Ramadhan: Di Manakah Kedamaian?

Duka dalam Suka

Segala puji bagi Allah SWT yang menemukan kita dengan bulan Ramadhan. Selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW yang diteladani sepanjang zaman, juga ke atas kaum kerabatnya dan para sahabatnya yang dimuliakan.

Di saat yang kelabu ini, saya ingin bertanya, "Di manakah kedamaian?"

Alhamdulillah; Allah masih mengurniakan Malaysia nikmat kedamaian sehingga kita masih boleh hidup dalam suasana perpaduan dan kesederhanaan. Apa-apa pun yang berlaku, kita masih bebas bergerak di sana dan sini untuk menunaikan amalan dan melaksanakan kewajipan.

Pergilah, walaupun untuk seketika, keluar berjalan, nescaya kita masih merasakan kesejahteraan. Di situ, kita masih boleh menarik nafas kesyukuran, menghembus nafas kegembiraan. Firman Allah SWT, "Sesiapa yang bersyukur kepadaKu, sebenarnya dia turut mensyukuri dirinya sendiri." (Al-Quran, 31:12) Sampai satu tahap, kita terlebih gembira, sebenarnya.

Pun begitu, itukah jawapan sebenarnya? Jawapan itu betul hanya di satu sudut sahaja kerana hidup kita tidak akan sempurna jika hanya berfokus kepada satu semata-mata. Rasulullah SAW sendiri bersabda, "Barangsiapa yang tidak mengambil berat akan perihal orang-orang Islam, maka dia bukanlah dari kalangan aku."

Setakat itu, jawapan sebenarnya begini, "Jikalau hidup di bumi sendiri, di situlah kedamaian. Jikalau keluar dari bumi sendiri, telah hilanglah kedamaian."

Apa tidaknya, saya secara peribadi amat berdukacita atas apa-apa yang berlaku. Yang lain begitu juga; ya, saya mengerti. Saya nak beritahu bahawa saya berkongsi rasa yang sama dengan semua. Tapi, apalah sangat yang kita mampu lakukan di saat muram durja sebegini?

Palestin: Kecintaan Kita

Kita terkenangkan Palestin yang tercinta. Selama ini, apa-apa pun yang berlaku, Palestin adalah kecintaan kita, tetapi itulah kebencian musuh yang angkuh lagi durjana. Setelah hampir 7 dasawarsa, Palestin sekali lagi diranapkan sehingga rosak binasa. Runtuhnya tak berdosa, gugurnya tak berdaya. Yang ditentang bukannya sang panglima dan perwira, tetapi marhaen biasa yang tiadalah daya dan kuasanya.

Kembali kepada al-Quran. Betapa Allah amat murka kepada musuh yang itu sebenarnya (al-Quran, 1:7), sehingga menjadikan mereka kekal menjadi syaitan besar dunia, yang memadamkan Palestin daripada peta dunia, yang memamah rakyatnya yang hanya mahu terus kekal di tanah airnya atas haknya yang sedia ada. Selama itu, berapalah sahaja yang ambil kira keadaan mereka?

Ya, kita masih menyayangi mereka di saat yang lain menutup mata dan telinga mereka, mendinding negara mereka tanpa berkira. Atas dasar itulah, dengan apa-apa cara yang terdaya kita menolong mereka, biarpun kita sendiri amat berduka lara kerana ada sahaja yang menimpa kita.

Yang di sebelah sana, mujur dan syukur, ramai yang Allah pilih untuk bangkit dengan cara mereka. Kata orang kita, air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Nampak sahaja seperti tiada apa-apa. Sebenarnya, mereka sudah bersedia untuk mara untuk Islam dan dunia! Sementara itu, kita bantulah mereka dengan cara yang kita ada.

2 MH: Duka yang Lara

Berbulan sebelum itu (8 Mac), pesawat MH 370 hilang tanpa jejak di selatan Lautan Hindi bersama 239 orang penumpang dan krew. Tiada siapa-siapa yang tahu nasib kapal terbang itu dan orang-orang yang berada di dalamnya. Hanya Allah sahaja yang mengetahui. Hidupnya tak berlapor, matinya tak berkubur.

Belum selesai isu MH 370 yang tidak pernah berlaku sebelum ini, Baru-baru ini (17 Julai), pesawat MH 17 pula terhempas di Ukraine. Jatuhnya kapal terbang itu ditembak ke bumi mengheret negara ke jalan mati tak bersimpang dan bertepi. Gugurnya MH 17 bersama 298 orang penumpang dan anak kapal meninggalkan mimpi ngeri dan memori duka abadi.

Apa tidaknya? Semua sudah meraung kedukaan atas tragedi yang cukup tragik dan tidak berperikemanusiaan. Akibat sengketa dua negara, negara kita yang berkecuali terheret sama menjadi mangsa yang nyaris tidak dapat membela dan dibela. Bukan sahaja yang kehilangan merasakan, bahkan yang menyertai rasa mereka turut sama. Tiada sesiapa yang menghendakinya, bukan?

Nasib Tempat Sendiri

Di tanah air sendiri, musuh masih mencemburui. Mereka menculik orang di sana dan sini; menembaklah pula hingga gugur para pahlawan negara dalam keadaan yang menyayat hati. Sudah diperintah oleh penguasa khas pantai timur, musuh menjadi lebih buas lagi.

Cukuplah peristiwa di Lahad Datu dan Semporna yang menulis sejarah hitam negara dengan dakwat merah. Walaupun yang tercabar kedaulatannya hanya di timur negeri, seluruh negara membimbangi; yang berada satu negeri apatah lagi. Mahu berterima kasih kepada para perajurit dan perwira atas pengorbanan mereka; itupun kepada yang masih hidup lagi. Kepada yang telah mendahului, hanya doa dan ingatan menjadi pengganti.

Menyedari hakikat ini, kita cukup berhati-hati dan masih perlu berhati-hati. Jikalau kita masih melakukan itu dan ini, harap diingati bahawa ada yang masih mahu mengganyang kampung sendiri. Jikalau itu berlaku, firman Allah SWT, “Sediakanlah segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan untuk menentang mereka.” (Al-Quran, 8:60)

Ramadhan dan Syawal

Mengenangkan sandaran saya tadi, banyak lagi kesedihan yang ingin dikongsikan. Tapi, saya tak sampai hati. Cukuplah kesanggupan sampai di sini. Kesedihan membuatkan kita seolah-olah tidak hidup lagi. Kesedihan ini membuatkan Ramadhan seakan malap cahayanya dan Syawal seakan suram warnanya. Lebih dari itu, kesedihan membuatkan kita menderita untuk beberapa tempoh yang lama lagi, entahlah sampai bila.

Beginilah Ramadhan kita kali ini penuh dengan duka lara, terbawa sehingga ke Syawal yang ceria. Untuk mengubat kesedihan amatlah sukar sesungguhnya. Tetapi, percayalah, “Setiap kesusahan akan disertai dengan kemudahan.” (Al-Quran, 94:6) Itulah ingatan yang tulus dari diri saya buat diri saya dan semua.

Mencari kedamaian amatlah sulit sesungguhnya. Namun begitu, sebenarnya, kedamaian masih ada apabila kita tahu cara untuk mencarinya dan menghargainya. Oleh itu, senyumlah kerana kedamaian masih hadir dalam dunia kita, dan menangislah kerana kelak kedamaian akan menghilang jua.

Caranya dengan meneruskan aktiviti kita dalam bulan Ramadhan seperti biasa, sekurang-kurangnya. Sabda Rasulullah SAW, “Barangsiapa yang menghidupkan bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, nescaya akan diampuni dosa-dosanya yang telah berlalu.” Lebih baik lagi sekiranya kita dapat menghidupkannya lebih daripada biasa. Itu satu bonus.

Ramadhan adalah bulan kasih sayang. Kasih sayang Allah menjadi luar biasa pada bulan ini. Tawaran yang ada pada 11 bulan yang lain dilipat gandakan pada bulan ini. Lebih daripada itu, bulan ini mengandungi satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan (al-Quran, 97:3). Di sinilah, dengan sedaya upaya kita, kita cuba menghidupkannya sebaiknya.

Kita gunakanlah peluang yang ada pada bulan Ramadhan untuk memperbanyakkan ibadah sunat, memperbanyakkan zikir dan doa, mendekatkan diri dengan al-Quran, melazimkan amalan sunnah Rasulullah SAW dan menggandakan sedekah. Paling tidak pun, kita lakukan amalan yang sedikit tetapi berterusan, yang Allah SWT amat sukai.

Sesedih mana pun kita, Allah SWT mensyariatkan 1 Syawal untuk bergembira. Atas apa-apa kesedihan sekalipun, bergembiralah dengan cara yang kita ada; itu ibadah. Kita bergembira pada 1 Syawal atas harapan dan doa agar Allah menerima amal ibadah kita sepanjang Ramadhan, dan atas kepercayaan bahawa Aidilfitri adalah hari untuk kembali kepada fitrah yang asal.

Kita teruskannya seperti biasa, InsyaAllah. Kita bersalaman dan bermaafan sesama kita, berkunjung ke rumah sanak-saudara dan sahabat handai, menjamu selera sambil menikmati rasa gembira, seperti biasa.

Siapa yang Tidak Berduka?

Ya, siapa yang tidak berduka? Kita pasti akan terkenangkan orang-orang yang tersayang yang jauh mahupun yang tidak lagi bersama kita kerana sudah mendahului. Secara peribadi, saya juga berdukacita walaupun saya masih mampu bergembira.

Buat setiap yang telah mendahului kita, kita doakan, semoga Allah mencucuri rahmat ke atas mereka semua dan menempatkan mereka di dalam syurgaNya. Buat yang jauh dari kita, kita doakan, semoga Allah memberkati kehidupan mereka dan melindungi mereka daripada musibah dan derita. Buat setiap yang ditinggalkan sementara dan selamanya, kita doakan, semoga Allah memberikan ketabahan dan kekuatan kepada mereka dan kita untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.

Senyumlah kerana Allah masih mengizinkan kita sebuah kehidupan, dan menangislah kerana kita sudah semakin hampir kepada alam perpisahan.

Carilah Damai Itu

Kesimpulannya, damai itu ada dalam diri kita semua. Kita akan merasainya kerana merasa gembira, disayangi oleh semua dan direstui oleh Allah yang Maha Esa. Namun, damai itu akan terasa hilang apabila mengenangkan peristiwa hitam dan duka. Oleh itu, pesan untuk diri dan semua, carilah kedamaian bersendiri dan dalam komuniti, dan hargailah kedamaian itu kerana kedamaian itu amat mahal harganya, tiada tara nilainya. Kedamaian itulah yang membuatkan kita rasa selamat untuk ke mana-mana pada bila-bila masa. Itu semua dengan izin Allah yang Maha Kuasa hendaknya.

Akhirnya, dipohonkan, semoga Allah SWT memberikan kita kekuatan untuk meneruskan kehidupan dalam apa-apa jua keadaan, menerima segala amalan kita yang terdaya di bulan Ramadhan, mengekalkan kita dalam istiqamah dan bersemangat untuk berilmu, beramal, berbudi dan berbakti pada hari yang mendatang, selagi umur berbaki; dan semoga Allah merestui kita semua dengan rahmat, keampunan dan kasih sayangNya.

Comments