Di Sebalik "Rendang Tak Berbuah"

Saya dengan sedaya upaya saya cuba meneliti sebaik mungkin “Rendang Tak Berbuah” karya Bob Lokman (1996) yang kemudiannya dinyayikan oleh Dato' Hattan (1998). Bob Lokman menulis karya ini pada aras bahasa yang cukup tinggi yang memerlukan kefahaman tinggi.

Diceritakan, pada tahun 1996, Majalah Hai pernah membuat ulasan mengenai lagu ini. Pada pemahaman penulis akhbar tersebut pada waktu itu, seorang anak jatuh sakit lalu mengharapkan kasih sayang ibunya. Penghujahan tersebut diterima hanya pada waktu itu kerana tiada bukti yang mencerahkan lagu tersebut. Apabila Dato' Hattan, menerusi kumpulan Wings, menerbitkan album “Mencari Asal Usul” pada tahun 1998, barulah masyarakat dapat memahami bahawa lagu tersebut sifatnya bercampur antara melankolik (sedih) dan romantik (cinta). Sebenarnya, lagu tersebut menceritakan kasih sayang suami isteri.

Kenyataan ini dikukuhkan lagi apabila Jinggo (2008) menerbitkan pula drama “Tuhan Pun Tahu” yang mengambil lagu ini sebagai sumber rujukan utama. Dengan menjadikan Afdlin Shauki sebagai pelakon utama (Sheila Rusly, 2008), drama tersebut mengisahkan cinta suami isteri yang tidak kekal lama. Sheila Rusly mengusahakan filem tersebut sebagai satu ibadah untuknya menyedarkan masyarakat terutama mereka yang berdepan dengan krisis rumah tangga dengan menceritakan semula kisah benar.

Kedua-dua karya tersebut diterbitkan dengan membawa semula kisah rumahtangga Bob Lokman dengan isterinya. Pada ketika Bob Lokman jatuh sakit, berlakulah pula krisis rumahtangga yang kemudiannya membawa kepada perceraian. Pun begitu, Bob Lokman sedikitpun tidak menyalahkan bekas isterinya kerana mengetahui kelemahan diri sendiri (Afdlin Shauki, 2008). Oleh sebab itulah, 'Ibu” dalam lagu “Rendang Tak Berbuah” dinisbahkan kepada bekas isterinya. Seperti orang-orang masa lalu, suami isteri mesra dengan panggilan diri mereka sebagai seorang ayah mahupun seorang ibu.

Nada lagu tersebut lebih terserlah apabila UNIC (2013) menyanyikan semula lagu tersebut menerusi rancangan “Dikir Zikir” terbitan TV al-Hijrah. Seperti yang sedia maklum, rancangan “Dikir Zikir” diterbitkan sebagai suatu platform kepada penonton untuk bermuhasabah diri dan menuntut ilmu menerusi tazkirah, qasidah dan nyanyian lagu-lagu menggunakan irama tradisional. Dahulunya, lagu tersebut dibawakan menggunakan irama Rock yang bersifat sungguh keras. Kini, UNIC berjaya menyerlahkan tema sebenar lagu tersebut apabila menyanyikannya sambil diiringi muzik tradisional.

Secara kefahaman umum, walaupun karya ini sudah disempitkan oleh pengkaryanya kepada tema kasih sayang suami isteri, namun masih ada mesej yang boleh diambil di luar skop sebenar karya tersebut. Karya ini menunjukkan kepada kita tanggungjawab insan untuk menjaga hubungan dengan Allah dan menjaga hubungan dengan manusia. Sebaik mana pun hubungan kita dengan manusia, kita jangan lupa bahawa menjaga hubungan dengan Allah adalah lebih utama.

Comments

Post a Comment