Friday, 22 November 2013

Ahmad Ammar: Pemergian bersama Teladan

Ahmad Ammar: Sepanjang Kehidupan

Ketika berada di Syria bagi menjayakan misi kemanusiaan
(Foto: Ahmad Ammar Ahmad Azam)

ما في المقام لذي عقـل وذي أدب # من راحة فـدع الأوطان واغتـرب

Tidak ada tempat untuk pemilik akal dan budi...
...untuk berehat. Maka, tinggalkanlah tanah air dan mengembaralah.

سافر تجد عوضا عمن تفارقـه # وانصب فإن لذيذ العيش في النصب

Mengembaralah. Kau tetap akan mendapat pengganti setiap insan yang kau tinggalkan...
...dan berusahalah kerana, sesungguhnya, kelazatan hidup ada di kala kepenatan.

(Imam Syafie)

“Aku sangat terkesan setelah membaca syair ini. Lalu, aku mula berfikir; aku sudah terlalu lama hidup dalam zon selesa. Mungkin sudah tiba masanya aku mengorak langkah, berkelana untuk melihat ciptaan di muka bumi milik Sang Pencipta ini.”
(Ahmad Ammar Ahmad Azam)

Dua rangkap syair Imam Syafie menjadi pendorong kepada al-Marhum Ahmad Ammar Ahmad Azam (1993-2013) untuk menuntut ilmu di Turki dan menyingkap sejarahnya, termasuklah sejarah pembangunan Islam di sana. Semangatnya yang membara untuk menuntut ilmu sekuat semangatnya mencintai Allah dan RasulNya. 

Al-Marhum, kerana Allah dan RasulNya, sanggup meninggalkan tanah air untuk berjuang di perantauan dengan menuntut ilmu.

Begitulah jua dengan ahli keluarganya. Mereka merelakan perjalanan dan pemergian al-Marhum kerana Allah SWT meski mereka menanggung kesedihan yang amat mendalam juga atas sebab yang sama.

“Apabila aku niatkan anakku ini untuk Allah dan RasulNya, perancangan Allah berjalan dengan cara yang tiada mampu untuk aku membayangkannya; apa lagi untuk memahaminya.”
(Tuan Hj. Ahmad Azam Abdul Rahman)

“Kami menghantar anakanda kami ke bumi al-Fateh bagi mempersiapkannya untuk umat. Rupa-rupanya Allah mempersiapkannya untukNya.”
(Puan Nur Azlina Aziz)

Tentang Ahmad Ammar

Berasal dari Gombak, Selangor; Ahmad Ammar, di akhir kehidupannya, merupakan pelajar jurusan Sejarah daripada Universiti Marmara, Istanbul, Turki. Sebelum ini, beliau merupakan penuntut di Universiti Ankara, Turki. Sebelum itu pula, beliau menuntut di Maktab Tentera DiRaja (MTD/RMC) dan di Sekolah Agama Menengah (SAM) Bestari (SAMBEST), Subang Jaya, Selangor, sebelum itu.

Sepanjang kehidupan beliau, beliau – satu-satunya anak lelaki mantan Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Tuan Hj. Ahmad Azam Abdul Rahman, dan Puan Nur Azlina Aziz – bergiat aktif dalam menggerakkan Grup Penggerak Tamadun Dunia (GPTD) di Turki. Beliau juga aktif dalam menjayakan program motivasi dan kemanusiaan di dalam dan di luar negara. Sepanjang beliau berada di Turki, beliau juga aktif dalam menyertai aktiviti yang dianjurkan oleh Yayasan Hayrat.

Beliau yang lahir pada 15 Februari 1993, kembali ke Rahmatullah pada 2 November 2013 di Marmara, Istanbul, Turki akibat kemalangan jalanraya. Menurut keluarganya, beliau dilanggar oleh sebuah ambulans ketika melintasi jalan di sana. Beliau sempat melintas; namun, akhirnya, terjatuh akibat hilang imbangan badan. Jenazah al-Marhum – yang diuruskan oleh Yayasan Hayrat – dimakamkan di Makam Eyub Sultan di Istanbul, Turki, pada 4 November 2013.

Mengapa Ahmad Ammar?

Sebenarnya, saya bukanlah orang yang berkelayakan untuk bercerita tentang al-Marhum. Namun begitu, saya punya banyak sebab yang membuatkan saya tertarik untuk mengenalinya, dan sekaligus untuk berkongsi apa-apa yang saya ketahui mengenai dirinya, biarpun saya langsung tidak mengenalinya dan langsung tidak pernah bertemu dengannya. Saya hanya sempat mendengar ceramah ayahnya pada satu sesi perkongsian mengenai Badiuzzaman Said Nursi di Menara Tun Mustapha, Kota Kinabalu, Sabah, tahun lepas.

Pemergian al-Marhum, sesungguhnya, ditangisi dan dirindui oleh setiap yang mengenali al-Marhum. Namun begitu, pemergian al-Marhum – yang digelar ‘Syahid yang tertangguh’ oleh warga Turki – tetap menjadi kegembiraan dan kebanggaan; sekaligus menjadi contoh dan teladan kepada setiap yang sudah dan ingin mengenali al-Marhum, di saat kehidupannya mahupun setelah kepergiannya.

Daripada al-Marhum, kita boleh dan seharusnya mengambil banyak iktibar. Kita boleh lihat, betapa al-Marhum, sepanjang kehidupannya, adalah seorang yang bersemangat waja. Beliau juga telah menjadi seorang yang memiliki kesantunan budi. Beliau juga telah menggunakan dirinya untuk dimanfaatkan di beberapa buah negara di dunia. Benarlah sabda Rasulullah SAW, [خير الناس أنفعهم للناس] “Sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat kepada manusia yang lain.”

Beliau juga, semasa kehidupannya, cuba menyusunatur segala hasrat dan rancangan yang, pada hematnya, akan memberi manfaat kepada Islam. Beliau jugalah seorang insan yang dibanggakan kerana meninggal dunia semasa perjuangan.

Semangat Waja

Apabila kita membaca sejarahnya, kita akan dapati bahawa al-Marhum adalah seorang yang bersemangat waja. Cuba kembali kepada sejarah. Kata George Santayana dalam bukunya, The Life of Reason, “Mereka yang tidak mempelajari sejarah pasti akan mengulanginya.”

Al-Marhum, sepanjang pengajiannya di Turki, sangat bersemangat untuk menjadi seorang sejarawan Islam, dengan pengkhususan dalam bidang sejarah Turki Uthmaniyyah. Oleh sebab itu, beliau sanggup meninggalkan tanah air; menuntut di perantauan. Beliau menuntut ilmu di sebuah negara yang penuh dengan warna-warni sejarah Islam; sebuah negara Islam yang sedang dan akan terus maju di antara benua Asia dan Eropah.

Perjalanan hidupnya indah, sesungguhnya. Al-Marhum, pada usia 13 tahun, menuntut ilmu di sekolah agama; Pada usia 16 tahun pula, beliau menuntut di sekolah tentera. Setelah itu, beliau memilih untuk meninggalkan Malaysia untuk menyingkap sejarah Turki Uthmaniyyah di Turki sana. Beliau, sepanjang hidupnya, menyediakan dirinya untuk masa hadapan yang semakin mencabar.

Namun, tiada siapa pun dapat menolak apabila takdir Allah SWT mendahului dan mengatasi segala-galanya.

Perancangan Tersusun

Sepanjang kehidupannya jua, beliau menyusun langkahnya dengan teliti dan teratur. Setakat yang didedahkan oleh pelbagai pihak mengenai al-Marhum, beliau merancang banyak perkara untuk Islam. Siapa tahu, banyak lagi yang kita tidak ketahui yang pernah dirancang oleh al-Marhum demi kelestarian Islam?

Diceritakan oleh bondanya, bahawa beliau pernah menulis visi dan misinya yang signifikan.


“(Aku) akan menziarahi serta mengkaji ketamadunan & kekayaan sejarah bangsa dan negara Turki serta kerajaan-kerajaan yang pernah diasaskan oleh mereka... (Aku) ingin menjadi sejarawan perantau.

“Meskipun tumpuan 100 peratus kepada penguasaan akademik, tumpuan kepada ilmu rohani dan agama tidak boleh diabaikan. Sehubungan dengan itu, bagi memastikan ketenangan jiwa, hubungan dengan Sang Pencipta dikekalkan, Risalah An-Nur tulisan Ustaz Badiuzzaman Said Nursi adalah penawar terbaik untuk semua ini.

“Maka, jika aku berjaya memahami dan menguasai kitab Risalah an-Nur, aku akan cuba menyebarkannya ke setiap negara yang akan aku pergi di samping melakukan kajian sejarah.

“Ya. Sesungguhnya untuk mencapai kedua-dua matlamat ini, aku sudah tiada masa untuk berlengah-lengah dan berehat, sebaliknya berusaha bersungguh-sungguh dengan mengaplikasikan gerakerja harian aku kepada tindakan tanpa gagal.”

(Ahmad Ammar Ahmad Azam)

Beliau merancang untuk meneladani Badiuzzaman Said Nursi. Maka, beliau menelaah kitab Risalah an-Nur. Dikhabarkan, al-Marhum, sewaktu kehidupannya, telah khatam kitab Risalah an-Nur. Di media sosial, terutamanya di Facebook, al-Marhum dikhabarkan pernah menulis sesuatu.

“Perlu ada keredhaan Allah dalam amalan kalian. Sekiranya Allah redha sedangkan seluruh dunia berpaling daripadamu, maka itu tidak penting. Jika Dia telah menerima amalanmu sedangkan seluruh makhluk menolak, maka ia tidak memberi apa-apa kesan pun. Kerana itulah, sepatutnya hanya redha Allah semata-mata yang menjadi tujuan utama dalam khidmat dakwah ini.”
(Ahmad Ammar Ahmad Azam)

Berikut merupakan salah satu hasrat dan rancangannya yang tercapai. Cuma, yang menjadi kesedihan di sini adalah apabila beberapa hasrat dan rancangannya – seperti berkongsi kandungan Risalah an-Nur kepada dunia, dan menulis buku dan menerbitkannya di Internet – tidak tercapai berikutan kekangan masa. Beliau merancang dan melakukan segalanya untuk dirinya agar beliau dapat menyumbang kepada Islam. Namun, rancangan Allah tiada siapa pun dapat menolaknya. Nyata, Allah telah memilihnya untuk pulang ke pangkuanNya.

Manfaat kepada Dunia

Dalam pada al-Marhum tidak sempat menunaikan hasrat-hasratnya dan meneruskan rancangan-rancangannya yang lain, al-Marhum – kehidupannya – memberi manfaat kepada dunia secara amnya, dan kepada beberapa buah negara khasnya. Sepanjang kehidupannya, beliau pernah terlibat dalam menjayakan usaha murni Global Peace Malaysia (GPM).

Beliau pernah menyertai sebuah program kemanusiaan di Kemboja. Beliau juga pernah terlibat dalam memberikan bantuan pendidikan kepada anak-anak bangsa Rohingnya dari Myanmar. Beliau juga pernah menjayakan misi bantuan kepada warga Syria. Di Turki, beliau juga banyak menyumbang kepada gerakerja Yayasan Hayrat.

Betapa bermanfaat seorang Ahmad Ammar sepanjang kehidupannya. Penat lelah tidak terkandung dalam kamus kehidupannya. Begitulah yang diajarkannya kepada ayahnya sendiri. Ahmad Ammar pernah berkata kepada ayahnya bahawa syurga merupakan tempat rehat yang sebenar setelah hidup di dunia.

"Dunia ini untuk berjuang dan untuk penat. Kita rehatlah bila mati nanti di syurgaNya."
(Ahmad Ammar Ahmad Azam)

Kesantunan Budi

Al-Marhum juga dikenali sebagai seorang yang memiliki budi pekerti. Dikhabarkan bahawa al-Marhum merupakan seorang yang pendiam, pandai bersahabat dan rajin. Akhlak mulia yang dimilikinya memungkinkan al-Marhum dikenali dan disahabati oleh pelbagai insan dari pelbagai lapisan masyarakat, di dalam mahupun di luar Malaysia.

Membuka Mata Semua

Sesungguhnya, pemergian al-Marhum telah membuatkan segenap insan bersedih kerana kehilangannya, bergembira kerana jasa dan budinya, terharu kerana manfaat yang diperoleh darinya, dan sebak kerana hajatnya yang tidak tertunai. Jikalau dahulu, hanya yang mengenalinya merasai kehilangannya. Namun, setelah sampai cerita mengenai al-Marhum kepada masyarakat, masyarakat juga sedang sebak kerana kehilangan dan terharu kerana kebaikan yang beliau miliki sepanjang kehidupannya.

"Tiada ku duga pemergian Ahmad Ammar telah menghidupkan lebih banyak jiwa. Aku merasa begitu kerdil tika ditanyakan formula bagi mempersiapkan Ammar begitu rupa! Jujur aku katakan; sumbangan aku terlalu sedikit. Sekadar meletakkan visi dan misi yang aku impikan kepadanya. Rupanya, apabila aku niatkan anakku ini untuk Allah dan RasulNya, perancangan Allah berjalan dengan cara yang tiada mampu untuk aku membayangkannya; apa lagi untuk memahaminya. Pemergiannya mengajar aku banyak perkara mengenai kebesaran Allah. Terima kasih, ya Allah!"

(Tuan Hj. Ahmad Azam Abdul Rahman)

Meskipun dunia telah kehilangan al-Marhum, semangatnya, jasanya dan peninggalannya tetap hidup di hadapan mata dan di dalam akal dan jiwa setiap yang meneladaninya; seperti yang pernah saya kata sebelum ini, “Ilmu tetap hidup walaupun pemberinya sudah tiada.” Agar al-Marhum tidak dilupakan, sekurang-kurangnya kita menghayati cara hidup dan semangat juang al-Marhum sepanjang kehidupan al-Marhum.

Kepada Allah SWT kita panjatkan doa, semoga Allah SWT merestui kehidupan al-Marhum dengan rahmat, keampunan dan kasih sayangNya. Kita jua mendoakan, semoga Allah SWT merestui ahli keluarganya, guru-gurunya dan sahabat-sahabatnya yang ditinggalkan untuk selama-lamanya dengan rahmat, keampunan dan kasih sayangNya.

Akhirnya, semoga al-Marhum akan terus menjadi insan yang bermanfaat kepada kita semua, meski beliau sudah tidak bersama kita lagi di atas dunia.

Begitulah, betapa al-Marhum – hingga Hari Kiamat – tetap menjadi manfaat seperti sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA:


إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث: صدقة جارية، أو العلم ينتفع به، أو ولد صالح يدعو له.

“Apabila matinya seorang anak Adam, maka terputuslah segala amalannya melainkan 3 perkara: Sedekah jariah, ilmu-ilmu yang bermanfaat dan anak-anak soleh yang mendoakannya.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Saksikanlah, ya Allah, betapa insan ini amat bererti buat kami semua...

20 comments:

  1. Berharap sangat untuk mencontohi akh Ammar. InshaAllah

    ReplyDelete
  2. Terima kasih atas perkongsian yang membina. Marilah sama-sama kita bangunkan generasi Islam yang hebat pada masa hadapan insya-Allah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih kembali. Semoga kita mampu meneladani kehidupannya sebelum ini...

      Delete
  3. Replies
    1. Syukran jua kerana sudi membaca. Semoga kita meneladani kehidupan al-Marhum, kelak. InsyaAllah

      Delete
  4. Kehadiranmu amat bermakna untuk ummah ! Mujahid Ammar :')

    ReplyDelete
  5. impian menjadi insan sepertinya semakin subur,,,,,,,

    ReplyDelete
  6. Allahuakbar..semoga dapat mendidik anak seperti Ammar..

    ReplyDelete
  7. Salam Ukhwah.Syukran jazilanatas perkongsian ilmu.Semoga akan lahir lebih ramai lagi 'Ammar' bagi meneruskan delegasi Mujahid Ammar InsyaAllah.amin allahumma amin

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam Ukhuwwah jua. Saya hanya terpanggil untuk berpesan kepada diri dan semua mengenai al-Marhum Ahmad Ammar. Apa yang tuan/puan doakan, begitulah doa saya. Allahumma amin

      Delete
  8. Ini adalah insan terpilih..Alhamdulillah. .

    ReplyDelete
  9. Sangat terkesan dgn pemergian beliau.... moga beliau sentiasa menjadi kekasih Allah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya jua berdoa dengan doa yang sama; dan doa yang sama buat kita jua. Saya jua merasai kehilangannya, meski saya tidak pernah berjumpa dengannya dan mengenalinya.

      Delete
  10. Kerdilnya diri ini....semoga menjadi ikhtibar bg yg masih hidup!

    ReplyDelete
  11. Terima kasih untuk perkongsian, walaupun tidak mengenali arwah namun kisahnya amat menyentuh hati..Moga kita semua terus membangun bersama Islam!

    Al-Fatihah buat As-Syahid Ahmad Ammar

    ReplyDelete
  12. Pemergiannya sangat dirasai walaupun tidak pernah mengenali, pemergiannya memberi kan kesan yang sangat mendalam buat umat terutamanya diriku, moga lebih ramai pemuda sepertinya yang mempunyai semangat yang tinggi dan mewakafkan diri untuk islam, moga lebih ramai pemudi dan serikandi yang bakal melahirkan pemuda-pemuda sepertinya dan bersedia untuk menghadiahkan putera-puteranya unutk berkhidmat kepada Islam seperti Al-khansa seorang ibu yang merelakan syahid buat putera-puteranya. Syukran Muiz atas perkongsian yang menyentuh jiwa.

    ReplyDelete
  13. Beliau yang lahir pada 25 Februari 1993? Arwah dilahirkan pada 15 Februari 1993.
    Mohon diperbetulkan. Terima kasih.

    ReplyDelete
  14. Terima kasih dek ....

    Terharu saya membacanya .apatah lagi saya telah melihat vedionya.
    Semoga Allah limpahkan rahmat keatas rohnya dan kita semua

    http://www.zainabsgarden.com/info-penting/perginya-seorang-pejuang/

    ReplyDelete