Buat Sahabat yang Beruntung

Aku masih ingat. Aku bertemu kau buat pertama kali dalam Surau Mahallah kita. Waktu itu, kita baru sudah solat hajat sempena Peperiksaan Akhir Semester. Itulah betul-betul pertama kali aku menemui kau.

Aku tak pernah mengimpi untuk menemui kau selama ini. Tetapi, apabila sampai takdir Ilahi, begitulah sudah terjadi. Takdir itu sudah menjadi realiti.

Apabila Allah menjadikan kau sebagai sahabat aku, aku tak pernah menyesali bahkan sebenarnya aku beruntung.

Walaupun kau takkan mengesahkan semua ini, aku tak pernah tipu; kau cukup baik. Kau cukup rajin. Sesaat pun kau tak nak terpisah daripada ilmu, atau kau merasa rugi yang sangat besar. Kau sungguh menepati prinsip diri kau sendiri, “Bantu diri sebelum membantu orang lain.”

Untuk menjadi seorang kau sesungguhnya bagiku sungguh mustahil sebab Allah menjadikan aku dengan identiti tersendiri. Identiti itulah yang membuatkan aku sepanjang hidup aku, walaupun – bersama rasa syukur ke hadrat Allah – Allah rahmati aku dengan ramai kawan dan kenalan, aku sebenarnya...

Aku hanyalah seorang diri sepanjang hidup. Dari tadika, sekolah rendah dan menengah, sehinggalah ke saat aku di menara gading sekarang ini, aku hanyalah aku. Meski ada sahaja orang di sekeliling, sebenarnya aku tidak berteman melainkan diri aku sendiri. Oleh sebab itu, aku sanggup untuk ke mana pun, tanpa mengira nasib dan keadaan sekeliling, bersendiri.

Tapi, tanggapan itu salah bagi aku. Seolah-olah aku tak pernah menghargai setiap yang ada di sekeliling. Alhamdulillah. Masih ada yang sudi menemani. Sudah sifat insan itu memerlukan pula kepada insan yang lain, yang hakiki.

Tapi, tak semua orang aku jadikan teman sejati; supaya aku dapat belajar dari mereka yang bagi aku cukup murni dan sejati.

Kau adalah salah seorang daripadanya.

Sejak aku betul-betul mengenali kau; dan sejak aku mendakap rapat kau buat pertama kali di Masjid kita pada waktu kau baru sahaja menjadi pelajar prasiswazah, aku tak pernah tipu untuk mengatakan, kau cukup baik.

Aku tak pernah tipu. Kau, aku anggap macam adik aku sendiri. Aku bukan abang kau. Walaupun kau senior aku di universiti, umur kita sungguh sama, meski aku lahir dulu, baru kau, dalam tahun yang sama.

Aku bahagia kerana mengasihi orang, walaupun sebenarnya aku, untuk dikasihi oleh orang, sangatlah mustahil.

Aku kenal diri aku sendiri. Aku, dengan sedaya upaya aku, cuba untuk memperbaiki diri aku sendiri dari semasa ke semasa.

Terima kasih. Kau selama ini cukup baik bagiku.

Kau selama ini cukup memahami aku. Kau selama ini sudah bagi banyak nasihat dan pengajaran kepada aku. Betapa banyak perkongsian yang sebenarnya cukup menyentuh dan membuatkan hati aku sebenarnya semakin lama semakin mengerti akan hayat insani.

Kau sudah luangkan banyak masa kau bersama aku; walaupun, pada hakikatnya, kau adalah milik sahabat-sahabat rapat kau sendiri dari golongan kejuruteraan seperti kau sendiri.

Kau selama ini cukup dekat di hati aku. Cuma, aku sedar, aku bukan milik kau. Kau juga bukan milik aku. Aku dipunyai oleh golongan pendidikan yang sebenarnya membawa beban yang lebih berat berbanding golongan lain.

Benar, kau sedang memikul beban berat untuk menjadi seorang jurutera yang berjaya membawa negara secara fizikalnya ke arah jaya. Walaupun amat sukar, aku faham akhirnya. Sebab itulah, kau sepuluh, mungkin seratus kali, lebih rajin belajar berbanding aku.

Atas dasar itu, kau telah menendang aku ke tepi supaya kau capai cita-cita kau yang sungguh murni. Walaupun aku kesakitan ditendang sebegitu, aku tetap memahami.

Atas komitmen memahami, aku terkadang sudi berhenti di tepi daripada meneruskan perjalanan bersama kau. Hala kita sungguh tak sama.

Tapi, tak mengapa. Kita masih sama di beberapa perkara dan ketika.

Aku dengan sedaya upaya telah memberikan hak aku ke atas kau, walaupun terkadang aku terpaksa menyeksa diri aku sendiri untuknya.

Maafkan aku. Aku masih belum dapat memberikan sepenuh hak aku ke atas kau.

Maafkan aku. Aku masih belum dapat memahami diri kau sepenuhnya, meski aku sungguh mengenali dan memahami seorang kau.

Maafkan aku. Aku selama ini banyak menyusahkan kau.

Maafkan aku. Aku selama ini banyak buat salah dan silap terhadap kau.

Maafkan aku. Aku selama ini telah memberi layanan yang sangat kasar terhadap kau.

Cuma, aku harap kau mengerti.

Bagusnya waktu kau tak ada hari itu, ada sahabat kita yang datang kepadaku mendengar cerita aku, kesemuanya. Ya, dia juga berkira seperti aku, seperti kau, di beberapa ketika. Tetapi, pada waktu itu, seolah-olah dia sudah tidak berkira lagi. Aku cukup berterima kasih kepada orang itu.

Bagusnya waktu kau tak ada hari itu, ada seorang ahli Yang Berhormat datang ke rumah kami di Kuala Pilah. Dia cukup sedih atas kehilangan al-Marhum nenda aku, sahabat beliau. Tetapi, sesudah ketiadaan al-Marhum atuk, YB itu masih mengingati, walaupun pada dasarnya bukan mudah baginya untuk menziarahi al-Marhum atuk semasa hidup. YB itu EXCO Kerajaan Negeri Sembilan.

Aku belajar daripada YB itu. Dia tak pernah berkira walaupun jadual untuk menguruskan Kerajaan Negeri bersama Menteri Besar dan EXCO lain, juga untuk melawat kawasan, mengambil berat hal ehwal kawasan, sungguh-sungguh padat.

Aku cukup berterima kasih atas kehadiran YB itu.

Aku tak marahkan kau kerana tugasan yang banyak itu. Aku juga tak marahkan kau kerana mengambil keutamaan lain mengatasi diri aku sendiri.

Aku seperti kau juga sebenarnya.

Cuma, sekali lagi, aku sungguh berharap agar kau mengerti, walaupun untuk menerima hakikat yang kau ada itu dan ini amatlah berat dan susah.

Aku tak minta kau berada di sisi kau 24 jam sehari, 7 hari seminggu. Tidak sama sekali. Dapat berada di sisi kau untuk seketika pun, mendengar seorang aku, aku cukup berpuas hati.

Untuk itu semua, selama ini, terima kasih aku ucapkan. Kau selama ini cukup memahami aku.

Cuma, begitulah, aku harap kau mengerti. Aku ada hajat.

Saat aku berjumpa kau semula setelah kehilangan itu, aku cukup sedih. Seolah-olah kau tak nak memahami.

Tapi, bagusnya, aku tak memilih untuk marah. Tak ada silap kau di situ. Aku dah maafkan. Bukan setakat yang ini, bahkan yang dulu pun sudah aku maafkan.

Saat aku mengenangkan kau, kalau boleh, aku nak menangis.

Aku sentiasa menunggu, bilalah aku dapat bercakap semua ini setelah pemergian al-Marhum atuk dengan kau? Bilakah lagi aku dapat selesaikan perkataan-perkataan aku yang terakhir sebelum pergi?

Sengaja aku diamkan semua ini selama ini, walaupun aku terpaksa makan dan hancurkan hati aku sendiri untuk menahan semua ini.

Tapi, aku tahu, aku sendiri telah membuatkan kau cukup berat untuk memikul aku, dan telah membuatkan hati kau cukup gelisah. Maafkan aku. Kau tak ada salah sebenarnya.

Aku memilih untuk bertemu kau di bilik tempat jari aku menekan papan kekunci untuk menyatakan semua ini, supaya aku dapat selesaikan semua cerita aku dengan kau tanpa perlu orang lain – terutamanya yang mengenali – untuk mendengar. Hanya aku dan kau yang mendengar ini semua.

Sengaja aku berkata ini semua; tapi, bukannya untuk tidak menghargai kedatangan kau ke bilik aku di UIAM PJ dulu waktu aku tidur, walaupun bukan untuk berjumpa dengan aku.

Ya, kau pernah datang bilik aku, walaupun bukan di sini. Aku masih mengiktirafnya.

Aku tahu kau ahli Masjid. Aku raikan itu. Aku belajar dari kau banyak benda, termasuk yang ini. Aku raikan kehendak kau yang aku akan selalu berjumpa dengan kau di Masjid. Tapi, ketahuilah, sudah aku cakap dulu, tak semua benda aku boleh bercerita di situ. Sebab itu, aku diamkan.

Aku tahu kau cukup rajin. Sebab itu, aku juga menjadi rajin menziarahi kau tanpa mengira apa-apa yang sepatutnya aku buat. Boleh jadi aku zalim akan diri aku sendiri.

Cuma, aku nak kau tahu, aku sedih kerana mendiamkan semua ini. Juga untuk memahami semua ini. Berat bagi aku.

Mujur dan syukur, ada yang sudi mengganti kau dalam hal ini. Begitulah, yang patah akan tumbuh, yang hilang akan berganti.

Aku kelamaan mengerti. Masa dan cita-cita yang memisahkan kita. Tak lama lagi, aku akan kehilangan kau. Aku cukup berat untuk menerima semua ini.

Selama ini, aku telah mendakap kau dengan cukup erat.

Selama ini, kau adalah seorang sahabat dan 'adik' yang cukup dekat di hati.

Selama ini, kau telah beri banyak nasihat kepada aku untuk meneruskan kehidupan.

Selama ini, kau telah membuatkan aku senantiasa tersenyum di kala aku cukup sedih.

Alhamdulillah. Sepanjang aku menyertai UIAM, Allah rahmati aku dengan ramai kawan dan kenalan, juga sahabat. Cuma, sesampai aku di UIAM Gombak ini, aku cukup sedih kerana mereka yang dulu memeriahkan minda dan jiwa aku, sudah tiada lagi untuk waktu ini.

Namun begitu, aku tetap redha dengan ketentuan Ilahi. Tapi, bukanlah bermaksud aku bukan sahabat kau lagi. Aku takkan sekali-kali memutuskannya InsyaAllah.

Tapi, aku perlu pengganti.

Sahabat kita dulu pun sudah pernah berkata, carilah pengganti. Aku tetap menunggu.

Maafkan aku. Kata-kata aku cukup mengguris hati kau sesungguhnya. Aku tahu berat bagi kau untuk menerima ini semua. Aku hanya cuma ingin kau tahu lagi, itu pun kalau kau masih sudi untuk mengerti.

Selepas ini, aku akan cuba sedaya upaya untuk memberi semua hak aku kepada kau; memahami segala yang kau alami; menghormati segala keutamaan yang kau gariskan; dan memberi segala ruang dan peluang kepada kau untuk mengejar cita-cita kau yang cukup mulia. Aku mencuba itu semua. InsyaAllah.

Pun begitu, aku mahu kau tahu yang aku tak pernah lari daripada kenyataan bahawa sebenarnya...

Aku sayang kau.

Kolej Siddiq, UIAM, Gombak, Selangor
Ahad, 11 Mei 2014, jam 9.32 malam.

Comments