Lebih Daripada Menjadi Seorang Sahabat

Seusai aku solat Subuh, nada dering telefon bimbitku mengejutkan dan menggentarkan aku. Entah mengapa. Jarang pula ada orang menghubungiku awal pagi.

Aku melihat jam dinding. Belum pukul 7. Matahari belum lagi memancarkan sinarnya.

Nak tak nak, aku menjawab panggilan tersebut.

“Assalamuaikum.” Nada seperti ada yang tak kena. Aku langsung menjawab tanpa memeriksa siapa yang memanggil. “Waalaikumussalam warahmatullah.”

“Aziz, aku minta maaf sebab menelefon kau waktu pagi buta macam ini. Kau kat mana sekarang?” Ya, nada seperti ada sesuatu yang serba cacamarba.

“Ya, aku kat rumah, sekarang ni. Ya, Halim, ada apa sebenarnya?”

Halim seakan sebak, menangis teresak-esak. “Aziz, kau tahu, kan, Kamal...” Dalam keadaan sebegitu dia cuba sempurnakan 'berita besar' itu sebaiknya.

“Ya, Kamal. Kenapa dia?”

“Dia dalam perjalanan dari Kangar ke Bukit Mertajam. Kereta yang dia bawa kena tembak oleh orang yang tak dikenali. Entah kenapa. Dia kemalangan. Sekarang, dia kat Hospital Pulau Pinang.”

Mendengar berita itu, aku sungguh terkejut. Aku terus berkejar ke hospital.

Semua ahli keluarga dan sahabat-sahabat Kamal berkumpul sejak dinihari bagi menantikan khabar baru.

Belum sampai setengah jam aku berada di hospital, menyertai semua yang ada mendoakan Kamal, sekumpulan doktor mendatangi ahli keluarga Kamal yang terdekat. Seminit dua kemudian, mereka dibiarkan bertangisan sesama sendiri. Dua tiga orang daripada kami mendatangi mereka.

Saatnya, Kamal telah mendahului kami semua.

Bimbang jikalau ayahbondaku tertanya-tanya ke manakah aku pergi; aku langsung menghubungi mereka berdua di rumah. Mahu tidak mahu, aku tetap menghubungi, memberitahu perkara yang sebenar-benarnya.

Aku sudah kehilangan Kamal. Yang lain turut sama merasa. Ayahbonda dan kaum keluarganya apatah lagi.

Aku tak pulang terus. Bagusnya, ayahbondaku dan adik-beradikku turut sama bersamaku setelah mendapat khabar duka itu. Ya, mereka semua menuju ke hospital. Mereka menyertaiku untuk mengiringi Kamal ke rumahnya di Kangar sana.

Sampailah Kamal disempurnakan buat kali terakhir, barulah kami semua pulang semula ke rumah di Kulim.

Sejujurnya aku ingin katakan, aku sudah terlalu lama tak bertemu dengan Kamal. Aku bertemunya, kali terakhir, pada waktu aku baru tamat peperiksaan akhir, tahun akhir, semester akhir di universiti. Dia mendahuluiku satu semester. Dia sudah pun menghadiri Istiadat Konvokesyen. Entah, dia waktu itu ada urusan lain dengan universiti, kebetulan kami bertemu.

Kisah itu sudah tiga bulan berlalu.

Aku sudah lama tak berjumpa dengannya. Aku rindu Kamal. Rupanya dia sudah pergi tak kembali. Suatu saat, aku, seperti yang lain, akan menyusul.

Aku menemuinya buat kali pertama, lima tahun lepas. Kami masuk secara bersama di peringkat persediaan. Yang memisahkan kami adalah bidang pengajian. Dia mengaji Kejuruteraan. Aku pula mengaji Pendidikan Islam.

Aku menemuinya buat julung kali ketika selesai majlis solat hajat sempena peperiksaan akhir semester. Entah, aku sudah lupa, macamana aku boleh datang kepadanya secara tiba-tiba, rasa mahu berkenalan.

Aku berterima kasih kepada kawan-kawanku yang lain. Mereka – yang terdahulu mensahabati Kamal – memperkenalkan Kamal kepadaku dengan lebih terperinci. Aku fikir aku mencarinya seorang diri. Waktu itu, aku tidak tahu siapa yang boleh jadi rujukan untuk aku mencarinya. Rupanya ada. Syukur.

Cuma, waktu itu, aku tidaklah rapat mana dengannya. Biasalah, seperti orang lain, aku punya pilihanku ketika itu. Setelah setahun, setelah akhirnya dia menjadi senior aku ketika pengajian peringkat ijazah dasar, dia menjadi pilihanku.

Aku masih tertanya, apakah asas pertimbangan yang aku ambil untuk menjadi rapat dengannya, lebih rapat daripada biasa? Aku cuba merungkainya hari demi hari.

Soalan itu aku jawab setelah selesai satu semester pengajian. Di hadapan, masih ada tujuh semester, waktu itu.

Dia sungguh berbeza denganku. Dia punya banyak kebaikan. Begitulah ajaran Islam, “seseorang dikira berdasarkan sahabatnya”. Bukanlah bermakna aku ikut-ikut menjadi baik kerana dia baik. Tetapi, kerana ada kebaikan yang memang aku amati dan pelajari betul-betul untuk aku amalkan di masa muka.

Acap kali aku mengunjunginya, sama ada di kutub khanah mahupun di kamar istirahat, aku menemuinya dalam keadaan dia sentiasa bersama buku-buku pengajian. Kalau tidak, bersama buku-buku yang mengisi waktu senggang. Bedah buku merupakan minatnya. Dia membedah buku bukan setakat dengan membaca, bahkan dengan menulis ulasan dan berkongsi buah fikirannya bersama orang lain.

Entah sudah beberapa kali dia berkongsi pandangan mengenai pembacaannya kepada aku. Menarik!

Jikalau ditanya tentang perbelanjaan berkalanya, prinsipnya cukup mudah. “Aziz, setiap bulan, aku cuba simpan RM 50 untuk membeli sebuah buku.” Padanlah. Biliknya di kolej kediaman, ketika itu, sudah tiada rupa istirahat lagi. Kamar sudah menjadi cawangan kutub khanah besar. Ya, dialah pustakawan bagi perpustakaan kecilnya.

Dia sungguh bermanfaat, bukan setakat kepada kami dan keluarganya, tetapi kepada orang lain. Buku-bukunya datang dan pergi silih berganti. Khabarnya, dia sedekahkan buku; bukunya sudah sampai hampir ke seluruh benua; semuanya dibawa oleh kawan rapatnya di zaman persekolahan menengahnya yang merata tempat pengajian mereka.

Dia tidak berkira. Dia sedar dia taklah sekaya mana, tetapi hartanya sentiasa cukup dan ada sepanjang masa. Jikalau dia punya emas perak mahupun suasa, selagi ada yang memerlukan, dan selagi itu semua bernilai, dia tetap akan memberinya; kerana dia sedar, setiap yang dia beri akan terganti dengan apa-apa yang Dia kehehdaki.

Dia tidak berkira. Selagi ada yang mahu bertemu dengannya atas apa-apa sebab sekalipun, sesibuk mana pun dia, dia tetap cuba membahagikan masa dengan pelbagai orang dan pelbagai pihak, di pelbagai tempat dan pada pelbagai ketika.

Entah sudah berapa banyak masa yang dia telah luangkan bersama aku, aku sudah tak mampu menghitungnya. Dia cukup-cukup sudi orangnya.

Benar, dia lebih mengutamakan prestasi akademik. Pada masa yang sama, dia banyak menyertai aktiviti kokurikulum.

Dia tidak setakat gemar berlari keliling kampus, tetapi gemar bermain ragbi. Dia pernah mengharumkan nama universiti, merangkul pingat emas di peringkat negara. Aku bukanlah sepertinya.

Dia pendebat. Dia berjaya merangkul beberapa kejohanan debat peringkat negara dan antarabangsa dalam bahasa Melayu. Pada masa yang sama, dia cuba menceburi debat bahasa Inggeris dan bahasa Arab. Aku bukanlah sepertinya walaupun aku juga seorang pendebat.

Dia munsyid. Dia juga pernah menjadi johan Festival Nasyid antara Institusi Pengajian Tinggi, sekali. Hampir terlupa, ya, kamilah yang sebenarnya sama-sama mewakili universiti dalam pertandingan tersebut!

Secara pukul ratanya, aku mendekatinya dan mensahabatinya sudah beberapa tahun bukanlah kerana segala kelebihan dan kebaikan yang dia ada semata-mata.

Aku dan dia menjadi sahabat kerana masing-masing punya hati yang tulus suci, yang sama-sama berhasrat untuk bersama. Lalu, kami sandarkan hubungan ini kepada Yang Maha Esa.

Sebab itu, aku dan dia kekal, walaupun kami pernah berbalah entah beberapa kali.

Cuma, hari itu, saat aku menerima khabar itu, dia sudah mendahului; sudah tidak berada di sisi lagi. Perginya tiada pengganti.

Aku sudah kehilangan orang yang terlalu banyak menceriakan hidup aku. Aku sudah kehilangan orang yang sudi berkongsi rasa suka dan duka sesama sendiri. Aku sudah kehilangan seorang senior yang cukup berbudi pekerti.

Moga dia kekal dalam doa dan ingatan.

Cuma, pada satu malam, selepas solat Maghrib. Aku dikejutkan dengan kedatangan beberapa buah kereta di hadapan rumah. Ada satu perkumpulan sedang dirancang secara bersama di luar kediaman tempat aku dan keluargaku duduk.

Selesai aku solat Maghrib, aku menyelak daun pintu setelah ada yang mengetuk.

Entah mengapa? Bunyinya macam lebih daripada 10 orang datang ke rumahku.

Aku membuka pintu seluasnya. Rupanya...

“Terima kasih, Allah!” Rupanya Halim merancang untuk datang secara berkumpulan bersama kawan-kawan aku sepengajian di universiti ke rumah aku.

Yang lebih mengharukan aku lagi, apabila yang pertama aku temui setelah itu adalah Kamal. Dia yang terlebih dahulu datang kepadaku, berjabat tangan, berdakapan seeratnya, seolah-olah dialah adik aku.

Entah, mungkin inilah kesan apabila aku terlalu merindui seorang sahabat yang telah menjadi lebih daripada seorang sahabat.

Mereka mengejutkan aku dengan jamuan segera. Kek didatangkan daripada Secret Recipe. Jamuan disediakan oleh mereka sendiri. Aku sekeluarga hanya menyediakan beberapa yang ada, yang secukupnya. Mereka rupanya meraikan ulangtahun kelahiranku yang ke-25!

Cuma, begitulah. Sampai saat, kita akan menyusul.

Sementara itu, bersyukurlah dengan cara kita.

Kolej Siddiq, UIAM, Gombak, Selangor
Sabtu, 20 September 2014, jam 11.56 malam.

Comments