Keluargaku dan Kucing

Besar harapanku untuk melihat agar keluarga dan kucing-kucing jagaan terus hidup damai. Namun, begitulah hakikat dunia: Setiap yang hidup pasti akan kembali ke pangkuan Penciptanya.

Aku, dia, kamu, mereka, kita semua tidak kekal lama; hanya menghitung waktu.

Sejak hampir 15 tahun lepas, kami sefamili menjaga kucing. Jikalau dibilang, sepanjang satu dekad setengah, mereka semua – termasuk yang telah mendahului – sudah sekitar 50 ekor.

Yang di desa hanya tinggal itu sahajalah, 13 ekor; termasuk seekor milik jiran sebelah.

Apabila aku pulang 3 bulan lepas, ada satu dua ekor kucing sudah pulang kepada Tuhan yang Maha Esa.

Sebelum ini pun, sudah berlalu berpuluh ekor kucing.

Kucing yang pertama sekali, Kitty, yang ditemui oleh ibuku di tepi pasar basah di sekitar pekan – entah, tidak tahu berapa umurnya waktu itu – pun sudah mendahului kami berlima, sudah beberapa tahun. Dialah yang mewujudkan satu salasilah haiwan di rumah kami, satu masa dahulu, di tepi jalan besar menghala ke bandaraya.

Yang terakhir daripada Kitty, Lali, pun sudah mendahului kami sebelum menetap di tepi sempadan ibu kota persekutuan.

Yang ada – yang tinggal – hanyalah dari kalangan yang mendatangi rumah kami dan yang diselamatkan daripada kezaliman di tepi pekan. Berapa salasilah, aku sudah kurang mengingati.

Seringkali kami menemui haiwan berkeliaran di tepi pekan, hati kami sering bersoal, di manakah hati budi insani?

Jujur. Besar hati kami untuk mengambil kesemua mereka di sana. Namun begitu, kami kekurangan tenaga dan ruang untuknya.

Sedangkan seekor alien – Pou – yang hidup di tengah-tengah skrin telefon pintar pun susah dijaga; inikan seekor kucing yang hidup berbekalkan nyawa pemberian Ilahi, seperti kita.

Mujur dan syukur; ibuku adalah orang yang paling bersemangat untuk menjadi khadam semua kucing yang ada. Semua itu masih, sudah 15 tahun. Emaklah yang selama ini membentuk kami – ayah, kakak, adik dan aku – untuk menjadi seperti dia.

Mungkin ungkapan Rasulullah SAW amat bermakna bagi kami semua. Sabda Baginda, “Kasihilah apa-apa yang ada di bumi, nescaya apa-apa yang ada di langit akan menyayangimu.”

Kata yang mampir dengan ungkapan itu sering kali terucap di makam kucing-kucing sebelum ini.

Selama lebih satu dekad, rumah-rumah kami menuliskan warna-warni kehidupan bersama sekumpulan kucing.

Kami tak pernah menidakkan kenakalan dua tiga ekor kucing, juga sikap mereka yang kadangkala bergaduh sesama sendiri, juga sikap mereka yang kadangkala mengotorkan rumah. Tapi, kami juga tidak pernah menidakkan kenangan kami bersama kucing-kucing itu yang sesungguhnya indah.

Ada dua tiga ekor kucing kami pernah tidur sebelah kami. Ada dua tiga ekor kucing sudi bermain bersama kami.

Mereka jualah yang sudi menemaniku di kediaman sepanjang aku keseorangan tanpa teman, hanya keluarga.

Kucing itu, sehinggakan, diabadikan oleh kekandaku dalam sebuah lukisan indah. Tak lupa juga, media yang sering berubah teknologinya turut mengabadikan kenangan demi kenangan yang indah itu.

Mereka – di sepanjang titian kehidupan – amatlah beruntung.

Namun begitu, aku sungguh kasihan dengan kucing yang terbiar. Tidak semua nelayan dan peniaga bermurah hati untuk memberi sedekah kepada kucing. Lebih malang lagi, pasar basah di tepi pekan sering menjadi penerima kaku kucing-kucing.

Pena ini yang tertulis di atas Kepulauan Natuna, tengah-tengah pemisah negara, hanya meminta hati luhur insani. Tidak semuanya ada hati itu.

Lebih dari itu, terimalah penghargaan Ilahi buat setiap yang mengasihi haiwan yang perlu kasih seperti kita; sanggup menerimanya di pelbagai ketika; sanggup memeliharanya hingga ke hujung nyawanya.

Bayangkan. Andai kucing mampu berkata-kata, nescaya kata-kata dan ngiauan kucing akan meruntun hati setiap yang berbudi pekerti.

Selama ini pun, ngiauan kucing cukup menyentuh hati kami semua.

Aku cuba memahami orang-orang yang stigma dengan kehadiran kucing. Dalam pada sifat stigma itu, kucing – juga haiwan lain – seharusnya bukanlah menjadi mangsa kezaliman. Aku juga ada sifat stigma pada sesetengah haiwan peliharaan. Namun, stigma bukanlah sebab untuk aku menzalimi sesetengah mereka itu.

Haiwan berhak mendapat hak-hak kehidupan seperti kita.

Benar, di dalam burung besi naga, aku merindui mereka dan kucing jagaan kami. Akan tetapi, pena ini yang bergerak seiring dengan kekuatan sayapnya menulis agar hati semua bersinar apabila menemui haiwan.

Kami redha andai Allah mendahulukan mereka untuk menemuiNya. Kami juga redha andai Allah mendahulukan kami untuk menemuiNya.

Cuma, masih dalam fikiran bersoal, andai kami mendahului mereka, siapalah penjaga mereka seterusnya?

Selagi ada kudrat, aku – dengan warisan yang datang dari ayahbonda – akan menjaga sebaiknya haiwan peliharaan yang ada.

Untuk saat ini, mungkin tidak. Namun, paling tidak pun, kucing-kucing yang aku temui – di sebelah ibu kota juga di pinggiran, juga di kota dan desa – akan menarik perhatianku untuk berbakti.

Lihatlah pada muka surat sejarah dahulu. Pernah seorang insan dirahmati Allah hanya kerana mengasihi haiwan. Marilah beriktibar daripada sejarah itu.

Untuk saat ini, biarlah ahli keluargaku dan kucing jagaan kami kekal dalam doa dan ingatan berkekalan selama mana dikurniakan kehidupan.

Pada Allahlah kami memohon, dan padaNya jua kami berserah.

Kota Kinabalu – Kuala Lumpur, OD 1001
Ahad, 12 Januari 2013, jam 12.11 tengahari.

Comments