Ke Marilah

(i)

Ke marilah ke sini
syurga impian insani serata bumi
yang di mata berimpiankan duniawi

Di setiap saat aku di sini
yang bermimpi datang silih berganti
dengan sambutan meriah gong dan caklempong
menikmati kehijauan tropika
merasai keempukan tilam berhias kesejukan
mengintai kebiruan laut dan langit
yang diiringi oleh kilauan pasir pantai dan keputihan awan
bertemankan kepelbagaian flora dan fauna
berserta keenakan sajian bervariasi aromanya
dan berbotol minuman pelbagai perisa dan rasa
meski rahmat membasahi sini di beberapa ketika
seakan mengerti betapa aku berduka dan sengsara
biarpun di banyak masa, kegembiraan sering bersama

Sini sejujurnya
aku tidak bertempat di sebelah sini
meski aku adalah warganya
yang berkhidmat untuk tetamunya
menyorong troli kelabu
mengangkat kain terpakai
supaya yang lain sihat dan selesa selepasnya

Sini sebenarnya
tidak lebih dan tidak kurang
hanyalah keselesaan yang melalaikan
yang kelak binasa bila sampai masanya
hakikat hidup, dunia hanya seketika.

(ii)

Ke marilah ke sana
syurga rebutan mukmin serata-rata
yang kekal berimpi duniawi dan ukhrawi

Di saat Pencipta mengizin kita ke Syurga
alu-aluannya lebih dari yang biasa
salam berdatang dari Yang Agung
kerana setia padaNya sepanjang keduniaan
yang terpilih tetap akan abadi
bersama keselesaan yang hakiki
nikmat yang tak mungkin dapat terkirakan
kebesaran yang berganda-ganda
yang haram di dunia tetap diizinkanNya
pelayan dan bidadari yang tampan juga jelita
mengadap Tuhan berwajah ceria
mendampingi kekasihNya bersama sukacita
kerinduan buat setiap pengasihnya

Sana sejujurnya
seperti yang lain jua
adalah kerinduan yang tiada bertara
kerana sebaik diri belum tentu terjejak ke sana
takut noda tidak dibersih olehNya
memungkin berlubang jalanan ke sana
moga terizin kaki memijak mahligai abadi.

Sanalah mahligai abadi
buat semua yang dikasihiNya
hadiah mahal tiada bertara
buat setiap mukmin
yang diredhai dan direstui Ilahi.

Kampung Dungun Timbok, Tuaran, Sabah.
Isnin, 9 Disember 2013, jam 12.34 tengah malam.

Comments