Hakikat Dua Dekad

Segala puji bagi Allah yang telah merahmati ayahbonda saya dengan kelahiran saya pada hari ini, sudah berlalu 20 tahun lamanya. Selawat dan salam buat kekasihNya SAW yang telah meninggalkan saya dan kita semua dengan dua warisannya yang berharga, Kitab Allah dan Sunnahnya; juga ke atas kaum kerabatnya dan para sahabatnya yang teramat mulia.

Terima kasih, Allah, yang masih mengizinkan sebuah kehidupan untuk saya, sehingga ke saat ini. Sedar tak sedar, saya telah mencecah usia baru; sudah pasti dengan azam yang baru, disertai pula dengan semangat yang baru. Tetapi, ketahuilah, memasuki alam baru bukanlah sesuatu yang mudah lagikan bererti.

Tentu sekali, selama ini hingga ke saat ini, saya dengan sedaya upaya menuntut ilmu berguna dan pengalaman berharga, meneroka serata negara, merasai pahit manis seorang kembara, merasai saat suka dan duka seorang hamba Maha Pencipta, memburu rahmat dan redhaNya yang Maha Esa. Dalam tempoh itu, Alhamdulillah, Allah kurniakan saya dengan kejayaan yang bermakna.

Namun begitu, ketahuilah, meski semua itu bagi diri saya punya takrifannya yang amatlah dihargai, kehidupan saya yang sebenar-benarnya sungguh tiada bererti. Saya bukanlah insan yang istimewa. Saya tidak lebih dan tidak kurang adalah seorang manusia biasa, seperti kalian dan mereka. Terasa diri ini begitu banyak dosa kepada Allah dan juga kepada manusia. Sekuat mana pun azam untuk meninggalkannya, untuk mendayakannya amatlah sukar sebenarnya. Sesukar mana pun, saya mengerti bahawa, “Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka mengubah diri mereka sendiri.”

Semoga Allah SWT mengampunkan dosa-dosa saya sepanjang 20 tahun lepas, dan untuk masa kehidupan yang berbaki. Sambil itu, saya dengan rendah hati ingin memohon berbanyak kemaafan daripada semua – ayahbonda, ahli-ahli keluarga, sanak saudara, para pendidik, para sahabat dan semua yang mengenali, mendekati dan mensahabati diri ini – atas kesalahan, kesilapan, kelemahan dan kekurangan saya selama ini. Yakinlah, saya dengan sedaya upaya akan memperbaiki diri saya dengan sebaiknya.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada ayahanda, Awang Marusin bin Marasin, dan bonda, Nor Hashimah Ismail. Mereka berdua selama ini telah banyak berkorban untuk diri saya; menerima saya dalam apa-apa keadaan sekalipun. Mereka juga, selama ini, telah mendidik saya perkara yang paling asas dalam kehidupan, membesarkan saya dalam alam Islam dan Malaysia dan mengasuh saya menjadi insan yang berguna kepada semua. Ya, merekalah guru pertama saya selama ini, meskipun tidak menjadi guru sebenar. Saya tidak dapat mengira jasa dan bakti mereka sesungguhnya.

Kepada kekanda, Dayang Nur Qawira, dan adinda, Dayang Nur Nashrah, terima kasih yang tidak terhingga juga diucapkan. Mereka, selama ini, telah menceriakan dan menggembirakan keluarga dengan cara mereka sendiri. Kepada seluruh sanak saudara, sama ada yang telah mendahului dan masih bersama, terima kasih yang tidak terhingga juga saya ucapkan atas nasihat, dorongan, sokongan dan doa selama ini. Mereka juga selama ini telah memeriahkan kehidupan saya dan keluarga dengan cara mereka sendiri di mana-mana pun kami berada.

Kepada para pendidik, di mana-mana pun selama ini saya dididik dan dilatih, di kota juga di desa, jutaan terima kasih saya ucapkan. Mereka selama ini telah mengajarkan tulis baca dan kira-kira, mengenalkan saya akan bahasa ibunda, antarabangsa dan agama, mendidik saya mengenali pelbagai disiplin ilmu berharga, mendedahkan saya akan minat dan jurusan saya yang sebenar-benarnya dan membawa saya meneroka segenap pelusuk kota dan desa secara akademik dan koakademik. Saat saya berjauhan dari ayahbonda, merekalah yang mengganti ayahbonda di rumah sana.

Kepada para sahabat, kawan dan rakan, lebih-lebih lagi yang saya anggapkan sebahagian daripada saya, jutaan terima kasih juga saya ucapkan. Merekalah yang selama ini menggantikan keluarga saya yang saya tinggalkan kerana meneruskan amanah di kejauhan. Merekalah yang selama ini mengenalkan saya akan kemasyarakatan dan persaudaraan, memahamkan saya akan erti kehidupan dan menemani saya di waktu bersendirian dan pada masa yang memerlukan.

Kepada yang lain, yang mengenali, mendekati dan mensahabati saya selama ini, kalian juga turut dihargai atas jasa kalian sendiri. Merekalah yang selama ini telah menggalakkan saya untuk memanjangkan silaturrahim, menyelami denyut nadi rakyat, memahami situasi sebenar masyarakat, menginsafi hakikat dunia dan menyedarkan saya akan pelbagai perkara.

Saya ingin katakan di sini sebenarnya bahawa, meskipun saya lebih gemar untuk berseorangan, hakikatnya, saya tak mampu. Benar, saya hidup dengan usaha dan doa saya sendiri. Namun begitu, saya tidak dapat dan tidak sekali-kali menolak bahawa saya juga hidup dengan usaha dan doa yang lain. Untuk semua, terima kasih atas doa, nasihat, dorongan, sokongan, bantuan dan kasih sayang yang diberikan kepada saya selama ini. Tanpa itu semua, wujudnya saya di sini tidak membawa apa-apa erti.

Semoga Allah mengizinkan kehidupan saya untuk masa yang berbaki. Semoga Allah mengampunkan dosa dan noda saya dari dulu hingga kini dan nanti. Semoga Allah menerima semua amalan saya di kebelakangan, di masa kini dan masa hadapan. Semoga Allah terus mengurniakan saya kekuatan dan pertolongan untuk meneruskan kehidupan yang penuh dengan cabaran dan dugaan.

Semoga Allah menyayangi setiap insan yang menyayangi saya, memaafkan setiap insan yang memaafkan saya dan meredhai setiap insan yang berbuat baik kepada saya. Semoga Allah tidak memutuskan harapan kita semua. Yang paling penting, semoga Allah merestui kita semua dengan rahmat, keampunan dan kasih sayangNya.

AWANG ABDUL MUIZZ BIN AWANG MARUSIN
Seremban, Negeri Sembilan

13 Jun 2014

Comments