Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta: Debat Sebagai Manifestasi Rasa Cinta

(Sempena Pertandingan Debat Antara Sekolah-sekolah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kali ke-12)

Al-Fadhil Ustaz,
Tuan-tuan dan puan-puan,
Saudara dan saudari sekalian,

Selamat datang saya ucapkan ke Pertandingan Debat Antara Sekolah-sekolah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kali ke-12.

Sempena Hari Kemerdekaan, izinkan saya berbicara mengenai “Malaysia, Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta.” Saya membicarakan perkara ini sempena memperingati ulangtahun ke-57 kemerdekaan Malaysia. Pun begitu, sebelum saya bercakap lebih panjang lagi, izinkan saya untuk mengucapkan tahniah kepada warganegara Singapura dan Indonesia sempena sambutan Hari Kebangsaan mereka baru-baru ini.

Saudara dan saudari,

Apabila kita memperkatakan tentang “Malaysia: Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta”, kita seharusnya memahami bahawa segalanya yang kita lakukan di Malaysia adalah puncanya daripada cinta itu sendiri. Sebagai contoh, hari ini, (dengan izin Allah dan atas nama cinta,) kita berdebat di sini. Jika tidak, kita tidak akan berkumpul di universiti ini; Taman Ilmu dan Budi.

Begitu juga diri saya. Jika saya tidak mencintai universiti ini, saya tidak akan datang ke sini, menjadi mahasiswa dan menjadi wakil kolej kediaman di sini – meski jawatan itu saya sandang pada pengajian yang lalu di Kampus Petaling Jaya. Tanpa rasa cinta juga, saya tidak akan menyertai Kelab Debat dan Pengucapan Awam Bahasa Arab, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, yang kita rujuk sebagai IIUM Munazarah.

Oleh itu, yang saya ingin sebutkan di sini adalah, salah satu cara untuk mencintai negara kita, dan yang lebih penting lagi, untuk mencintai Islam, adalah dengan berdebat. Saya perlu berkata benar di sini bahawa perdebatan mengajar saya untuk menjadi agresif dan defensif. Namun, sifat itu bukanlah untuk diri kita sahaja, tetapi untuk masyarakat kita, negara kita dan agama kita.

Daripada debat, kita diajar untuk berfikir kritis dan kreatif, juga diajar untuk menganalisis maklumat sebelum menyampaikannya kepada orang lain. Kita juga perlu menjadi orang lain atas kepercayaan bahawa kita memiliki pendapat yang berbeza dengan orang lain. Itulah erti debat yang sebenar. Itulah apa yang kita harapkan selama ini.

Kenapa saya bentangkan tajuk “Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta”? Bukan sebab Malaysia itu. Memang, kita boleh bercakap dari konteks Malaysia. Tapi, yang lebih penting adalah Islam itu sendiri yang memulakan cinta.

Buka kembali al-Quran dan as-Sunnah. “Muhammad itu Pesuruh Allah, dan setiap yang bersama Baginda itu tegas ke atas orang-orang kafir dan berkasih sayang sesama mereka.” Itu bukti bahawa Rasulullah SAW sebenarnya seorang pencinta. Lebih daripada itu, Allah SWT yang menciptakan cinta itu mencintai.

Dalam firman Allah SWT yang lain, “Katakanlah, wahai Muhammad: Jika kamu semua mencintai Allah, maka ikutilah aku (Rasulullah SAW), mudah-mudahan Allah akan menyayangi kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” Jadi, cinta itu sudah ada di situ.

Tetapi, bagaimana cinta dalam konteks kita itu? Salah satunya sebenarnya adalah perdebatan. Saya perlu beritahu tuan-tuan dan puan-puan, saudara dan saudari, kami berada di persada ini kerana rasa cinta kami kepada universiti, kepada Islam, kepada negara dan kepada debat dan pengucapan awam bahasa Arab itu sendiri. Adalah menjadi azam kami untuk kekal di persada tempat kami berdiri ini, dengan doa dan harapan, mudah-mudahan Allah SWT mengekalkan dan menetapkan langkah kita untuk berjalan sehingga ke arah kejayaan. InsyaAllah.

Tuan-tuan dan puan-puan,
Saudara dan saudari sekalian,

Kami juga ada satu harapan di sini agar, jikalau tidak semua, sebahagian daripada saudara dan saudari akan memasuki universiti ini untuk menyumbang kepada Islam, kepada negara dan kepada universiti ini. Bagaimana? Dengan cara menyertai IIUM Munazarah. Untuk pengetahuan semua, debat dan pengucapan awam merupakan bidang kebitaraan universiti ini. Apabila kita berfikir tentang bidang kebitaraan, kita perlu ingat bahawa universiti menghendakkan aktiviti debat dan pengucapan awam untuk terus cemerlang mengatasi aktiviti-aktiviti yang lain dalam universiti ini.

Itulah yang universiti harapkan, dan tugas ini bukan mudah. Tugas ini memerlukan kita semua, bukan sahaja kami yang sedang berada, bahkan yang selepas ini memasuki universiti ini dalam dua tiga tahun ini untuk meneruskan kecemerlangan debat dan pengucapan awam bahasa Arab di universiti ini. Jangan risau kerana, InsyaAllah, kami percaya, segala langkah akan dipermudahkan, bukan sahaja dengan bantuan Allah SWT, tetapi dengan dorongan dan sokongan yang ada daripada jurulatih kita – jurulatih kami – dan juga rakan-rakan yang turut berada di persada ini.

Apabila berbicara tentang perdebatan, kami terhutang budi sebenarnya dengan jurulatih-jurulatih kami. Di kesempatan ini, kami menyampaikan penghargaan kepada semua jurulatih kami, terutamanya yang berada bersama kita, Ustaz Ibrahim Ahmed Fares Mohamed, dan kepada dua orang lagi yang tidak bersama kita, Ustaz Salah Awadalla Sidig Mohamed – kedua-duanya dari Pusat Bahasa, UIAM – dan seorang lagi, Profesor Dr. Majdi Ibrahim daripada Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, UIAM. Untuk pengetahuan, Profesor Majdi akan menamatkan tugasnya. Memang banyak jasanya di sini. Saya mohon doa semua, moga-moga Allah akan mempermudahkan langkahnya untuk bertugas di tempat baru di Maghribi.

Jadi, akhir kalam, apabila kita bercakap tentang “Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta”, saya ingin beritahu (bahawa) setiap cinta itu ada maksudnya yang tersendiri. Bukan cinta itu (maksudnya) setakat kasih sayang atau yang berbagai, tetapi (ertinya) kemahuan kita untuk melakukan sesuatu. Jikalau kita berdebat tanpa cinta, kita tidak akan melakukannya. Kalau (di)lakukan (sekali)pun, benda itu tidak akan menjadi. Jadi, selagi mana ada kecintaan itu, hendaklah kita hargai, tetapi (dengan syarat ia berada) di atas landasan yang diajarkan oleh al-Quran dan as-Sunnah.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Salam Syawal kepada semua yang masih berbaki. Mohon maaf zahir dan batin. Semoga Allah merestui kita semua dengan rahmat, keampunan dan kasih sayangNya.

Bilik Persidangan, Kulliyyah ICT, UIAM, Gombak, Selangor
18 Ogos 2014, 2.44 petang

(Ucapan dalam campuran bahasa Melayu, Inggeris dan Arab)

Comments