Petunjuk

Aku masih ingat pada Mei tahun lepas. Aku ditawarkan masuk ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menyertai kursus Asasi Bahasa Arab.

Sebelum aku didaftarkan di situ di kampus Petaling Jaya, aku cuba untuk mengenali seseorang. Dia perkenalkan dirinya sebagai seekor kucing yang bergelimpangan ketiduran.

Kucing itu masyhur sehinggalah pada hari memangkah undi peringkat komuniti. Dari luar, kemasyhuran kucing itu ditarik masuk ke dalam Mesyuarat Agung Tahunan di Dewan Kuliah A. Sungguh, kucing itu sungguh masyhur.

Aku yang ditarik bertanding sempat mendengar kemasyhuran itu. Bukan setakat pada hari memangkah undi; bahkan pada beberapa hari sebelum itu. Ya, pada sesi induksi. Cuma, aku tak mampu mendengarnya terlalu lama kerana aku dipanggil menduduki kerusi Penolong Setiausaha Perwakilan Kolej pada Mesyuarat Agung Tahunannya jua.

Ya, dia pencinta kucing bak Abu Hurairah, katakan.

Rupa-rupanya orang itu akan bersama aku. Ya, dialah itu yang setia menemaniku.

Ya, seperti yang aku jangka; dialah antara yang aku mula-mula kenali.

Di awal perkenalan, aku tidak menyangka bahawa dia akan menjadi yang terbaik dari kalangan yang terbaik. Namun begitu, di sepanjang perkenalan, telahan aku benar-benar menjadi realiti di depan mata.

Dia sedikit maju ke hadapan berbanding sebilangan yang lain. Aku merasainya. Namun begitu, meski aku pernah mencemburuinya, aku cuba buat yang terbaik untuk diri aku sendiri:

Pertama, kerana aku sedar dia dan mereka semua – sahabat-sahabatku seperjuangan – mempunyai latar belakang dan pencapaian yang lebih baik daripadaku. Aku tidak pernah tipu untuk mengatakan bahawa aku amat terkebelakang dalam kalangan mereka.

Kedua, kerana aku ingin menjadi seperti dia. Namun, alangkah lebih baiknya seandainya aku menjadi diriku sendiri.

Di permulaan, kelas aku dan dia berbeza. Aku hanya mula sama dengannya pada penghujung tahun sudah.

Kebetulan, aku mencatatkan kemajuan mudah – bukan kemajuan memberangsangkan. Maka, aku ditempatkan sekelas bersamanya.

Di situ, aku belum merasai apa-apa permulaan langkah kebersamaan meski aku sudah mula masuk ke dalam kelas yang sama dengannya. Aku hanya mula merasakannya pada awal tahun, baru ini.

Di waktu aku menerima tanggungjawab menjadi ketua kelas, aku – secara de facto – memilihnya dan 2 orang mahasiswi menjadi naib aku; dan dia – secara tidak rasmi – adalah pembantu khas aku.

Aku sangat terasa; dia pada waktu itu selalu bersamaku. Hampir di setiap waktu, dia bersamaku. Kami selesaikan tugasan demi tugasan bersama-sama. Jalan sempit dan luas kami tempuhi beriringan, sama ada dengan mahupun tanpa berpegangan tangan.

Akhirnya, kami mencipta kejayaan dengan cara tersendiri. Namun begitu, dia tetap lebih baik daripadaku.

Berpegangan tangan? Perkataan ini masih segar di ingatanku. Pernah sekali aku berkata, “Orang yang sudi sahaja berpegang tangan denganku.”

Cuma, ada beberapa ketika membuatkan aku menyesali sesuatu. Namun begitu, penyesalan itu tak pernah sekalipun terbit di depan kelopak mataku kerana aku tahu tangan dan lengannya menyimpan banyak manfaat yang amat berharga – tiada taranya – buat diriku, yang lain dan seisi varsiti.

Begitulah jua dengan akal dan jiwanya.

Sebab itulah, aku tidak pernah jemu untuk bersamanya meskipun tugasannya amat banyak; tidak sebanyak aku. Sesibuk-sibuk aku, dia berkali-kali lebih sibuk berbanding diriku sendiri.

Sebab itulah jua, tiada yang menandinginya untuk duduk di atas takhta bahasa Arab di kampus sebelah situ.

Sebab itulah jua, perdebatan bahasa Arab memerlukan khidmatnya.

Dia yang dahulu pembahas bahasa ibunda di sekolahnya – sekolah yang cemerlang di negara – bertukar menjadi pendebat bahasa Arab. Dia pernah bersamaku di satu dan dua ketika dalam perdebatan bahasa Arab.

Sepanjang itu, aku nampak; dia jua telah menjadi yang lebih baik berbanding diriku sendiri yang hanya banyak berfokus di sudut lain.

Dia yang dahulu kalah menjadi menang. Dia yang dahulu lemah menjadi kuat. Semua itu terjadi atas izin dan rahmat Allah jua.

Keutamaannya, sesungguhnya, adalah amanahnya menjaga kedaulatan takhta itu...

...dan kini, dia masih dan harus kekal menduduki takhta biru itu. Tinggi di awan biru. Tak tercapai oleh tangan dan kaki insan biasa; dan tak tercapai tingginya oleh fikiran. Dia sahajalah yang tahu.

Cukuplah takhta itu di bayangan mata dan di rabaan tangan kita sahaja.

Pendek kata, aku tidak pernah tipu untuk mengatakan, dia adalah orang yang sangat setia bersamaku.

Hadirnya dia menyinari hari-hari perjalanan menuju kejayaan duniawi dan ukhrawi.

Aku memang suka bersoloan. Namun, kesendirian itu tidaklah bermakna aku tidak memerlukan sesiapa pun dalam pertemanan. Sampai suatu saat, aku memerlukan seseorang.

Dialah antaranya. Di kala aku suka dan duka, susah dan senang, dia sudi dan setia.

Sepatutnya aku menjadi dia sebab dialah ketua. Aku hanya mengikutinya. Aku hanya mengikuti jejaknya.

Cuma, aku pernah menjadi pembantunya pada satu dan dua ketika. Dialah pemimpin yang amat dicontohi dan disegani.

Aku banyak bersamanya di dalam pekan kecil yang sungguh nostalgia. Pekan kecil itu duduk di dalam sebuah bandaraya yang padat; bersempadan dengan ibu negara hanya dengan beberapa puluh tapak kaki. Aku hanya meneroka tanah dunia bersamanya baru dua kali. Saat itu cukup indah.

Kini, semua itu telah berlalu pergi dan takkan kembali.

Cuma, aku masih mampu tersenyum kerana dia masih lagi di atas dunia ini.

Aku tidaklah terlalu lama bersamanya. Namun, hadirnya di sisiku amat aku rasai. Datangnya dirai, perginya dirindui.

Aku beredar dari tempatnya terlebih dahulu. Suatu hari nanti, dia jua akan beredar dari tempatnya.

Cuma, di waktu aku dekat padanya, dan di waktu aku jauh darinya, aku tidak pernah lupa untuk mengatakan bahawa: Dia dan aku adalah satu.

“Kita adalah satu.”

Setakat kini, dia bahagia di samping keluarganya di Puchong, meski belum berumahtangga.

Hanya satu aku ingin pinta, “Semoga Allah menyayangimu,” dan hanya satu aku ingin katakan, “Aku sayang kau.”

“Terima kasih. Kau selama ini cukup bererti buatku.”

Kampung Dungun Timbok, Tuaran, Sabah.
Sabtu, 2 November 2013, jam 12.39 tengah malam.

Comments

  1. Replies
    1. Alhamdulillah. Terima kasih. Sebenarnya, tulisan ini hanyalah satu pengabadian kenangan.

      Delete

Post a Comment