Debat Musleh 2014: Menyatukan Kita

Selesai Tugas

Sidang debat bahasa Arab peringkat akhir
sempena Musleh Debate 2014.
Sdr. Naim Hank menjadi Tuan Yang DiPertua.
(Foto: Musleh Debate)
Sepatutnya, malam tadi (25 Ogos), saya menduduki kerusi Tuan Yang DiPertua bagi sidang peringkat akhir debat bahasa Arab sempena Kejohanan Debat antara Sekolah-sekolah Antarabangsa Musleh (Musleh Debate) 2014 atas permintaan penganjur sendiri. Saya menghargai permintaan tersebut. Namun, atas arahan Pengerusi Jemaah Hakim, Sdr. Naim Hank mengambil tempat menggantikan saya, sekaligus membolehkan saya 'mengetik kad perakam waktu buat kali terakhir' sebagai hakim pertandingan dan berundur terus daripada pertandingan.

Saya percaya, beliau telah mengemudi sidang tersebut dengan jayanya sehingga sidang tersebut berjalan dengan rancak dan lancar. Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan buat beliau, para hakim, penjaga masa, para pendebat, para petugas dan semua yang terlibat atas kejayaan sidang tersebut. Setinggi-tinggi tahniah juga kepada pasukan yang menjuarai kategori bahasa Arab dalam Musleh Debate 2014.

Rentetan itu, tugas saya sebagai hakim pertandingan Musleh Debate 2014 berakhir semalam. Alhamdulillah, saya diberi peluang untuk menjadi hakim bagi dua sidang peringkat saringan, kedua-duanya berlaku dua hari lepas (24 Ogos), dan sidang peringkat separuh akhir, semalam (25 Ogos).

Saya dan Pasukan Swing

Nasib saya lebih baik lagi apabila pada 23 Ogos, atas arahan Pengerusi Jemaah Hakim, saya menganggotai kumpulan Swing untuk melengkapkan 2 sidang peringkat saringan bersama 2 orang lagi, Sdr. Mohammad Ehsan Ramli dan Sdri. Nur Wardiah Abdul Wahid; kedua-duanya hakim pertandingan. Dalam Sidang 1 dan 2 peringkat saringan, nasib sungguh menyebelahi kami – Alhamdulillah. Kami memenangi kedua-dua debat tersebut, manakala saya, secara peribadinya, telah terpilih sebagai pendebat terbaik.

Menganggotai dua sidang itu sebagai ahli pasukan Swing sudah memadai. Ramai lagi dari kalangan hakim-hakim sendiri untuk menganggotai pasukan Swing, kali ini. Pun begitu, supaya pelajar yang lain berpeluang untuk berdebat, pimpinan Jemaah Hakim memutuskan, pada 24 Ogos, untuk mengembalikan kerusi Swing kepada para pendebat keempat dari kalangan sekolah-sekolah yang bertanding.

Berjaya

Secara keseluruhannya, saya melihat Musleh Debate 2014 berjaya dianjurkan serta berjaya mencapai objektifnya. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Pusat Pendidikan SRI-SMI Berhad (Musleh), penganjur utama kejohanan, atas kejayaan menganjurkan siri ke-6 pertandingan pada kali ini. Sesungguhnya kejayaan Musleh menganjurkan Musleh Debate 2014 memberi petunjuk baharu bahawa debat dan pengucapan awam akan terus kekal sebagai aktiviti sokongan akademik pilihan utama para pelajar sekolah di Malaysia.

Alhamdulillah, ini merupakan kali ke-2 saya menyertai Musleh Debate. Kali ini, saya peserta, saya jugalah hakim dan saya jugalah petugas secara kerjasama. Tahun sudah (2013), saya menjadi hakim silih ganti dan petugas secara kerjasama. Kami bertugas secara kerjasama kerana Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) merupakan penganjur bersama pertandingan, bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Pusat Kecemerlangan Akademik Antarabangsa (ICCE).

Setelah 2 kali menjadi sebahagian daripada Musleh Debate, saya merasakan kedua-dua siri Musleh Debate mempunyai ceritanya yang tersendiri. Boleh jadi cerita ini hampir sama dengan apa-apa yang berlaku pada tahun lepas. Cuma, kali ini, cerita ini ada sedikit kelainannya.

Manfaat buat Pasukan Swing

Sidang ke-6, Peringkat Saringan, Kategori Arab,
IIUM IDC 2014.
(Foto: Sdri. Nurulhuda Asor)
Saya, secara peribadinya, dan atas nama Kelab Debat dan Pengucapan Awam Bahasa Arab UIAM (IIUM Munazarah), berterima kasih kepada Sdr. Ammar Hasbullah, juga kepada dua orang lagi. Hari itu, mereka bertiga membentuk pasukan Swing seawal sidang pertama peringkat saringan sebagai melengkapkan Kejohanan Debat antara Sekolah-sekolah Malaysia (IDC) 2014 bagi kategori bahasa Arab. Mereka mengharungi pertandingan ini secara bersama sehingga habis 6 sidang peringkat saringan.

Saya sendiri menyaksikan mereka ketika bertemu dengan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Gemencheh pada sidang ke-6 peringkat saringan. Saya ditugaskan menjadi hakim mereka bersama Ketua Hakim Sidang, Ustaz Sofyuddin Yusof (Universiti Sultan Zainal Abidin) dan Sdr. Mohamad Falah Noor Azmir (UIAM Petaling Jaya).

Sengaja saya bawakan cerita ini kerana ingin membawa satu mesej agar setiap peserta tahu matlamat dan halatuju pertandingan debat. Bagi saya, pasukan Swing yang dibentuk untuk melengkapkan pertandingan debat mendapat dua bonus. Bonusnya bukan setakat penambahbaikan kemahiran insaniah, tetapi perpaduan sesama peserta dalam kejohanan melalui suasana bertukar fikiran, berkongsi pengalaman dan melalui semangat cinta dan kasih sayang kepada agama, bangsa dan negara.

Kedua-dua bonus yang saya sebutkan merupakan sebahagian daripada halatuju pertandingan debat. Mereka sudah mendapatkannya dalam IDC 2014. Bagi saya, itulah kenangan terindah bagi Sdr. Ammar yang sebenarnya bekas pelajar dan juga jurulatih debat bagi Sekolah Menengah al-Azhar (SMAAZ), Jitra, Kedah. Dalam Musleh Debate 2014, beliau ditugaskan menjadi jurugambar dan pereka grafik.

Yang Saya Lihat

Sepanjang menjadi ahli pasukan Swing, saya dipertemukan dengan SMAAZ dan Sekolah Menengah Islam Hidayah (SMIH), Johor Bahru, Johor (Pasukan B). Kedua-dua pasukan ada kekuatannya yang tersendiri. Cuma, ketika mereka bersama kami dalam sidang, nasib tidak menyebelahi mereka. Pun begitu, bukanlah bermakna mereka gagal.

Sesungguhnya, bertemu dengan pasukan Swing – dari kalangan pendebat UIAM – adalah satu kejayaan bagi mereka kerana berdebat dengan pendebat universiti, bagi pendebat sekolah, amatlah sukar. Saya harap mereka belajar banyak daripada kami. Pada masa yang sama, saya sebenarnya belajar banyak perkara daripada mereka. Itu semua saya cuba manfaatkan untuk diri saya dan untuk diri mereka juga, supaya kami dan mereka sama-sama membangun dalam aktiviti debat dan pengucapan awam bahasa Arab.

Ketika menjadi hakim sidang peringkat separuh akhir
antara Sekolah Islam Adni dan SMIH.
(Foto: Musleh Debate)
Yang menariknya, selepas sidang pertama peringkat saringan, saya dan pendebat SMAAZ menghulur tangan sesama sendiri. Saya dengan berbesar hati menyambutnya. Yang menariknya juga, pada sidang peringkat separuh akhir, saya dipertemukan semula dengan SMIH (Pasukan B). Kali ini, saya menjadi hakim mereka. SMIH (Pasukan B) dipertemukan dengan Sekolah Islam Adni pada waktu itu.

Secara keseluruhannya juga, saya melihat bahawa para pendebat telah melakukan yang terbaik sedaya upaya mereka. Dalam hal ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada kesemua 73 orang pendebat yang bertanding atas kejayaan mereka merekodkan pencapaian yang tersendiri sepanjang berlangsungnya Musleh Debate 2014. Saya berharap semua akan meneruskan semangat untuk terus menyertai aktiviti debat dan pengucapan awam bahasa Arab. Jikalau kita semua mampu meneruskannya hingga ke masa hadapan, saya yakin aktiviti ini akan terus mendapat tempatnya yang tersendiri bukan sahaja di Malaysia, bahkan di seluruh dunia.

Pun begitu, saya amat mengharapkan agar, seandainya diberi peluang sekali lagi untuk menyertai pertandingan debat seperti ini, para pendebat terus melakukan penambahbaikan dan melakukan yang terbaik. Sejak IDC 2014 yang lalu, saya nampak para pendebat memerlukan penambahbaikan berterusan, terutamanya dari segi pengetahuan mengenai isu semasa, kebolehan menganalisa fakta yang berkredit dan mutu penghujahan. Pada hemat saya, seandainya semua jurulatih debat mampu memberi perhatian lebih kepada perkara ini, para pendebat mampu untuk mempersembahkan fikrah mereka dengan lebih baik lagi di masa hadapan. Pada masa yang sama, saya berharap agar kita semua dapat menggunakan bahasa Arab dengan baik dan berkesan.

Malam Kebudayaan: Berkongsi Rasa

Ketika mempersembahkan sajak sempena
Malam Kebudayaan Musleh 2014.
(Foto: Musleh Debate)
Pada kesempatan ini, saya ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada Musleh Debate kerana memberi peluang kepada saya untuk menyampaikan persembahan sempena Malam Kebudayaan Musleh Debate 2014. Sebagai penulis dan penyair negeri Sabah, saya hanya ingin berkongsi rasa suka dan duka dengan semua yang ada pada waktu itu.

Kita berduka kerana masih mengenangkan tragedi MH 370 dan MH 17. Pada masa yang sama, kita bergembira kerana dua perkara. Pertama, kerana kita sudah menghampiri tarikh 31 Ogos, Hari Kemerdekaan Malaysia. Kedua, kerana kita meraikan perpaduan, persaudaraan dan persahabatan sesama semua sempena Musleh Debate 2014. Oleh sebab itu, saya menyampaikan dua buah sajak berjudul “Pada yang Kehilangan” dan “Antara Perantauan dan Tanah Air”, selain memulakan persembahan dengan menyanyikan sebahagian daripada lagu “Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta”, lagu tema Sambutan Bulan Kemerdekaan Malaysia 2014.

Terima Kasih, Musleh!

Saya dan warga SM al-Azhar
Di akhirnya, saya, sekali lagi, ingin merakamkan ucapan tahniah yang setinggi-tingginya kepada Musleh atas kejayaan menganjurkan Musleh Debate 2014. Penghargaan yang setinggi-tingginya ingin saya ucapkan juga kepada Musleh atas layanan yang terbaik sepanjang pertandingan berlangsung.

Sebagai insan biasa, saya – seperti kalian – tidak dapat lari daripada kesilapan. Dengan rendah hati, saya memohon berbanyak kemaafan atas segala kesalahan, kesilapan, kekurangan dan kelemahan selama ini, lebih-lebih lagi sepanjang berlangsungnya Musleh Debate 2014. Saya berazam untuk memperbaiki diri sendiri pada waktu yang mendatang.

Terima kasih kepada semua yang sudi menghulurkan salam perpaduan, persaudaraan dan persahabatan selama ini, lebih-lebih lagi sepanjang berlangsungnya Musleh Debate 2014. Kepada yang mahu menghulurkan tangan kepada saya, saya bersedia untuk menerimanya demi mengecap redhaNya dan demi kelestarian perjuangan kita.

Semoga Allah merestui kita semua dengan rahmat, keampunan dan kasih sayangNya.

Comments