengucapan awam. Saya juga diminta untuk mengkaji secara kasar prospek aktiviti debat dan pengucapan awam bahasa Arab apabila kampus itu siap sepenuhnya pada April 2015. Secara asasnya, lawatan saya berjaya.

Lebih bermakna lagi, lawatan saya tidak setakat di UIAM Kuantan (Gambang) semata-mata. Saya turut melawat UIAM Kuantan (Indera Mahkota) yang menempatkan fakulti-fakulti sains. Saya sempat melihat sedikit program sempena Minggu Taaruf 2014/2015 di Dewan Besar, Pejabat Pengarah Kampus. Saya juga berkebetulan dapat berjumpa dengan Pengarah Kampus itu sendiri, Profesor Dato' Dr. Tariq Abdul Razak, walaupun hanya seminit dua.

Yang membuatkan saya cukup gembira tidak setakat itu sahaja. Alhamdulillah; hanya di UIAM Kuantan, saya dipertemukan dengan sahabat-sahabat yang pernah bersama saya di UIAM Petaling Jaya. Seorang saya jumpa di Pejabat Pengarah Kampus, manakala yang lain saya jumpa di Indera Mahkota 2. Pertemuan-pertemuan itu membawa saya kembali mengenang hari-hari saya ketika menuntut di UIAM Petaling Jaya, setahun dua yang lepas. Ya, saya masih ingat, saya cukup rapat dengan mereka semua. Begitulah; dahulu, cita dan cinta yang mempertemukan. Akhirnya, cita dan cinta jugalah yang memisahkan.

Debat Kemerdekaan antara IPT 2014

Pusingan Akhir, Debat Kemerdekaan antaa IPT 2014
Pada 15 September, saya berkesempatan menyertai delegasi UIAM pergi ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor, atas jemputan Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) UIAM di saat-saat akhir untuk menyaksikan pusingan akhir Debat Kemerdekaan antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2014. Pusingan tersebut menyaksikan pertemuan antara UIAM dan Universiti Malaya (UM) dengan usul “57 Tahun Merdeka: Rakyat Malaysia Lemah Jati Diri”. UIAM memenangi debat tersebut. Saya bersyukur dan beruntung kerana dapat menyaksikan debat yang dimenangi oleh UIAM sendiri secara langsung, dan berkongsi rasa gembira atas kemenangan itu.

16 September: Memperingati Dasar Pandang ke Timur

Shota Tsuji (2 dari kanan).
(Gambar: Sdr. Muhammad Ikmal Hakim
Shamsul Bahrin)
16 September kali ini, bagi saya, juga cukup bermakna kerana ada kelainan di situ. Saya menghadiri sesi Usrah bersama Persatuan Pelajar Islam Negeri Sembilan (PPINS) di fakulti saya. PPINS UIAM membawakan sedikit kelainan dengan mengadakan Usrah menggunakan Bahasa Inggeris. Hal itu bukanlah kerana meraikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar universiti, tetapi kerana PPINS UIAM membawakan perkongsian bersama Shota Tsuji dari Universiti Kansai, Jepun.

Saya mengikuti sesi itu dengan teliti sehingga saya mampu memahami, memandangkan orang Jepun lebih selesa dengan bahasa mereka (seperti kita). Kesimpulan saya cukup ringkas. Sistem pendidikan Malaysia dan Jepun nampak persamaannya. Yang membezakan Malaysia dan Jepun hanyalah budaya dan gaya hidup orang Jepun yang lebih tersusun kemas dan rapi. Pengamalannya cukup murni. Oleh sebab itu, Jepun lebih maju ke hadapan berbanding Malaysia (dan itulah yang Malaysia pernah akui sebelum ini) di pelbagai bidang.

Bukan Sekadar Cerita

Sengaja saya membawakan kisah-kisah tersebut bukan untuk sekadar bercerita. Semua itu kerana “di sini lahirnya sebuah cinta”. Cinta itu memungkinkan saya sampai ke tempat itu, melakukan perkara itu yang menyumbang ke arah itu – itu yang memberi manfaat jangka panjang kepada diri dan semua yang merasainya. Begitulah, betapa pentingnya rasa cinta dalam diri setiap manusia.

Saya sedar, cinta memiliki maknanya yang cukup luas dan indah. Dari itu, kita cuba merealisasikannya dengan cara kita, mengikut kehendak kita, berpandukan asas yang kukuh lagi utuh, Kitab Allah dan Sunnah RasulNya. Atas kesedaran itu, dan atas kesedaran bahawa Allah telah kurniakan saya banyak waktu di tanah air, maka benarlah sesungguhnya, “di sini lahirnya sebuah cinta!”

Comments