Khutbah Terakhir Nabi dan Sesi Baiah Universiti

Saya teringat satu cerita. Ketika Rasulullah SAW mengerjakan khutbah Hujjatul Wada', turunnya ayat Surah al-Maidah, ayat 3, “Hari ini; Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu; Aku juga telah sempurnakan bagi kamu nikmatKu; dan Aku redha bahawa Islam adalah agama [kamu].” Diceritakan, para sahabat, setelah mendengar ayat tersebut, mengucapkan tahniah sesama mereka atas perisytiharan tersebut.

Benar, pekara itu hanya setelah mereka memperjuangkan dan mendaulatkan Islam bersama-sama Baginda selama berpuluh tahun. Namun begitu, ayat ini juga secara tidak langsung memberi isyarat bahawa Rasulullah SAW akan wafat tidak lama lagi, pada waktu itu.

Saya cuba kaitkan cerita ini dengan kisah yang baru sahaja berlalu beberapa ketika. Petang tadi, selesai majlis angkat ikrar pelajar baru prasiswazah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ambilan Februari 2014. Sebaik sahaja tetamu kehormat keluar Dewan Utama, Pusat Aktiviti Kebudayaan UIAM, kedengaran ucapan tahniah bergema kuat di dalam dewan diiringi oleh salji kertas dari siling dewan. Ada dalam kalangan kita mengucapkan tahniah sesama kita kerana telah menjadi pelajar prasiswazah UIAM dengan rasminya.

Benar, untuk menjadi pelajar prasiswazah UIAM bukannya mudah. Hanya yang menepati syarat kelayakan sahaja dipilih mendapat tempat. Sebahagian besar daripada sekitar 1,600 orang asalnya adalah pelajar pra-universiti UIAM. Bakinya datang daripada calon lepasan pelbagai peperiksaan dalam dan luar negara. Namun begitu, di sebalik ucapan tahniah yang berlegar baru-baru ini, sebenarnya kita – mahasiswa UIAM – sedang dibekalkan dengan amanah yang sangat besar: untuk menjadi mahasiswa yang berjaya dalam pelbagai bidang sepanjang pengajian dan untuk menjadi ahli masyarakat yang berguna setelah menerima segulung ijazah kelak.

Saya tidak mengatakan ucapan tahniah pada ketika itu salah. Jauh sekali saya akan memperkatakan perkara sedemikian. Cuma, yang saya ingin perkatakan adalah bahawa ucapan tahniah yang berlegar pada waktu itu, sebenarnya, terselit dengan satu amanah yang besar.

Kepada semua yang secara rasmi menjadi mahasiswa UIAM pada hari ini, ucapan selamat saya tujukan. Sama-samalah kita manfaatkan waktu pengajian kita untuk memohon restu Allah SWT dan melakukan yang terbaik untuk diri, keluarga, agama, bangsa dan negara.

Comments