Dirgahayu Sekolah Tercinta (SMKA Keningau, Sabah)

“Dirgahayu Sekolah Tercinta” ditulis atas rasa syukur kerana menjadi sebahagian daripada warga ilmu. Perasaan itulah yang kemudiannya menjadi suatu manifestasi untuk memupuk semangat jitu menuju kejayaan di dunia dan di akhirat. Dengan menjadikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Islam sebagai sandaran, karya ini sekurang-kurangnya menjadi inspirasi setiap insan untuk merealisasikan aspirasi peribadi dan komuniti agar menjadikan pendidikan sebagai kunci utama untuk menghadapi alam sebenar kehidupan.

Pun begitu, halatuju yang cuba dibawakan tidak terhad di situ sahaja. Hal ini demikian kerana, menjadi warga ilmu bermakna membawa seribu satu amanah pada masa kini yang mengandungi seribu satu harapan untuk masa hadapan. Perkara ini selari dengan prinsip Islam, “Memiliki dunia dan akhirat dengan memiliki ilmu.” Islam itu sendiri bermula dengan tema ilmu. Kembali kita kepada wahyu Ilahi yang mula-mula sekali diterima oleh Rasulullah SAW, “Bacalah!” Dari sirah itu, Allah SWT ingin menunjukkan peri mustahaknya ilmu dalam membina kehidupan di dunia dan di akhirat.

Namun, memiliki ilmu sahaja tidak mencukupi. Selain berilmu, kehidupan memerlukan kita untuk berbudi dan berbakti. Ilmu yang difahami memungkinkan khidmat bakti. Ilmu yang diberkati memungkinkan pula budi pekerti. Ilmu yang diaplikasi, kemudiannya, memungkinkan amal ibadah. Di situ, kita akan dapati betapa seorang insan, khususnya seorang Muslim, berpegang kepada prinsip “berilmu, beramal dan bertaqwa”.

Atas kesedaran itu, dan atas tekad untuk “Sentiasa Menuju ke Arah Kecemerlangan”, dengan izin dan rahmat Allah SWT, Kementerian Pendidikan telah menubuhkan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Keningau (SEMEKAK), Sabah, SMKA yang ke-57 di Malaysia dan yang ke-9 di negeri Sabah, yang memulakan operasinya pada Februari 2013. Kesedaran yang sama jugalah yang menyumbang kepada pembukaan berpuluh – bahkan beratus – institusi pendidikan agama pelbagai peringkat milik kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan sejak zaman pra-merdeka.

Oleh itu, kita harus bersyukur kerana dikurniakan oleh Allah SWT dengan sebegitu rupa. Begitulah yang Dia kehendaki seperti yang terkandung pada kalam suciNya, “Jikalau kamu bersyukur, nescaya aku akan tambahkan. Jikalau kamu kufur, (ingatlah,) sesungguhnya azabKu sangatlah pedih.” Tidak cukup sekiranya syukur hanyalah bermaksud terima kasih kerana definisi syukur lebih luas dan jauh daripada sekadar mengucapkan terima kasih. Dalam erti kata yang lain, mengungkapkan rasa syukur mempunyai pelbagai cara yang luar biasa dan lebih daripada yang biasa.

Salah satu caranya adalah dengan meraikan semangat persaudaraan dan perpaduan. Selama ini, itulah yang Rasulullah SAW ajarkan. Buka kembali Sirah Nabawiyyah, kelak kita akan fahami betapa Rasulullah SAW sangat mementingkan persaudaraan dan perpaduan. Lebih dari itu, Allah SWT sendiri menyebutnya dalam al-Quran, “Berpegang teguhlah kamu pada tali Allah dan janganlah kamu berpecah-belah,” dan “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara.”

Kita mulakan persaudaraan dan perpaduan di sekolah. Dalam hal ini, semua pihak dalam sekolah – terutamanya guru, pelajar dan ibu bapa – hendaklah menjalinkan kerjasama pintar dan aktif. Caranya mudah; dengan cara setiap pihak memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan sesebuah sekolah. Begitulah seperti yang dihasratkan oleh Kementerian Pendidikan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, yang memberi tumpuan utama kepada sekolah.

Melalui usaha tersebut, kita jangkakan sesebuah sekolah akan merekodkan kecemerlangan signifikan dan bermaruah dengan menepati petunjuk prestasi utama (KPI) dan mencapai kejayaan dalam bidang keberhasilan utama (KRA) seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan. Dalam pada itu, sebagai insan, suatu usaha tidak akan sempurna tanpa meminta petunjuk dan bantuan daripada Allah SWT. Dalam erti kata lain, insan hanya merancang, Allah yang menentukan.

Kejayaan dan pengekalan sesebuah sekolah tidak boleh disandarkan kepada usaha manusia semata-mata. Tanpa restu dan kasih sayang Allah SWT, kejayaan sesebuah sekolah tak mungkin menjadi nyata. Di situ, kita melihat betapa pentingnya manusia meminta kepada Penciptanya Yang Maha Berkuasa atas segala-galanya. Di situ jugalah, kita berdoa, meminta daripadaNya, agar Allah SWT mengekalkan SEMEKAK dalam restu dan kasih sayangNya, dan seterusnya mengekalkan SEMEKAK sebagai sebuah sekolah yang kekal berjaya, berbudi dan berjasa kepada semua.

Comments