Buat Sahabat yang Beruntung (2)

Entah mengapa aku seakan terlalu teruja – dalam bahasa Inggeris: excited – untuk memperingati ulangtahun kelahiran kau, sampai aku tersilap tarikh untuk membawa ucapan itu menghadap tuannya di tempatnya...

Barangkali aku terlalu rindu untuk bertemu orang seperti kau.

Rindu kau separuh mati.

Baik. Tipu.

Aku sebenarnya memang rindu kau. Lama kelamaan, aku mengerti. Orang seperti kau sangat susah untuk dicari; ditemui apatah lagi.

Aku tak pernah lari dari kenyataan bahawa kau memang sepuluh – mungkin berpuluh kali – lebih sibuk berbanding diriku sendiri. Tapi, tak mengapa; aku mengerti sendiri.

Kau sangat beruntung. Berkali-kali dalam setahun kau mengembara di dalam mahupun di luar nusa. Sekali-sekala mahu juga aku menggelar kau sebagai Duta Besar.

Kau sangat beruntung. Aku ingin sahaja mencarimu selalu. Tetapi, apakan daya. Kau bukan milikku. Aku juga bukan milikmu. Kau milik Allah, seperti aku, seperti yang lain. DariNya kita datang dan kepadaNya kita akan kembali; entah bila; hanya Dia tahu.

Kau milik umat. Kau telah menyerahkan tangan kau kepada rantau Nusantara. Begitulah juga keluarga kau. Semoga Allah membalas jasa-jasa kalian semua dengan ganjaran berlipat kali ganda.

Kau milik kampus Kuantan, bukan kampus induk sebelah sini. Jikalau dahulu, kita mampu bersama mengorak langkah mengejar cita-cita di bandaraya tepi ibu kota. Ya, dulu kita milik kampus yang penuh nostalgia itu. Sekarang, kita harus meninggalkannya. Aku sudahpun terlebih dahulu melangkah keluar dari situ, didahului oleh yang lain dan mendahului yang lain.

Sejak dulu, aku rela dengan hakikat itu.

Aku mahu sekali menjadi seperti diri kau. Namun, itu semua sangatlah mustahil kerana aku adalah aku. Aku hanya belajar dari orang lain – seperti kau – tapi bukanlah untuk menjadi terus-terusan orang seperti kau.

Aku redha dengan identiti aku sendiri. Biarlah. Aku tetap akan menjaga diriku sendiri biarpun terpaksa dalam keadaan berseorangan diri.

Aku memang suka hidup bersendiri. Dari zaman kanak-kanak sampailah ke saat ini, aku suka bersendiri. Aku lebih bebas untuk bersendiri. Aku tidak mengikat orang, dan orang pula tidak mengikat aku.

Akan tetapi, tanggapan aku salah. Aku kini sangat memerlukan sahabat yang punya banyak waktu untuk mendampingi dan memahami.

Alhamdulillah. Sepanjang aku berada di Universiti ini, Allah rahmati aku dengan ramai kawan dan kenalan. Namun begitu, tak semua aku jadikan sebagai sahabat, supaya aku boleh belajar banyak perkara yang baik daripada orang-orang yang aku percayai.

Kau adalah salah seorang dalam kalangan mereka.

Namun, sekali lagi, aku tersalah. Aku sebenarnya yang masih belum mampu untuk memahami semua orang. Semua orang meninggalkan masing-masing kerana masih ada perkara yang lebih utama untuk ditunaikan.

Begitulah; cinta dan cita-cita yang dulu menyatukan kita, akhirnya akan memisahkan kita. Begitulah juga dengan masa.

Jikalau selama ini orang menendang aku ke tepi sampai aku tercedera hanya kerana mengejar cita-cita yang mulia, sesusah mana pun aku tetap menerima. Aku tetap akan faham akhirnya. Biarlah.

Jikalau takdirnya aku diperlakukan sebegitu sekali lagi, aku dengan rela berhenti meneruskan perjalanan di tepi untuk seketika. Biarlah orang itu meneruskan perjalanan terlebih dahulu. Aku akan menuruti kemudian.

Alhamdulillah. Allah kurniakan aku dengan dua orang sahabat yang sifatnya seperti yang aku nyatakan.

Aku tak tahu bila sebenarnya aku mula mengenali kau sebenar-benarnya. Yang aku ingat, kita bersua pertama kali di Bagan Lalang, jauh di tepi daerah Sepang. Itu pun aku merasa macam masih tak mengenali diri kau.

Aku tak tahu di manakah sebetulnya kita bermula.

Cuma, aku tak pernah lupa.

Setiap kali pertemuan kita, aku mendakap kau cukup erat. Selama ini, kau di hatiku sungguh dekat, walaupun terlalu jauh untuk dilihat. Walaupun hanya sebulan membezakan kita, aku menganggap kau macam abang aku sendiri.

Selama ini, kau cukup memahami seorang aku walaupun sebenarnya aku tersangatlah pelik. Ini semua kesan autistik yang aku terima. Tak ramai yang tahu bahawa aku dulu pernah disahkan cacat mental. Autisme. Sekarang, tidak lagi. Alhamdulillah.

Selama ini, kau telah banyak membantu aku dalam banyak perkara. Kau telah serahkan banyak masa untuk aku walaupun kau sesungguhnya sangatlah kesuntukan masa untuk puluhan lagi perkara. Aku sungguh terhutang itu semua.

Selama ini, kau telah banyak mengajar dan menasihati aku tentang kehidupan. Ya, dulu aku pernah jatuh jauh ke bawah. Waktu itu, kau, dengan kekuatan yang kau ada, telah menarik aku naik semula ke tempat asal aku berpijak; walaupun hanya dengan lisan dan hati.

Walaupun kau mungkin tak akan mengesahkannya, itulah kau yang aku kenali.

Kaulah itu yang punya banyak bakat. MasyaAllah.

Aku dulu pernah disahkan menghidap asma, sekaligus memungkinkan aku tidak menjadi seorang yang sungguh tabah dan kental seperti kau.

Kaulah itu yang pernah menjadi munsyid; penyanyi. Masakan aku boleh percaya, saat itu, sedangkan aku sedikitpun tak pernah mendengar kau menyanyi; untuk menyanyi berduet bersama kau, apatah lagi? Mahu tidak mahu, aku menerima dan memahami.

Rentetan itu, aku berkhayal lagikan bermimpi untuk bersama kau lagi, untuk menyanyikan lagu persahabatan, kalau bukan di sana, di sini.

Ya, kau berjaya naik tangga kepimpinan satu persatu. Aku sendiri dulu tak pernah menyangka bahawa kau akan mengetuai kolej kau sendiri satu masa nanti.

MasyaAllah. Itu semua sudah terjadi. Tahniah! Kau telahpun berjaya merealisasikan hasrat kepimpinan kau sendiri di kampus itu. Kehadiran kau di situ sesungguhnya sungguh punya makna yang sungguh berharga.

Kau bawakan roh kemanusiaan kepada kami. Kau bawakan semangat yang sentiasa baru dalam diri kami semua selama ini.

Jari aku terlalu penat sebenarnya untuk menulis bakat yang aku ada, yang ingin aku ketikkan di atas pena maya ini.

Kau sungguh baik selama ini, walaupun kau tak akan mengakuinya.

Maafkan aku. Aku selama ini telah menjadi orang yang cukup kasar kepada diri kau sendiri. Aku bukan seperti kau, seorang profesional. Aku cuba semampu mungkin agar aku lari daripada menjadi emosional.

Maafkan aku. Aku cuba sedaya upaya aku untuk memahami. Aku mengambil masa yang sangatlah lama sesungguhnya untuk memahami kau. Aku harap kau mengerti. Kau selama ini pun cukup memahami aku.

Maafkan aku. Aku selama ini banyak salah dan silap terhadap diri kau dan keluarga kau.

Maafkan aku. Andai kau rasa sebelum ini kau bersalah, kau tak ada salah sebenarnya. Aku sudah maafkan kau dari dulu sehingga kini. Semoga Allah memaafkan kita.

Aku harap kau tahu bahawa aku ingin belajar banyak benda daripada kau lagi. Tapi, entahlah bila. Masa kita memang selalu tak sama.

Aku bukan mahu memegahkan kau. Jauh sama sekali. Aku hanya memperingati setelah sekian lama jauh bersendiri dengan urusan yang sungguh rasmi dan peribadi.

Sengaja aku mengambil hari ini sebagai waktu untuk memperingati; sebagai 'ganti rugi' kerterlebihan aku tempoh hari. Ini pun sungguh masih terlebih. Maafkan aku.

Sekali lagi, aku ingin kau tahu. Aku sebenarnya beruntung untuk menjadi sebahagian daripada hidup kau. Sejak itu, jauh di sudut hati, aku ingin mengatakan bahawa sebenarnya...

Aku sayang kau.

Bangunan Ilmu Wahyu, UIAM, Gombak, Selangor
Rabu, 14 Mei 2014, jam 12.49 tengahari.

Comments