Di Sebalik Rasa Bersendiri

Apabila dirimu sudah tidak berdaya lagi
untuk bersama buat kesekian kali di sisi
Pergilah, sedikitpun tiada yang menghalangi

Selama mana pun bersama di sebelah sini
sesaat kita di mana pun tetap akan bersendiri
kalau bukan tika hidup, nanti setelah pergi

Meski sukar untuk menerima lagikan memahami
cita dan cinta yang selama ini telah menyatu dua hati
cita dan cinta jugalah yang nanti memisahkan dua diri

Datanglah bersama dan pergilah berasing diri
mengejar cita murni dan cinta hakiki Ilahi
juga mencari syafaat bererti Rasul berpekerti

Kerana selama mana pun penyatuan bersemi
jikalau sampai Takdir Ilahi, hanya redha menemani
diri yang meredhai, di waktu Pencipta meredhai.

Bukan bererti aku tidak berkehendakkan dirimu lagi
Namun, begitulah, masing-masing ada harapan dan aspirasi
Memungkin diri meminggir menjadi solo tiada bererti

Sebelum ini, sudah cukup lama hidup bersendiri
membetul kelemahan, mencari kekuatan peribadi
bersiaga untuk cabaran lagi hebat waktu nanti

Mudah-mudahan untuk sekali lagi
di sana, kalau bukan di sebelah sini
Tuhan menyatukan jiwa kita lagi di sudut yang sungguh bererti

Sampai bila pun diri meminggir dari sebelah sini
andai benar-benar kau sudah tidak lagi di sini
semoga Tuhan memerhati dan mensahabatiku rapat selama aku di sana dan sini.

Masjid Sultan Ahmad Shah, UIAM, Gombak, Selangor
Isnin, 5 Mei 2014, jam 11.58 malam

Comments