Islam di Sabah: Hakikat

Saya tertarik dan amat menghargai usaha yang digembleng oleh sebuah sekolah rendah agama swasta di Sabah dalam usaha mewujudkan sebuah pusat tahfiz al-Quran di sekitar pantai barat Sabah. Cuma, saya ingin memberi perhatian kepada beberapa perkara yang dibangkitkan hasil kenyataan yang dikeluarkan oleh badan bertindak projek berkenaan.

Mereka ada menyatakan bahawa Sabah masih terkebelakang dalam hal yang berkaitan dengan Islam. Kenyataan ini tidak sepatutnya dikeluarkan oleh sebuah golongan yang ingin memerlukan bantuan untuk membangunkan projek demikian. Pihak berkaitan diminta untuk menyatakan bukti yang menyokong kuat kenyataan yang dikeluarkan. Perkara ini sedikit sebanyak telah memalukan umat Islam di Sabah yang menjadi golongan majoriti di negeri Sabah. Untuk pengetahuan, lebih 60 peratus penduduk Sabah yang berbilang bangsa merupakan penganut Islam.

Mereka juga ada mempersoalkan kekurangan sekolah menengah agama di Sabah. Saya ingin menarik perhatian pihak berkenaan bahawa Sabah mempunyai 9 buah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), sekaligus menjadikan Sabah sebagai negeri yang mempunyai bilangan SMKA yang terbanyak di Malaysia. Di samping itu, Sabah juga mempunyai sebanyak 2 buah sekolah menengah agama bantuan kerajaan dan 4 buah Sekolah Menengah Agama Negeri. Sekolah-sekolah inilah yang menjadi harapan agar syiar Islam terus diangkasakan di negeri Sabah.

Cuma, saya bersetuju dengan kenyataan bahawa tiada sekolah rendah agama yang menawarkan kurikulum bersepadu. Untuk perhatian pihak berkenaan, kesemua 67 Sekolah Rendah Agama Negeri (SAN) hanya menawarkan kurikulum pendidikan Islam negeri memandangkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) hanya ditawarkan di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK). Namun begitu, saya tertarik dengan usaha beberapa negeri yang membudayakan KSSR di sekolah-sekolah rendah agama.

Saya juga tertarik dengan kenyataan bahawa aktiviti keagamaan di Sabah masih terhad. Persoalannya di sini adalah bukannya bilangan aktiviti keagamaan yang dianjurkan, tetapi pengetahuan umat Islam terhadap sesuatu aktiviti keagamaan dan sambutan umat Islam terhadap sesuatu aktiviti keagamaan. Oleh sebab itulah, masyarakat Sabah amat memerlukan aktiviti keagamaan. Sehubungan dengan itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pertubuhan-pertubuhan Islam diseru agar memperbanyakkan lagi aktiviti keagamaan demi kelangsungan Islam di Sabah.

Dalam pada itu, kita tidak seharusnya menyalahkan sekolah semata-mata atas perkembangan Islam di Sabah yang perlahan meskipun dengan tujuan untuk meraih perhatian masyarakat Islam di Sabah agar kanak-kanak dan remaja dihantar untuk mempelajari Islam. Hal ini demikian kerana yang mengembangkan Islam di Sabah, selain sekolah, masjid, surau, pihak berkuasa hal ehwal Islam dan pertubuhan Islam, adalah kita semua dengan cara kita masing-masing. Mengapa tugas mengembangkan Islam hanya perlu diserahkan kepada sekolah sahaja? Begitu juga dengan tugas mempelajari ilmu Islam. Tugas itu tidak boleh diletakkan di bahu generasi muda sahaja meskipun generasi muda adalah golongan pewaris kelangsungan Islam dan kestabilan negara. Tugas itu terletak di setiap orang Islam di mana-mana pun kita berada.

Walau bagaimanapun, saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak berkenaan atas usaha murni yang digiatkan demi kemajuan Islam di Sabah. Kenyataan ini bukanlah bermaksud untuk merendahkan usaha pihak berkaitan. Saya cuma mahu pihak berkenaan mengetahui keadaan sebenar yang bertentangan dengan kefahaman yang ada. Pihak mana yang tidak mahu terus berusaha ke arah kemajuan di waktu keadaan kita yang memang sudah maju, saat ini? Memang adat kehidupan, setiap yang maju perlu dimajukan lagi. Sedangkan perkara lain harus diperbuat sebegitu, Islam apatah lagi. Cuma, sebagai umat Islam, kita seharusnya malu apabila mempromosikan Islam dengan kenyataan yang sedemikian rupa. Seyogianya, kita mempromosikan keindahan Islam kepada setiap orang, bukannya keadaan Islam seperti yang bermain di fikiran.

Saya berdoa, semoga projek berjumlah jutaan ringgit tersebut siap pada waktu yang terdekat dan sekaligus akan memberikan impak positif kepada perkembangan Islam di Sabah. Dalam pada itu, saya menyeru umat Islam di Sabah agar terus menyumbang dalam apa-apa pun bentuk sumbangan demi keunggulan Islam di Sabah.

Comments