2013: Ku Pergi, Kau Kembali

Selamat kembali ke Muara Pencipta, 2013, kerana sesungguhnya Penciptamu hanya membebaskanmu hanya hingga esok hari setelah kau bebas di bumiNya selama yang Dia kehendaki – 365 hari.

1434, sebelum ini, sudah mendahuluimu jua sudah sekitar puluhan hari, juga setelah penciptanya membebaskannya untuk lebih kurang 360 hari.

Adat waktu, masa itu emas. Masa itu pedang; jikalau kita tidak memotongnya, nescaya dia akan memotong kita. Begitulah, masa itu hanya datang sekali dan tak mungkin akan kembali.

Lihatlah, betapa ruginya diriku, dirimu dan dirinya; mereka semua; kita semua. Kenapa Allah berfirman sebegitu rupa? Kita tak mampu manfaatkan kesemua masa dengan sebaiknya.

Maafkan kami, ya Allah.

Dalam pada itu, buat yang selama ini beriman, beramal soleh, berpesan-pesan dengan kebenaran dan dengan penuh kesabaran; beruntunglah. Merekalah yang senantiasa direstui Allah.

Adakah mereka itu aku, atau dia, atau kamu? Tiada jawapan.

2013, bagiku tiada bezanya seperti dua ribu yang sudah-sudah.

Konklusi pada hemat diriku, 2013 bagiku sesuatu yang duka.

Maafkan aku, ya Allah. Aku masih punya banyak dosa. Siapalah aku tanpa keampunanMu? Ke mana lagi ku harus menuju jikalau bukan ke arah redhaMu?

Maafkan aku, kalian. Aku masih punya banyak salah dan silap. Jikalau kalian tidak memaafkanku, apalah erti sebenar kehidupan seorang aku?

Maafkan aku. Aku pernah buat kalian marah. Aku pernah mengecewakan kalian. Aku pernah menjadikan kalian sedih dan duka. Aku pernah tersalah cara kerja. Aku pernah menidakkan kalian bukan pada tempat dan ketikanya. Aku pernah mungkir. Aku pernah ingkar. Benar, benar itu semua. Semua itu aku pernah; tanpa perlu merasakan bahawa ada orang pernah buat yang sama kepadaku.

Benar; kalian dan mereka pernah buat aku marah, kecewa, sedih dan duka. Kalian dan mereka pernah tersalah cara kerja. Kalian dan mereka pernah menidakkan aku bukan pada tempat dan ketikanya. Kalian dan mereka pernah mungkir dan ingkar. Tapi, aku tidak pernah menyimpan itu semua.

Lupakanlah salah silap kita masa lalu. Tiada yang sempurna melainkan Yang Maha Sempurna. Aku sudah maafkan kalian dan mereka; agar Allah memaafkan kita semua.

2013 bagiku duka kerana aku masih berseorangan. Benar, aku masih ada famili. Aku masih ada sanak-saudara. Aku punya ramai rakan; sebahagian daripada mereka adalah sahabat; dan sekumpulan kecil daripada mereka aku anggap seperti abang dan adik. Tapi, di kebanyakan tempat dan ketika, aku hanya aku. Mungkin inilah implikasi apabila aku diajar untuk bersendiri sejak di bangku sekolah.

Ya, aku pernah keluar bersiar-siar bersama seorang juga sekumpulan dua tiga kali. Namun, di kebanyakan hari, aku keluar bersiar-siar seorang diri.

Lembah Klang yang penuh dengan mara bahaya diharungi oleh kalian dan mereka berjemaah. Tapi, aku harunginya seorang diri tanpa mengira kebimbangan orang. Mujur dan syukur; aku selamat.

Aku nampak ada yang pulang diambil oleh ahli famili, tak kurang juga yang pulang berteman. Sering kali aku pulang ke ‘rumah ketiga’ di Seremban, aku hanya bersendiri.

Setiap kali ziarah, terutamanya di waktu perayaan, kalian dan mereka berziarah beramai-ramai ke sesuatu rumah. Aku, acap kali menziarahi orang, hanya bersendiri.

Aku lihat ada yang tamat pengajian meninggalkan tempat pengajian berteman. Aku hanya bersendiri menarik bagasi dan mengangkat beg-beg sekolah menyusur perjalanan hampir 2000 batu. Aku tak berteman waktu itu.

Boleh jadi ini salah di mata yang lain. Benar, Islam mengajar umatnya berjemaah. Namun, aku tidak bererti untuk menjadi Muktazilah.

Dalam pada aku rasa aku hanya aku, aku, dia, kamu, mereka, kalian, kita semua masih ada Yang Maha Esa.

Aku bisa menjadi Muktazilah. Tapi, sebagai seorang Ahli Sunnah wa al-Jamaah, aku juga berjemaah. Aku berdiri di persada tersendiri.

Walaupun berat untuk menerima, aku diamanahkan untuk mengetuai satu jemaah pendebat bahasa Arab di tempatku sendiri. Aku jua dipilih mewakili pertubuhanku di luar kawasannya. Aku, sebelum itu pula, mewakili penduduk kolej kediaman tempat aku menghuni.

Di waktu aku hanyalah seorang solo, aku jua berjemaah!

Namun begitu, selama ini, kita semua – kita semua – adalah satu jemaah. Ukhuwwah. Perintah Allah, bukan?

Atas semua itu, aku ingin berterima kasih; walaupun sebak terasa apabila mengenangkan itu semua.

Kinabalu masih mengingati setiap yang berjasa kepada penuntut di desa tepian pekan masyhur itu, awal tahun, hari itu.

Bangunan RK masih mengingati setiap yang pernah bersuara membangkitkan isu dalam studio debat bahasa Arab sepanjang tahun. Aku adalah salah seorang daripadanya.

Sungai Pisang masih belum lupa gelak tawa dan tangis duka setiap yang berkelah di sana, masing-masing berbaju merah. Akulah yang menghibur kalian dan mereka, waktu itu, kalau kalian dan mereka masih ingat. Sudah berlalu bulan tiga.

Jalan Semarak dan Jalan Tun Razak di ibu kota juga tak luput ingatan mereka berdua akan sebuah syarikat dan para pembantunya yang menjayakan debat peringkat antarabangsa, baru bulan enam yang sudah.

Dewan Raja Faisal juga mustahil untuk melupakan segala gerak kerja aku, mereka dan kalian dalam pelbagai acara di pelbagai ketika.

Tamparuli, baru ini, pernah membawa aku kepada imamnya yang masih segar ingatannya akan bumi Sungai Nil. Dialah, kelak, menjadi pencetus ummah di sana dengan konsepnya yang efektif, mogakan.

Jalan Aminuddin Baki depan hotel terkemuka juga – harapkan – tidak melupai aku dan adikku yang jauh lebih baik dariku.

Kolej Maryam – mogakan – masih mengingati diriku setelah ketiadaan. Kasih membuatkan aku setia, sesungguhnya.

Begitu juga dengan resort di belakang Pantai Dalit, tempat aku mencuba untuk hidup sebagai ahli masyarakat yang sebenar. Agar aku tahu keadaan masyarakat dunia, aku belajarnya di sana sambil berkhidmat di pusat dobinya satu masa dulu.

Emak ayah, famili dan sanak saudara yang memberi dorongan tersendiri; pengajar-pengajar yang sudi memberi ilmu dan budi untuk dipelajari dan dihayati; pegawai-pegawai yang mengendali jabatan dengan profesional, rakan-rakan kelas yang memahami dan sudi bekerjasama, rakan-rakan organisasi yang sudi bersatu berpasukan, dan banyak lagi kumpulan – sekadar menyebut beberapa sahaja yang termampu; mereka semua kekal di minda dan jiwa.

Ahmad Hidayat yang amat baik, kembar Abdullah Izzat dan Abdullah Izzuddin yang mencuit hati, ‘Duta Besar’ Afif Afnan yang berkarisma, Muhammad Najib yang tenang, Mohammad Ehsan yang nakal tapi punya kebaikannya tersendiri, ‘Speaker’ Amirul Amin yang berbakat besar, Luqman yang sukacita, Muhammad Ikmal Hakim yang besar jiwanya, dan ramai lagi sebenarnya – sekadar menyebut beberapa nama yang termampu – masih dan telah memberi erti berharga selama ini.

Aku tidak dapat menyebutnya satu persatu sama ada individu mahupun organisasi. Tiadalah bermakna aku melupakan kalian dan mereka bagi yang tak terlintas di mata pena dan tutur bicara. Tiadalah bermakna pilih kasih di sana. Namun begitu, atas semua itu, terima kasih aku ucapkan.

Itu semua memori dan pedoman buat diriku di hari muka.

Selepas ini, tiada lagi 2013. Yang ada hanyalah 2014 juga 1435. 2014, sesungguhnya 2013 telah mengajar aku banyak perkara. Moga aku bisa belajar lagi apa-apa yang aku tidak tahu di tahun-tahun sudah.

Yang sudah mendahului kita berpulang juga takkan kembali. Yang nanti akan ada hanyalah zuriat yang diizinkan Ilahi. Semoga yang mendahului terus dicucuri rahmat Allah, dan semoga yang menanti mendapat berkat Allah.

Siapalah aku, selepas ini?

Aku menimbang untuk meneruskan apa-apa yang aku ada setakat ini, dan menimbang untuk meneroka jemaah baru dengan nilai yang baru.

Yang lebih penting, aku ingin terus memperbaiki diriku sendiri di pelbagai bidang, di pelbagai tempat dan ketika, sesusah mana pun diriku boleh diperbaiki; agar aku boleh dan terus menjadi mukmin, soleh dan berguna kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara.

Aku hanya mampu berharap. Jikalau tiada bantuanMu, ya Allah, tiadalah harapan mendapat tempat dalam kenyataan melainkan harapan semata-mata.

Pimpinlah dan permudahkanlah jalan dan langkah ini, wahai Yang Maha Pengasih.

Di akhirnya, semoga Kau memaafkan kami, merahmati kami dan mengasihi kami, juga mereka.

Maafkan aku. Sesungguhnya aku tiada apa-apa.

Buat setiap yang jauh dariku, terbanglah. Sampai masa, aku akan kecapinya kembali dengan izin Allah. Berdoalah hingga tangan Allah akan menyatukan kita lagi di satu sudut dan di satu saat yang lebih bererti...

Tuaran, Sabah
30-31 Disember 2013


Comments