Merealisasikan Generasi Guru Pendidikan Islam Cemerlang

بسم الله والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله

Hadirin yang berbahagia,

Pendidikan Islam, dari dulu hingga kini, merupakan teras yang terutama dalam mencorakkan sejarah dan peradaban dunia. Namun begitu, kita harus sedar, betapa keadaan masyarakat sentiasa berubah mengikut zaman. Menyedari hakikat ini, dunia yang semakin mencabar memerlukan kepada kewujudan sekumpulan guru pendidikan Islam yang cemerlang, yang kelak akan menyumbang kepada kelestarian syiar Islam.

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Menjunjung kasih
Tuan Pengerusi yang mulia

Barisan kehakiman yang adil dan saksama

Penjaga masa yang waspada

Saudara dan saudari yang setia

Cita dan cinta sesungguhnya telah membawa saya ke mari; berdiri di persada dewan yang indah ini untuk menyusun bicara saya dalam rangka “Merealisasikan Generasi Guru Pendidikan Islam Cemerlang”.

Saudara dan saudari,

Secara konseptual dan kolektifnya, tajuk bicara saya pada hari ini bolehlah ditafsirkan sebagai suatu hasrat murni ke arah menjadikan pembentukan suatu golongan yang gemilang dalam mendidik pelajar mengenai Islam dan membentuk pelajar menjadi seorang Muslim sejati sebagai kenyataan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang mulia,

Saya akan membawa dewan menyelusuri bicara saya dalam tiga fasa. Kita akan mengetahui betapa Rasulullah SAW memainkan peranan yang terpenting dalam melahirkan guru pendidikan Islam yang bitara. Kita juga akan menghayati betapa Islam menyediakan banyak kaedah efisien dan efektif dalam memastikan kualiti guru pendidikan Islam sentiasa berada di tahap yang memberangsangkan.

Saudara dan saudari,

Pertama, Rasulullah SAW contoh teladan terunggul.

Umum mengetahui bahawa Rasulullah SAW, sepanjang hayat Baginda, memiliki akhlak yang amat mulia setara dengan kemuliaan al-Quran. Kemuliaan akhlaknya telah mengangkat Baginda ke tahap yang tertinggi dalam sejarah kemasyarakatan dunia.

Pernah Rasulullah SAW menggunakan kebijaksanaannya dalam menyelesaikan pertelingkahan antara kabilah sehingga digelar al-Amin. Pernah juga Baginda, ketika berdakwah di Taif, disambut dengan cacian dan balingan batu. Namun begitu, Baginda sedikit pun tidak hilang sabar bahkan terus bersemangat untuk meneruskan dakwah sehingga ke hujung nyawa. Banyak lagi sebenarnya boleh dirungkai dari al-Quran dan as-Sunnah tentang ketinggian pekerti Baginda.

Maka, benarlah firman Allah SWT dalam al-Quran,

Maksudnya: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang terunggul, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula banyak menyebut dan mengingati Allah. (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh dan teladan terunggul adalah perkara yang utama dalam usaha melahirkan guru pendidikan Islam yang berwibawa. Dalam erti kata yang lain, guru pendidikan Islam hendaklah mencontohi Baginda dengan memiliki budi pekerti yang mulia. Perkara ini penting dalam usaha melahirkan masyarakat Islam yang berakhlak dan berdisiplin.

Dr. Ghazali Basri, dalam bukunya, “Falsafah Pendidikan Islam: Huraian Konsep dan Aplikasi”, mengakui bahawa aspek adab dan budi pekerti ini tidak dapat diajarkan melainkan jika para guru sendiri mempunyai budi pekerti yang akan dipelajari dan diteladani oleh para pelajar. Ringkasnya, hanya dengan memiliki akhlak yang baik, guru dapat mendidik pelajar menjadi insan yang beretika dan berguna di masa hadapan.

Sudah terang lagi bersuluh; menjadikan Rasulullah SAW sebagai ikutan dan teladan merupakan teras yang terpenting dalam merealisasikan hasrat mewujudkan generasi guru pendidikan Islam cemerlang.

Saudara dan saudari,

Kedua, kaedah pendidikan efektif pemangkin pembangunan pendidikan.

Kajian yang dilakukan oleh Universiti Teknologi Malaysia mengakui betapa kejayaan pelajar haruslah dititikberatkan oleh para guru. Rentetan itu, kaedah pengajaran hendaklah menjadi perhatian rapi para guru dalam pengajaran dan pembelajaran.

Surah an-Nahl, ayat 125 mengajar guru mengenai kaedah yang terbaik dalam menyampaikan ilmu kepada para pelajar. Firman Allah SWT, mafhumnya:

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan nasihat yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang sopan.”

Lebih dari itu, al-Quran mengandungi banyak ayat yang menceritakan tentang kaedah mendidik. Jikalau Surah Luqman mendidik guru mengenai peri penting perkara yang asas dalam pengajaran dan pembelajaran, Surah al-Kahfi pula mengajar guru tentang nilai sabar dan kepentingan musyawarah dalam pendidikan.

Jelasnya, penggunaan kaedah pendidikan yang efektif memberi impak positif dalam usaha merealisasikan generasi guru pendidikan Islam cemerlang.

Saudara dan saudari,

Ketiga, ukhuwwah guru dan pelajar asas kejayaan pendidikan.

Mari kita renungi firman Allah SWT dalam Surah al-Fath, ayat 29:

محمد رسول الله والذين معه أشداء على الكفار رحماء بينهم

“Muhammad itu pesuruh Allah; dan yang bersama sebenarnya tegas ke atas orang-orang kafir dan berkasih sayang sesama mereka.”

Betapa hebatnya kasih sayang Rasulullah SAW terhadap para sahabatnya sehingga hubungan tersebut diabadikan dalam al-Quran. Hubungan erat itulah memungkinkan Baginda berjaya mendidik para sahabat sehingga membawa Islam ke tahap yang amat cemerlang.

Dalam konteks pendidikan, ayat ini sahaja sudah jelas lagi nyata membuktikan betapa pentingnya hubungan guru dan pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran. Dr. Sara Rimm-Kaufman menggariskan enam perkara dalam usaha mewujudkan hubungan positif antara guru dan pelajar. Antaranya, termasuklah menunjukkan rasa seronok dan gembira kepada pelajar; berinteraksi dengan pelajar dengan cara yang sopan dan responsif, serta memberi bantuan kepada pelajar dalam mencapai objektif akademik dan sosial.

Pendek kata, guru pendidikan Islam yang cemerlang hendaklah berjaya membina hubungan antara dirinya dengan pelajar. Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Oleh hal yang demikian, jalinan antara guru dan pelajar dilihat penting dalam usaha merealisasikan generasi guru pendidikan Islam cemerlang.

Saudara dan saudari,

Konklusinya, kata Dr. Yusuf al-Qaradhawi, jika masyarakat hendak melihat generasi masa hadapan, maka lihatlah pada generasi masa kini. Jikalau kehidupan di masa kini sudah semakin mencabar, kehidupan di masa muka apatah lagi. Oleh itu, strategi keguruan hendaklah menjadi tumpuan utama guru-guru pendidikan Islam; mudah-mudahan hasrat untuk mewujudkan generasi guru pendidikan Islam yang cemerlang menjadi kenyataan sekaligus membolehkan Islam terus kekal di tempat yang tertinggi.

Sekian.

وبالله التوفيق والهداية
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Renung-renungkan dan selamat beramal!

Comments