Sahabatku yang Hebat

Apabila, baru ini, dia menduduki kerusi ketua kerajaan, dia terus memindahkan ahli keluarganya di kediaman rasminya; memilih para pendidiknya sebagai para penasihatnya dan melantik para sahabatnya sebagai pegawai-pegawai besar pejabatnya. Yang menulis cerita ini adalah setiausaha sulit kanannya.

Saya bertanggungjawab untuk memastikan bahawa Presiden – pentadbir saya – mendapat sokongan pentadbiran yang berterusan. Mana mungkin Presiden bisa bekerja bersendiri. Saya juga akan memastikan bahawa Presiden – yang harus mempunyai seorang setiausaha sulit kanan, sekurang-kurangnya tiga orang setiausaha; belum masuk lagi penjawat awam dari kumpulan profesional, sokongan tahap satu dan dua yang bilangannya boleh tahan banyaknya – dapat menjalankan amanahnya terhadap agama, bangsa dan negara.

Yang menariknya, Presiden itu adalah yang termuda dari kalangan mereka yang pernah duduk kerusi ketua kerajaan negara, sebelum-sebelum ini. Umurnya belum sampai 40 tahun. Ketua negara kurnia perkenannya untuk melantiknya. Di dalam negara, semua orang kanan kerajaan dilantik oleh Raja. Hanya Ahli Dewan Perwakilan Rakyat dan Ahli Dewan Negeri dilantik oleh rakyat dalam pilihanraya. Ahli Dewan Perwakilan DiRaja pula dilantik sama ada oleh Presiden atau oleh Dewan Negeri.

Lebih daripada itu, dia adalah siswazah sebuah universiti Islam terkemuka dalam negara yang mendapat Ijazah Sarjana Muda Ekonomi, kelas pertama. Saya – yang pada istiadat konvokesyen yang sama, 15 tahun sudah – menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan (Bahasa dan Sastera) – tumpang gembira setelah mendengar berita itu.

Kehebatannya sebenarnya terserlah sejak di zaman pengajian asasi di universiti. Raja selama ini telah memerhatinya. Waktu itu, ketika dia menuntut di universiti, Presiden waktu itu berumur sekitar 60-an.

Dia adalah seorang pemimpin yang berjaya. Saya kagum. Saya cuba meniti hari-harinya.

Dia manfaatkan waktu senggang untuk memberi ceramah kepada para pegawai pejabatnya; kadang-kadang kepada ahli masjid jamek tempat dia menetap. Dia ada tauliah untuk memberi ceramah agama, meski tugas hakikinya adalah untuk mentadbir negara. Dalam beberapa Jumaat, dia sendiri berdiri menyampaikan khutbah di masjid-masjid. Pada dua Hari Raya, dia jugalah yang menyampaikan khutbah Hari Raya; dan itulah perutusannya sempena dua Hari Raya. Menteri Agama langsung tidak mencemburuinya.

Selagi negara stabil, dia sudah mampu membahagikan kerja kepada tiga orang timbalannya dan lebih kurang dua puluh ahlinya dalam Majlis Menteri. Hanya jika negara terlalu memerlukannya, dia cuba menyelesaikannya bersama anggota pasukannya.

Negara itu aman damai sesungguhnya. Tiada perang dan kacau bilau sesama mereka juga sesama negara sahabat. Dia dihormati oleh kawan dan disegani oleh lawan.

Dia masih macam dulu. Dulu, di universiti, saya nampak; dia selalu keluar berjumpa sahabat-sahabatnya, terutamanya yang dia sayangi. Sekarang, asal ada waktu senggang, mesti dia lakukan benda yang sama; dan sahabat-sahabat yang dia sayangi; merekalah yang kini bekerja bersamanya.

Dia tidak sedikitpun menyusahkan kami. Asal ada urusan peribadi, dia gunakan gajinya yang puluhan ribu sebulan untuknya. Hanya jika dia perlu menunaikan urusan negara, barulah dia menaiki kapal terbang diraja, limosin diraja, kapal laut diraja dan segala kenderaan yang perlu dengan diiringi oleh 7 orang anggota tentera dan 7 orang anggota polis; juga dengan diiringi oleh beberapa buah kereta yang membawa para pegawainya.

Tanyalah orang kampung. Benar, asal dia balik kampung, mesti dia bawa kereta bernombor plat “FED-1-405” dengan tulisan kecil di atasnya “PRESIDEN NEGARA”. Sebenarnya, itu kereta peribadinya yang dia bawa sendiri tanpa iringan dan kawalan. Kereta Proton Preve hitam.

Isu yang nampak remeh-temeh menjadi perhatiannya. Isu yang berprofil tinggi apatah lagi. Dia prihatin isu ketidaktentuan golongan muda dalam kehidupan. Dia juga prihatin masalah ekonomi. Banyak lagi. Mulut dan tangan saya tak dapat menyebut jasanya kepada Islam dan negara. Dia tak berminat untuk bermain politik semata-mata kerana dia tahu Islam dan negara memberati bahunya sepanjang masa.

Dia berjaya meyakinkan Raja agar negara menguatkuasakan undang-undang berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah. Hukum syarie berkuatkuasa setelah setahun Presiden mentadbir negara.

Dia jugalah yang mengarahkan agar ditubuhkan Jabatan Urusan Agama Islam dalam polis diraja. Semua Muslimah mesti pakai tudung walaupun perempuan itu Permaisuri Negara.

Dia jugalah yang mengenakan cukai berkadar tinggi ke atas arak, judi dan rokok; juga ke atas segala barang dan perkhidmatan yang diharamkan oleh syarak. Dia jugalah yang mengarahkan agar semua itu langsung tidak dijual kepada Muslimin dan Muslimat. Jika ia dijual, penjual dan pembeli akan ditangkap dan dihukum menurut syariah.

Dia jugalah yang mengarahkan Menteri Kewangan agar hasil negara dibahagikan kepada yang halal dan yang haram, dan dia mahu hasil halal dilipat gandakan sebaiknya supaya rakyat dapat menikmati pembangunan negara dengan menggunakan hasil yang halal; sekaligus dapat dimanfaatkan oleh rakyat untuk pelbagai tujuan berfaedah dan yang dibenarkan oleh syarak.

Pernah juga banyak kali beliau memberikan sumbangan kepada kumpulan yang menjalankan tanggungjawab sosial dan program yang memberi kesan kepada negara di pelbagai sudut. Sebahagian sumbangan datang daripada Pejabat Presiden; sebahagiannya datang daripada Majlis Menteri; dan sebahagiannya datang daripada dirinya sendiri.

Setiap hari Rabu di pejabat dan hari Jumaat di masjid, dia akan bertemu rakyat mendengarkan masalah rakyat. Kerja-kerja lain diselesaikan oleh timbalan-timbalannya. Dia tidak risaukan apa-apa. Kerajaan berjalan seperti biasa. Hanya jika ada perkara menghalangnya, salah seorang timbalannya ataupun menteri akan turun menggantikannya.

Tiga petang setiap minggu, dia akan beriadah. Jikalau dia tidak bermain bola sepak, dia akan berjoging mengelilingi kawasan tempat tinggalnya.

Banyak perkara yang dia lakukan yang sebenarnya menggembirakan majoriti rakyat pemerintahannya. Namun begitu, saya – sebagai ketua pejabatnya – tidak boleh nafikan bahawa ada sahaja pihak yang tidak memihak kepadanya dengan pelbagai alasan.

Hari ini, setelah dia duduk di pejabat itu sekitar 1,000 hari, saya mendapat kejutan.

SMS sampai di telefon bimbit saya. “TYT Presiden baru sahaja meninggalkan kita semua pukul 11 malam tadi. Doktor mengesahkannya. Dia ditembak oleh seseorang yang menyamar sebagai pengawal keselamatan pejabat. Al-Fatihah.”

Sekitar 12 tengah malam, pasukan media bersedia menyiarkan berita mengejut ini. Bagi pihak Kerajaan, Setiausaha Agung Kerajaan membuat pengumuman, diapit oleh saya dan Ketua Polis Negara.

Menjunjung titah perintah Seri Paduka Tuanku Raja, dengan ini dimaklumkan kepada seluruh negara dan dunia bahawa Tuan Yang Terutama Presiden, Tun Ahmad Amran bin Ridhuan telah kembali ke Rahmatullah pada jam 11 malam, hari ini. Al-Marhum meninggal dunia setelah seseorang yang menyamar sebagai anggota keselamatan berpangkat Sub Inspektor menembak tepat al-Marhum.

Sehubungan dengan itu, Seri Paduka telah menitahkan supaya bendera negara dikibarkan separuh tiang selama ketiadaan penyandang jawatan Presiden. Seri Paduka juga telah memperkenankan supaya al-Marhum dimakamkan tanpa penghormatan diraja di Sulaman.

Seri Paduka juga telah menitahkan agar tempoh berkabung selama 7 hari dikuatkuasakan. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh al-Marhum. Al-Fatihah.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara mengumumkan bahawa pasukan keselamatan pejabat berjaya menangkap penembak tepat berkenaan setelah gagal menjadi halimunan dekat bangunan Kementerian Dalam Negeri.

Sehari sebelum Negara mendapat Presiden baru, dia dijatuhi hukuman pancung.

Saya, yang bersahabat dengannya sejak mengaji peringkat asasi di universiti, adalah antara yang amat sedih dengan pemergiannya.

Semasa hayatnya, dia mahu dirinya dimakamkan di kampung halamannya. Betapa dia sayangkan kampung halamannya, jauh di seberang laut. Dalam pada itu, semua yang mengenalinya, mendekatinya dan mensahabatinya turut menyayanginya; dan bersedih atas kehilangan itu...

...dan sebenarnya, dia mahu dirinya disempurnakan tanpa penglibatan angkatan tentera dan polis diraja.

Saya sendiri mengiringi arwah ketika dia dikebumikan. Meski dia dimakamkan tanpa melalui penghormatan diraja, Seri Paduka Raja tetap berada di majlis sama.

Memang saya sedih. Namun begitu, saya tidaklah sesedih mana. Sepanjang hayatnya, dia telah melakukan yang terbaik. Saya cuba sebaiknya mengenali kehidupannya yang sekitar 40 tahun dengan bersahabat dengannya. Sehingga ke hujung nyawanya, sudah lebih 20 tahun aku bersahabat dengannya.

Sungai Pusu dan Sungai Pisang menjadi saksi persahabatan kami. Jikalau kedua-dua sungai itu mampu berbicara, pasti kedua-dua itu akan menceritakan kisah suka duka kami.

Yang sedihnya kerana dia tidak meninggalkan apa-apa yang nyata buat saya. Hanya doa dan ingatan yang dia tinggalkan.

Setelah tujuh hari Presiden meninggal, Setiausaha Raja menghubungi saya.

“Datuk, Seri Paduka Raja telah memperkenan perlantikan tuan sebagai Presiden baru.”

Dua hari selepasnya, saya – dalam keadaan yang sebenarnya langsung tidak bersedia – mengangkat sumpah di hadapan Raja.

"Saya, Muhammad Izzuddin bin Hussin, setelah dilantik sebagai Presiden Negara, dengan sesungguhnya berikrar bahawa saya akan dengan jujur menunaikan kewajipan-kewajipan jawatan itu dengan segala daya upaya saya; bahawa saya akan menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Negara; dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaannya.”

Pada waktu itulah, lagu negara dimainkan semula dan bendera dikibarkan semula sepenuh tiang.

Cuma, pada waktu itu, saya menangis teresak-esak kerana dia yang selama ini menjadi teman pengganti telah kembali buat selama-lamanya.

Apabila saya memasuki pejabatnya buat pertama kali setelah ketiadaannya, rupanya Pembantu Khasnya meninggalkan sesuatu kepada saya.

Izz, setelah aku tiada, tolong aku:

Pertama, kau ganti aku di kerusi ini. Buat yang terbaik seperti mana yang aku mahu dan tunjukkan kepada kau sebelum-sebelum ini.

Kedua, tolong serahkan urusan faraid kepada Pengerusi Amanah Raya dan anak sulung aku.

Ketiga, tolong agihkan sebuah naskhah al-Quran dan sebuah buku ilmiah motivasi seorang kepada semua pegawai kita dan semua sahabat aku. Itu sahaja yang aku ada.

Maafkan aku, Izz. Aku tak mampu hidup lama dan bersamamu lama. Cuma, aku nak kau tahu, sebenarnya, dari dulu hingga kini, sepanjang hidupku, kerana Allah aku sayang kau.

Saya lebih sebak kemudiannya kerana meninggalkan surat ini. Dia tak pernah meluahkan rasa sayangnya. Cuma, hanya perbuatannya selama ini yang meluahkan itu semua.

“Datuk Izz, sebenarnya arwah tulis surat ini malam sebelum dia meninggal.” Begitulah kata Pembantu Khasnya.

“...dan sebenarnya, Datuk, saya nak bagitahu. Sebelum Tun Amran meninggal, dia menghidap penyakit kanser. Namun begitu, baru ini, kansernya baru Tahap 1.” Kata-kata Pembantu Khas itu membuatkan saya berkali-kali hiba.

Sebenarnya, setelah tujuh hari menduduki pejabat ini menggantikan dirinya, barulah saya dapat meneruskan kelangsungan negara dengan sebaiknya.

Selama tujuh hari itu, saya menyusun Majlis Menteri yang baru; membawa keluar dan masuk para penjawat awam keluar dari dan masuk ke Pejabat Presiden; membuka kenangan lama dan mengaji al-Quran sampai khatam, dan pelbagai lagi kerja perlu dibuat untuk menyediakan selengkapnya pejabat saya.

Sepanjang itu jugalah, saya mencari kembali sahabat-sahabat saya, yang mana sebahagian daripada mereka merupakan sahabat-sahabat saya. Maklumlah, saya dan arwah pernah bersama dalam Majlis Perwakilan Pelajar sekali; juga dalam Jawatankuasa Perwakilan Kolej Kediaman dua kali.

Kamilah dulu yang pernah meneroka pedalaman sebuah negeri untuk memberikan sokongan motivasi kepada pelajar-pelajar sebuah sekolah di situ. Kamilah dulu yang bersama bekerja untuk memberi bantuan kepada warga Kampuchea. Saya tidak pergi ke sana; namun dia pergi. Waktu saya bermimpi untuk menjadi seorang guru, dia mendapat tempat di sebuah sekolah rendah agama untuk mengajar ilmu agama di sana secara realiti.

Saya masih ingat. Dialah yang sudi mendengar segala derita saya. Dia sendiri pernah berkata di tengah kesibukan, “Izz, kalau ada apa-apa masalah, bagitahu aku.” Cuma, masa terlalu membatasi kami.

Rupa-rupanya, Pejabat Presiden menemukan kami semula setelah bertahun terpisah. Itu semua hanya cerita lama. Dia sudah pun tiada.

Saya akan ingat semangat wajanya dalam melakukan pelbagai perkara, sepanjang hidupnya. Semangat itulah yang membawanya masuk ke Kolej Islam, sehingga dia mendapat kesemua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran.

Semangat itu jugalah yang membawanya masuk mengaji di universiti; sehingga dia diberi kepercayaan oleh universiti untuk mengemudi Jawatankuasa Perwakilan di salah sebuah kolej kediaman; sehingga dia diundi menjadi kepala Majlis Perwakilan Pelajar.

Perjuangan kami langsung berbeza. Suatu hari, aku pernah berkata kepadanya, “Am, aku masih perlukan kau lagi, sebenarnya. Cuma, nantilah, di satu arena yang lain.” Selanjutnya, memang benar; ditakdirkan kami berjuang dalam dua bidang yang sangat berbeza. Kami mencuba sebaiknya.

Saya akan ingat bahawa dialah seorang pelakon yang punya kemahiran tersendiri. Tanyalah Sungai Pisang. Waktu saya berlakon menjadi seorang guru, dia yang berlakon sebagai budak nakal mempunyai bakat yang saya sendiri tak dapat nyatakan dari mulut saya sendiri.

Saya akan ingat bahawa dialah seorang negarawan muda yang besar hati. Dia adalah orang yang beruntung kerana sering dibawa oleh ayahbondanya meneroka tanah perantauan. Berapa kali dia menunaikan umrah, entahlah; saya kurang pasti. Banyak kali juga. Jauh perjalanannya; luas pemandangannya.

Semua ini saya cerita pada hari pertama saya masuk ke Pejabat Presiden. Pada hari itu jugalah, saya mengarahkan Setiausaha Agung Kerajaan memanggil perhimpunan khas di perkarangan Istana Perdana, wisma yang menempatkan kepresidenan negara.

Sampai satu masa saya memberikan ucapan, saya terjatuh sendirian. Mujur dan syukur, di belakang saya ada Setiausaha DiRaja dan Setiausaha Agung Kerajaan. Rupanya...

Saya baru usai di pembaringan. Saya hanya beristighfar sahaja. Sebenarnya, saya – yang meninta dakwat pena di kertas ini – hanyalah seorang pelajar prasiswazah universiti yang sedang mencipta kejayaan untuk diri sendiri; yang berbesar hati untuk melihat tertegaknya sebuah Daulah Islamiyyah!

Saya bangkit dari mimpi itu yang sesungguhnya hanya mimpi semata-mata. “Beginilah; sasterawan gemar bermimpi,” bingkas saya yang bersyukur kerana masih ada dari kalangan yang hebat yang sudi menjadi teman pengganti ketika saya berada di atas jalan perjuangan sendirian.

Kuala Sungai Dua, Kuala Pilah, Negeri Sembilan
1-2 Februari 2014

Comments

  1. Cantik jalan ceritanya,cuma 'ending' agak kurang puas hati.
    Btw, nice story akhi. :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih. Akan diperhalusi semula kemudian. :)

      Delete

Post a Comment