Memaknakan "Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta"

Menilai Suara yang Terbuka

Di sini lahirnya sebuah cinta
Pertama kali Datuk Sudirman Arshad – semoga Allah mencucuri rahmat ke atasnya – memperdengarkan frasa “di sini lahirnya sebuah cinta” pada tahun 1982 menerusi lagu 'Warisan'. 32 tahun kemudian, bagi memperingati ulangtahun ke-57 kemerdekaan Malaysia, frasa yang sama diolah semula oleh Ahmad Fedtri Yahya untuk disesuaikan dengan keperluan sosial masa kini. Kata George Santayana, “Barangsiapa yang tidak mempelajari sejarah, pasti dia akan mengulanginya.” Jikalau dibandingkan, kedua-dua karya sudah memberi tumpuan khusus kepada negara. Maksud saya, rasa sayang akan tanah airnya.

Pun begitu, biarlah frasa “di sini lahirnya sebuah cinta” mempunyai makna yang dibawa oleh suara yang terbuka dan merdeka, Alasan pertama, dari sudut tempat bermulanya cinta. Saya tidak nafikan sedikitpun, “di sini” itu maksudnya tanah air kita. Namun, belum tentu cinta itu terlahir “di sini”. Kadang-kadang cinta itu lahir selain “di sini”. Alasan kedua, dari sudut cinta itu sendiri. Saya juga tidak nafikan bahawa rasa cinta akan tanah air bermula di tanah air itu sendiri. Tetapi, bagaimanakah cinta yang lain?

Saya Sayang Ibu Pertiwi

Jikalau saya memperkatakan perkara tersebut, jangan fikir saya tidak mencintai ibu pertiwi. Saya sayang Malaysia, tempat saya dilahirkan, tempat saya diasuh dan dijaga, tempat saya menuntut ilmu, tempat saya membesar dan mengembang menjadi saya yang seperti ini. Jikalau saya perlu berada di luar Malaysia sekalipun, suatu hari nanti, jangan fikir saya tidak mencintai kampung halaman ini lagi kerana saya sedar, di sini lahirnya sebuah cinta!

Izinkan saya mencintai negara dengan cara saya. Saya percaya, ramai yang mengetahuinya dan memahaminya. Kepada yang lain, cintailah negara kalian dengan cara kalian yang tersendiri, yang lebih bermakna, yang lebih bermanfaat. Mudah-mudahan cara saya – dan cara kalian juga – berguna kepada semua, sampai negara ini direstui, seperti dalam firmanNya, “Negara ini baik; dan Tuhan Maha Pengampun.” Itulah yang kita namakan “dari rakyat untuk rakyat”. Cuma, pada hemat saya, di sini yang lahir bukan setakat cinta kepada negara, bahkan lebih daripada itu.

Cinta kepada Allah, RasulNya dan Islam

Di sini lahirnya cinta saya kepada Allah SWT; kepada Rasulullah SAW; dan kepada Islam. Ya, selama ini, di sinilah saya menuntut ilmu, mengenali Allah SWT, meneladani sirah Rasulullah SAW, mendalami ilmu-ilmu Islam (dan ilmu-ilmu yang lain yang berguna), termasuklah bahasa Arab. Mengenangkan ini semua, saya mohon, semoga Allah memberi ganjaran yang sebanyak-banyaknya kepada semua yang telah mengajarkan saya itu semua.

Saya sedar, saya tidak berpeluang untuk menuntut di luar Malaysia. Masih segar dalam ingatan; pada tahun 2012, ramai yang bertanya kepada saya, “Mengapa tidak menyambung pengajian di Jordan; di Mesir; juga di Arab Saudi?” Jawapan saya mudah, setelah menyedari takdir Allah itu, “Tak ada rezeki.” Pun begitu, Alhamdulillah; peluang untuk mendalami itu semua ada di tanah air. Ya, cinta itu semua lahirnya di sini!

Cinta kepada Keluarga dan Sanak Saudara

Di sini jugalah lahirnya cinta saya kepada ayahbonda, adik-beradik dan sanak saudara – semoga Allah memberkati hidup mereka semua. Alhamdulillah; saya dilahirkan, 20 tahun lepas, di Kota Kinabalu, Sabah. Ayahanda saya berasal daripada Kota Kinabalu; manakala bonda saya berasal daripada Kuala Pilah, Negeri Sembilan. 18 tahun saya dibesarkan di Tuaran dan Kota Kinabalu. Semenjak 2 tahun lepas, saya menetap di Seremban, Negeri Sembilan, bersama sanak saudara sebelah bonda.

Terima kasih, Allah, kerana mengurniakan saya ayahbonda yang cukup menyayangi – semoga Allah membalas jasa dan budi mereka dengan ganjaran yang tiada hadnya. Banyak jasa dan budi mereka kepada saya, sungguh tak terhitung. Terima kasih, Allah, yang mengurniakan saya adik-beradik dan sanak saudara dalam hidup saya untuk saya bermesra dan berbakti dengan cara saya.

Cinta kepada Pendidik

Di sini jugalah lahirnya cinta saya kepada guru-guru – semoga Allah memberi ganjaran atas segala ilmu dan hikmah yang mereka curahkan. Sekian lama, mereka mengambil tempat ayahbonda saya untuk mengajarkan segala ilmu dan hikmah dan memberikan segala nasihat berguna untuk masa muka. Penghargaan saya yang setinggi-tingginya saya hadiahkan kepada mereka.

Mereka, selama ini, telah mendidik saya untuk hidup. Mereka juga telah mendorong saya untuk mencintai Bahasa Arab dan Pendidikan Islam. Mereka jugalah yang telah melatih saya untuk memiliki pelbagai ilmu dan kemahiran, termasuklah dalam debat dan pengucapan awam, sastera Melayu dan permainan catur. Mereka jugalah yang telah mendorong saya untuk mencapai hasrat peribadi untuk menjadi seorang guru, di masa muka nanti.

Cinta kepada Sahabat

Cinta saya kepada 'adik-beradik', para sahabat dan kawan juga bermula di sini – semoga Allah menyayangi mereka semua; kebanyakannya bermula di sekolah, dan berterusan hingga ke universiti. Alhamdulillah; Allah telah kurniakan saya dengan mereka semua. Selama saya jauh, merekalah yang dekat dengan saya. Ada pun dari kalangan mereka, ada yang saya anggapkan 'adik-beradik' kerana menjadi lebih daripada seorang sahabat. Itu yang membuatkan zaman persekolahan dan zaman universiti saya cukup indah. Mereka tinggalkan saya dengan kenangan, pengajaran dan semangat waja.

Pun begitu, saya sedar, mereka semua tidak akan kekal. Ada pun sebahagian daripada mereka berada di perantauan, beribu batu jauhnya daripada negara. Paling tidak pun, ada yang masih berada dalam negara, tetapi jauhnya berpuluh dan beratus batu daripada saya. Saya tidak ada apa-apa buat mereka, lebih-lebih lagi yang cukup dekat di hati saya, melainkan dengan hanya suatu harapan, mudah-mudahan kita mengingati mereka semua dalam doa dan ingatan kita.

Kita yang Tidak Kekal

Dalam pada itu, kita jangan lupa bahawa kita tidak selamanya berada di sini. Sampai masa, kita akan pergi jua. Ada pun sebahagian daripada mereka yang tersebut telah mendahului kita. Perkara ini cukup menyedihkan kita semua. Tiada lain yang kita mampu ungkapkan melainkan redha. Begitulah, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama; bukan setakat nama semata-mata, bahkan jasa dan budi mereka. Ya, mudah-mudahan itulah sedekah jariah yang berterusan pahalanya menemani mereka di sana!

Mereka juga meninggalkan kita dengan kenangan abadi, pengajaran berguna di masa muka, dan semangat yang membara. Buat semua yang telah mendahului kita, kita doakan, semoga Allah merahmati mereka semua, mengampunkan segala dosa mereka dan menempatkan mereka di syurgaNya. Ingatlah, suatu masa nanti, kita juga akan menyusul.

Jangan Berhenti

Pun begitu, tidaklah bermakna apabila masa sudah terlalu dekat, kita berhenti mencintai. Mengapa harus? Sedangkan cinta itu fitrah, bukan? Cuma, sudah menjadi tugas kita untuk menterjemahkan dan mempraktikkan cinta dengan cara kita; dengan syarat, itu semua diterima di sisi Yang Maha Esa.

Cuba ingat kembali. Rasulullah SAW dan para sahabat saling mencintai sesama sendiri. Kisah itu terabadi dalam al-Quran, “Muhammad itu Pesuruh Allah; dan setiap yang bersama Baginda itu tegas ke atas orang-orang kafir, dan berkasih sayang sesama mereka.” Cinta mereka tidak setakat pada menjaga persahabatan dan persaudaraan semata-mata, bahkan lebih daripada itu. Mereka semua mentakrifkan cinta melalui jihad di jalan Allah. Sedarlah, kita betul-betul tidak sehebat mereka.

Kita belajar daripada Palestin yang kita cintai. Cinta warga Palestin kepada Islam dan tanah air mereka sangatlah tebal. Kerana itu, mereka sanggup syahid mempertahankan tanah air mereka walaupun sudah dikerjakan sehingga hancur mamah oleh Israel – yang dilaknat Allah. Meneladani semangat mereka, kita membantu mereka dengan apa-apa sahaja cara yang boleh memudahkan perjuangan mereka. Begitulah, perjuangan mereka adalah perjuangan kita juga.

Hargai Cinta

Di akhirnya, sempena memperingati ulangtahun ke-57 kemerdekaan Malaysia, ingin saya pesan kepada diri saya dan semua, hargailah cinta. Cinta itu ciptaan dan kurniaan Allah. Maka, cintailah yang lain seperti mana kita mencintai diri kita sendiri, barulah terserlah keimanan. Cuma, jangan ingkari keutamaan cinta; jangan salah tafsir dan sempitkan terus makna cinta; dan jangan praktikkan cinta dengan mesej yang negatif.

Saya sedar, cinta memiliki maknanya yang cukup luas dan indah. Dari itu, kita cuba merealisasikannya dengan cara kita, mengikut kehendak kita, berpandukan asas yang kukuh lagi utuh, Kitab Allah dan Sunnah RasulNya. Atas kesedaran itu, dan atas kesedaran bahawa Allah telah kurniakan saya banyak waktu di tanah air, maka benarlah sesungguhnya, “di sini lahirnya sebuah cinta!”

Di sini lahirnya sebuah cinta
Cinta yang semarakkan
penyatuan kita semua

Di sini lahirnya sebuah cinta
Curahkan sepenuhnya
jasa dan budi kita

Ayuhlah berbakti
hingga akhirnya!

(Ahmad Fedtri Yahya, 2014)

AWANG ABDUL MUIZZ BIN AWANG MARUSIN
29 Ogos 2014

Comments