Kenyataan Ringkas sempena SPM 2013

Masih segar dalam ingatan; saya hanya mendapat keputusan yang – Alhamdulillah – biasa-biasa sahaja dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011. Saya tahu; kalian – yang pernah, masih dan telah bersama saya; juga mendahului saya – sesungguhnya lebih baik dari saya. Itu semua sedikit menggusarkan saya. Tiada apa yang perlu dibanggakan sebenarnya. Namun begitu, saya cukup bersyukur apabila mendapat keputusan itu. Saya redha; itulah takdir Allah.

Saya juga redha – dan bersyukur sesungguhnya; Alhamdulillah – kerana mendapat tempat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Saya kini mengaji dalam jurusan Pendidikan, dengan pengkhususan utama dalam bidang Pengajaran Bahasa Arab sebagai Bahasa Kedua dan dengan pengkhususan sampingan dalam bidang Pendidikan Islam. Semoga Allah menetapkan langkah dan memudahkan perjalanan dalam meneruskan perjuangan.

Sengaja saya ceritakan begini – sebagai mengingatkan diri dan semua – agar kita tidak berhenti setakat di situ, juga di sini. Oleh itu, rancanglah perjalanan hidup dengan sebaiknya selepas ini. Perjalanan masih panjang. Perjuangan belum selesai. Mungkin perjuangan kita sudah selesai di sebelah situ. Tapi, ingatlah, kehidupan memerlukan kita untuk meneruskan perjuangan yang lebih mencabar di sebelah sana pula, sehingga Allah memanggil nama kita untuk pulang ke pangkuanNya.

Kepada adik-adik lepasan SPM 2013, tahniah kerana telah melakukan yang terbaik. Tahniah juga kepada yang telah mendapat keputusan yang cemerlang. Itu semua anugerah Allah setelah bersungguh dalam usaha. Selepas ini, buatlah yang terbaik pula ketika bekerja juga ketika menuntut di peringkat yang lebih tinggi. Yakinlah, Allah adalah sebaik-baik penolong hamba-hambaNya.

Comments