Memperingati Guru

(sempena Hari Guru 2014)

Segala puji dan syukur saya panjatkan ke hadrat Allah SWT. Maha Suci Allah yang menciptakan agama Islam sebagai sebuah agama yang mempunyai cara hidup yang lengkap yang meliputi seluruh aspek kehidupan. Dialah yang mengajarkan Rasulullah SAW tulis baca. Dengan ilmu itulah, Rasulullah SAW diangkat menjadi utusan Allah, kekasih Allah dan guru kepada seluruh umat Baginda di dunia.

Selawat, salam dan penghargaan juga dipanjatkan ke atas Rasulullah SAW. Baginda – yang Siddiq (jujur), Amanah (bertanggungjawab), Tabligh (menyampaikan) dan Fatanah (bijaksana) – adalah sebaik-baik guru bagi seluruh manusia. Baginda tidak meninggalkan apa-apa melainkan al-Quran dan as-Sunnah. Dua perkara yang Baginda SAW tinggalkan amat bererti bagi kita semua yang mencintai Baginda. Begitulah sucinya kasih sayang Baginda SAW kepada umat Baginda.

Saya rasa baru kini saya tersedar – walaupun barangkali kesedaran itu sudah datang lama di bawah sedar, betapa perjalanan untuk menjadi seorang guru bukanlah mudah. Jikalau perjalanan sebegitu sudah cukup sukar, perjalanan hidup ketika menjadi seorang guru apatah lagi. Namun begitu, saya mengerti, hidup seorang bakal guru, lagikan hidup seorang guru sebenar, amatlah bererti.

Guru adalah insan yang paling penat di dunia. Namun, guru jugalah insan yang terpilih menjadi yang mulia di dunia juga nanti di akhirat sana. Allah angkat darjat para ilmuwan berbilang darjat lebih tinggi berbanding yang lain, dan sama taraf dengan orang-orang yang beriman. Rasulullah SAW pula mengiktiraf para ilmuwan sebagai waris para nabi. Saidina Ali bin Abu Talib KW, di sudut yang lain, menganggap guru sebagai tuan kepada hambanya. Betapa hebat seorang guru sesungguhnya.

Pun begitu, tiada apa yang perlu dibanggakan apabila sampai langkah menuju cita-cita keguruan, juga apabila menjadi seorang guru. Sama ada kita belum, masih dan sudah pun menjadi seorang guru, guru sendiri memerlukan kepada guru yang lain. Begitulah hakikat, kita sebenarnya adalah seorang guru juga seorang pelajar, menuntut ilmu dan hikmah dari yang lebih alim sepanjang hidup, dan menyampaikan semula ilmu dan hikmah itu kepada yang seterusnya hinggalah ke akhir zaman kehidupan.

Saya belajar daripada guru-guru saya betapa hidup seorang bakal guru sangat kritis. Sebenarnya, saya ingin menceritakan suka duka saya berada dalam arena latihan pendidikan. Namun, saya masih tidak layak untuk bercerita tentangnya, bak kata orang kita, “Belum cuba, belum tahu,” kerana saya masih baru dalam pendidikan; belum pun mendapat lesen mengajar dan tauliah perguruan.

Saya juga belajar daripada para pendidik saya betapa hidup seorang guru lebih menguji kesabaran. Selama ini, gurulah yang mengajar saya membaca, menulis dan mengira. Guru jugalah yang memperkenalkan pelbagai disiplin ilmu – bahasa, sains dan matematik, sains sosial, teknik dan vokasional dan pendidikan Islam – kepada diri saya. Guru jugalah yang selama ini telah menggalakkan saya untuk meneruskan tumpuan saya terhadap bahasa Arab dan pendidikan Islam. Guru jugalah yang selama ini telah mengenalkan saya akan erti kehidupan. Guru jugalah yang selama ini membantu saya menjadi seorang insan yang baik. Guru jugalah, akhirnya, yang menggalakkan saya untuk mengejar cita-cita mulia, untuk menjadi seorang guru; juga untuk menjadi insan yang berguna dan bermanfaat kepada semua. Saya beruntung kerana dapat belajar daripada mereka semua.

Untuk menghitung pengorbanan seorang guru, tak terkira sesungguhnya. Jangan dibilang pakai jari kerana bilangan jasa guru sudahpun melebihi jari yang dikurniakan oleh Ilahi. Hanya guru yang memahami cabaran hebat yang mereka tempuhi. Yang pasti, gurulah yang akan sentiasa berdiri di hadapan, memimpin perubahan, menjana kemajuan agama, bangsa dan negara melalui dasar dan amalan pendidikan yang wujud berkekalan.

Oleh hal yang demikian, dengan rasa rendah hati dan penuh kesyukuran, saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pendidik yang telah mengajar saya selama ini di pelbagai tempat dan pada pelbagai ketika. Secara khusus, saya ingin merakamkan ingatan dan penghargaan saya kepada jabatan dan institusi berkaitan – tidak dapat saya sebutkan satu persatu – berserta para pendidiknya atas bakti dan budi mereka sepanjang keberadaan saya di situ.

Tanpa guru, kehadiran saya di dunia tidak bererti. Tanpa guru, tiadalah saya berilmu. Andai berilmu sekalipun, saya mungkin sesat tak bertuju kerana tiada siapa yang mahu membantu selain guru. Tanpa guru, saya mungkin tidak kenal lagikan faham akan erti hidup di dunia dan bayangan hari akhirat. Lebih teruk lagi, tanpa guru, saya tidak kenal Allah; juga Islam yang diredhaiNya. Selama ini, guru saya telah banyak berkorban untuk saya dan para pelajar mereka. Hasrat mereka tidak lain hanyalah untuk melihat para pelajarnya berjaya di dunia dan di akhirat sana.

Kepada ibu bapa saya, guru utama saya, saya ingin juga mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga. Semenjak kelahiran, merekalah guru saya yang awal sekali mengajar saya untuk mengenal Allah, mengenal dunia, memahami hakikat kehidupan dan mensyukuri rahmat hidup berkeluarga. Sampai ke saat ini, tanpa rasa berkira, mereka masih mengajar saya untuk menghadapi kehidupan yang lebih mencabar di masa muka. Merekalah itu guru saya meski mereka bukanlah petugas rasmi pendidikan negara.

Kepada adik-beradik dan sanak saudara, ingin juga saya ucapkan berbanyak terima kasih. Kalian juga sudah menjadi sebahagian daripada alam keguruan, bagi saya. Daripada kalian, saya mampu memaknakan silaturrahim, semangat kekeluargaan dan pembudayaan adat warisan.

Kepada para sahabat, lebih-lebih lagi buat 'adik-beradik' saya, kalian juga, selama ini, telah menjadi sebahagian daripada alam keguruan, bagi saya. Daripada kalian, saya belajar menghargai semangat kefahaman, mentakrif makna persahabatan, mewarnai kehidupan dengan kegembiraan dan mencontohi teladan. Berbanyak terima kasih saya ucapkan.

Di kesempatan ini, saya pohonkan keampunan daripada Allah SWT atas semua dosa dan noda saya, dan daripada kalian semua saya ingin mohon berbanyak kemaafan atas semua salah silap saya sepanjang kehidupan. Semoga Allah meredhai ilmu dan hikmah yang tersemat di minda dan jiwa, dan semoga Allah merestui semua yang pernah menyampaikan ilmunya kepada saya dengan rahmat, keampunan dan kasih sayangNya.

Comments