IIUM IDC 2014: Hari-hari Debat yang Berlalu

Sebagai Diri Sendiri, Sebagai Petugas

Ketika menjadi Hakim Silih Ganti bagi
Kategori Arab dalam IIUM IDC 2014,
bersama Ustaz Sofyuddin Yusof (UNISZA)
dan Sdr. Muhammad Falah Noor Azmir (UIAM PJ).
(Foto: Sdri. Nurulhuda Asor)
Saya mulakan dengan memohon berbanyak keampunan daripada Allah SWT dan berbanyak kemaafan daripada semua atas segala kesalahan dan kelemahan saya selama ini. Saya, seperti kalian semua, manusia biasa, tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan. Pun begitu, saya berazam untuk memperbaiki diri saya sendiri pada waktu yang mendatang.

Saya juga, bagi pihak diri saya dan semua petugas, memohon berbanyak kemaafan atas kekurangan dan kelemahan yang berlaku sepanjang berlangsungnya Kejohanan Debat Antara Sekolah-sekolah (IDC) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM/IIUM) kali ke-12 pada 15-19 Ogos 2014 di UIAM, Gombak, Selangor. Sesungguhnya, kami telah sedaya upaya memberikan yang terbaik kepada semua. Namun, kami tidak dapat menolak hakikat bahawa “kita hanya merancang, Allah yang menentukan.” Yang baik datangnya daripada Allah SWT dan yang buruk datangnya daripada diri kami sendiri, walaupun, pada dasarnya, kedua-duanya datang daripada Allah SWT.

Kedua, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua atas kejayaan yang tercipta dalam IDC 2014. Sekalung tahniah diucapkan kepada semua sekolah yang menyertai IDC 2014 atas kejayaan mencipta rekod yang tersendiri pada kali ini. Sekalung tahniah juga buat sekolah-sekolah yang telah berjaya merangkul anugerah demi anugerah kecemerlangan sempena IDC 2014. Semoga kecemerlangan ini memberikan suntikan efektif kepada semua untuk terus menyumbang kepada pembangunan diri, masyarakat, agama, bangsa dan negara melalui penglibatan dalam aktiviti debat dan pengucapan awam.

Tahniah juga saya ucapkan kepada rakan-rakan sekerja, para petugas IDC 2014 atas kejayaan menganjurkan IDC 2014. Sesungguhnya penganjuran IDC 2014 telah membuktikan kepada semua kekuatan debat dan pengucapan awam sebagai bidang kebitaraan UIAM. Penganjuran IDC 2014 juga telah membuktikan bahawa kita semua bersatu dalam usaha meneruskan legasi debat dan pengucapan awam bukan sahaja di UIAM, tetapi di Malaysia secara keseluruhannya. Besar harapan saya agar kita semua dapat melakukan yang lebih baik untuk IDC yang akan datang.

Pertama Kali dalam IIUM IDC

Untuk pengetahuan semua, inilah kali pertama saya menyertai IDC sejak kejohanan tersebut diperkenalkan pada tahun 2002; bukan sebagai peserta, tetapi sebagai petugas dan hakim silih ganti bagi kategori bahasa Arab. Ya, saya adalah dari kalangan kohort ke-12 IDC. Sebelum ini, saya tidak berpeluang menyertai IDC. Lebih daripada itu, sebelum melangkah ke UIAM, saya langsung tidak tahu bahawa UIAM mengadakan kejohanan debat untuk pelajar-pelajar sekolah. Hanya pada tahun sudah, saya mengetahui kewujudan IDC, yang mana pada waktu itu, IDC yang terakhir sekali diadakan pada tahun 2012.

Yang saya tahu hanyalah pada USIM. Saya merupakan peserta (mewakili SMKA Kota Kinabalu, Sabah) Pertandingan Debat Bahasa Arab antara Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan (SM KPM) 2011. Saya adalah dari kalangan kohort ke-4 pertandingan tersebut. Secara kebetulan, USIM mengadakan pertandingan yang serupa pada 16-20 Ogos. Saya hanya sempat menghadiri majlis penutupannya, semalan (20 Ogos) di Dewan Kuliah Pusat 3, USIM, Nilai, Negeri Sembilan.

Bertemu Semula Setelah 3 Tahun Meninggalkan USIM

Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan
Debat Bahasa Arab antara Sekolah Menengah
Kementerian Pendidikan Malaysia 7/2014
Yang membuatkan saya terharu adalah apabila rakan-rakan dari kohort ke-4 Pertandingan Debat Bahasa Arab SM KPM datang ke UIAM, berkebetulan untuk memberikan sokongan padu kepada sekolah masing-masing. Saya bayangkan, andaikan dapat dikumpulkan rakan-rakan pendebat yang pernah bersama dengan saya, 3 tahun lepas, pada hari tersebut, pasti kita semua gembira kerana dapat bersatu untuk kali yang berikutnya. Pun begitu, dapat bertemu dengan 2-3 orang pendebat yang pernah bersama dengan saya adalah suatu kegembiraan bagi saya. Apa tidaknya?

Terimbau kenangan yang terdahulu, sungguh bermakna. Masih teringat; pertandingan tersebut telah menjadi suatu persada yang terindah untuk memulakan dan mengekalkan persaudaraan sesama kami yang bertanding. Saya adalah antara yang beruntung kerana diizinkan untuk bersahabat dengan beberapa buah sekolah di seluruh Malaysia hanya pada pertandingan tersebut. Saya sangka hubungan itu hanya seketika, rupanya tidak. IDC 2014 telah memungkinkan segalanya. IDC 2014 telah mempertemukan saya kembali dengan para pendebat Pertandingan Debat Bahasa Arab SM KPM 2011 yang sungguh hebat pada masa itu, hatta ke saat ini.

Sebagai memperingati Pertandingan Debat Bahasa Arab SM KPM 2011, seperti yang dirancang beberapa bulan yang lepas, Alhamdulillah, saya telah berkesempatan menghadiri Majlis Perasmian Penutupan Debat Bahasa Arab SM KPM dan Jemputan Nusantara 2014 di USIM, Nilai, Negeri Sembilan. Tiada apa-apa yang saya boleh ungkapkan melainkan rasa bersyukur dan bertuah kerana dapat kembali ke USIM, walaupun hanya atas kapasiti sebagai orang awam. Terimbau semula kenangan sewaktu saya bertanding di situ, 3 tahun yang lepas. Sungguh indah kenangan tersebut.

Menarik IDC Siri ke-12

Sepanjang IDC kali ke-12, saya telah ditemukan dengan beberapa peristiwa yang sungguh membuatkan saya kagum dan tertarik; yang menjadi kenangan kehidupan. Kebanyakannya berada di lapangan dan di dalam bilik pertandingan.

Edisi kali ini menyaksikan debat bahasa Arab berlangsung di Kulliyyah Teknologi Maklumat dan Komunikasi (KICT), fakulti yang sudah berusia tetapi memiliki bangunan yang dikira paling baru di dalam UIAM Kampus Gombak. Sebelum ini, debat bahasa Arab diadakan di bangunan Pentadbiran. Walaupun KICT terletak terasing dan jauh di atas bukit, kemudahannya yang serba elegan sedikit sebanyak telah mengindahkan perjalanan kejohanan.

Saya sedikit pun tidak pernah menduga bahawa saya akan menjadi hakim kepada pendebat yang mempersembahkan penghujahannya lebih baik daripada saya. Beliau, secara individu, sudah membuatkan saya tertarik, walaupun secara kolektifnya, saya telah membuat penghakiman berlawanan, bertentangan dengan persepakatan hakim. Ya, nama beliau bukan asing lagi bagi debat bahasa Arab. Dalam pada itu, satu yang saya perlu ingatkan buat diri saya dan yang lain bahawa debat ini bersifat kolektif dan bukanlah bersifat individu semata-mata.

Pada perlawanan yang sebelumnya, saya telah ditugaskan untuk menghakimi dua buah sekolah yang lain pula. Selama ini, saya mengimpikan suatu sesi debat yang menepati aspirasi sebenar pertandingan. Kali ini, mimpi itu sudah menjadi realiti. Alhamdulillah, saya berpuas hati. Tahniah pada sekolah berkenaan kerana bukan sahaja menarik perhatian saya sepanjang sidang, tetapi kerana berjaya membuktikan kebolehan masing-masing yang cukup memberangsangkan!

Alhamdulillah. Pada 18 Ogos, sebagai meneruskan aturcara IDC, saya telah diberikan kesempatan untuk menyampaikan ucapan mengenai “Malaysia: Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta.” Sepatutnya, saya mengadakan sesi interaksi bersama semua peserta untuk berkongsi hubungan aktiviti debat dan pengucapan awam dengan tema sambutan Ulangtahun ke-57 Kemerdekaan Malaysia. Oleh sebab masa tidak mengizinkan, saya hanya mampu menyampaikan ucapan sahaja sebagai perkongsian semata-mata. Pun begitu, itu sudah mencukupi. Moga-moga semua memahami ucapan saya yang itu, meskipun ucapan itu bersifat sungguh kritikal.

Di saat saya ingin menceritakan banyak lagi, saya yakin, setiap yang menyaksikan, menyertai dan bertugas dalam IDC 2014 mempunyai pengalaman yang tersendiri. Begitulah kenangan.

Bersama Walau Untuk Seketika

Saya dan Muhammad Ikmal Hakim
(Foto: Mohd. Firdaus Omar)
Pada saat saya berkongsi rasa mengenai IDC 2014, sebagai merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada 'adik-beradik' saya, ingin saya kepilkan bersama cerita-cerita saya bersama mereka. Sejak saya memulakan tugas saya semula di UIAM Gombak pada 12 Ogos sehingga ke saat ini, bahkan sebelum-sebelum ini pun, nama-nama mereka tak luput di ingatan. Mudah-mudahan Allah SWT mengasihi mereka semua atas segala memori indah yang kami ukir bersama-sama sebelum ini.

Seperti yang saya sudah lama hajatkan, Alhamdulillah, saya tinggal di dalam Mahallah (Kolej Kediaman) Siddiq bersama sahabat saya, Muhammad Ikmal Hakim. Beliau berada di situ sepanjang semester pendek berikutan pengubahsuaian Mahallah asal, Mahallah Zubair, yang hanya akan siap sebelum awal September. Begitu juga dengan dua orang sahabatnya yang lain, Mohd. Firdaus dan Muhammad Rasyadi. Saya hanya bersama beliau untuk beberapa hari.

Sepatutnya saya bersama beliau pada 12 Ogos. Atas sebab yang menghalang, saya hanya menyertai bilik beliau dalam diam, 2 hari kemudian. Beliau hanya menyedari kehadiran saya dalam bilik itu pada 16 Ogos, setelah pulang dari rumahnya di Seremban. Beliau cukup sibuk dengan peperiksaan dan aktiviti luar. Pun begitu, itu semua tidak menghalang kami untuk mengetepikan kesibukan dan mengisi masa senggang bersama dengan berkongsi rasa dan nasihat sesama sendiri. Beliau dan Firdaus telah bersama saya menyaksikan Majlis Perasmian Penutupan IDC 2014 pada 19 Ogos di Dewan Utama, Pusat Aktiviti Kebudayaan.

Pada kesempatan ini, saya ingin turut merakamkan penghargaan kepada sahabat saya, Abdullah Izzat. Pertama, atas kesudiannya mengisi masa senggang bersama saya di sebalik kesibukan menghadapi peperiksaan akhir semester pendek. Kesibukan beliau tidak kurang seperti kesibukan yang dihadapi oleh Ikmal Hakim.

Kedua, atas kesudiannya, adik kembarnya yang juga sahabat saya, Abdullah Izzuddin, dan seluruh ahli keluarga mereka menerima kehadiran saya di rumah mereka di Desa Kasia, Nilai, Negeri Sembilan, pada 20-21 Ogos. Sepatutnya saya hanya datang seketika ke rumah itu. Atas sebab yang tidak mengizinkan, saya menunaikan jemputan ayahanda mereka untuk bermalam di rumah itu, malam itu, cukup menenangkan dan menggembirakan saya.

Ingatan, Harapan dan Pengajaran

Begitulah, betapa hari-hari yang berlalu menjadi ingatan bagi saya dan mereka. Adalah menjadi harapan dan doa agar pertemuan itu akan diizinkan sekali lagi. Saya berterima kasih kepada semua atas kenangan itu semua. Mudah-mudahan kenangan itu akan membawa harapan dan pengajaran kepada saya dan mereka di masa muka.

Secara keseluruhannya, IDC 2014 telah mencatatkan sejarahnya yang tersendiri. Seperti yang dijanjikan, IDC 2014 telah membawa nafas baru kepada Malaysia dalam indusrti debat dan pengucapan awam di peringkat sekolah menengah. Bukan setakat itu, tetapi ia membawa harapan yang cerah kepada kita semua bahawa aktiviti tersebut akan terus kekal selari dengan matlamat negara ke arah melahirkan masyarakat berminda kelas pertama.

Semoga Allah SWT mengizinkan lagi UIAM untuk mengadakan IDC untuk siri yang ke-13, kalau bukan pada tahun hadapan, pada tahun yang berikutnya. Semoga Allah SWT membalas segala jasa setiap yang menciptanya dengan ganjaran berlipat kali ganda, dan semoga Allah SWT merestui kita semua dengan rahmat, keampunan dan kasih sayangNya.

Comments