Zulhijjah dan Pengorbanan

Zulhijjah

Setiap kali kita disampaikan ke bulan Zulhijjah, kita akan diperingatkan tentang 2 perkara – Hari Raya Aidiladha dan ibadah haji – yang memiliki pengertian dan pengajarannya yang tersendiri.

Kita sedia maklum bahawa ibadah haji hanya ditunaikan oleh setiap mereka yang berkemampuan dan yang diberikan kesempatan. Begitu jugalah dengan ibadah korban pada Hari Raya Aidiladha yang berlanjutan sehingga Hari-hari Tasyrik. Ramai sahaja yang boleh dan ingin mengerjakan haji mahupun menunaikan ibadah korban pada tahun ini, namun belum diberikan kekuatan dan kesempatan. Setiap halangan itu pasti ada sebabnya.

Namun begitu, jika kita terhalang daripada melakukan ibadah-ibadah yang berkenaan, kita tidak boleh pula menjadikan halangan itu sebagai sebab untuk kita berputus asa. Marilah kita redha dan sabar dengan segala takdirNya. Yakinlah; suatu masa nanti, kita akan diizinkan oleh Allah SWT untuk menunaikan ibadah-ibadah tersebut. InsyaAllah.

Buat setiap yang menjadi tetamu Allah SWT pada tahun ini, kita doakan; semoga Allah SWT mengurniakan mereka haji yang mabrur. Buat setiap yang akan menunaikan ibadah korban nanti, kita doakan; semoga Allah SWT menerima ibadah korban kita.

Hari Raya Aidiladha dan ibadah haji mengajar kita satu mesej yang menyentuh hati kita semua: pengorbanan.

Sejarah dan Pengorbanan

Pengorbanan tidak dapat dipisahkan daripada kamus kehidupan kita semua. Kehidupan memerlukan kita untuk berkorban. Kehidupan tanpa pengorbanan tiadalah bererti. Sejarah dunia, amnya; dan sejarah Islam dan Malaysia, khasnya; mengajar kita tentang pengorbanan.

Mari kita ambil iktibar daripada perisitwa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail AS. Nabi Ibrahim AS diperintahkan oleh Allah SWT untuk mengorbankan Nabi Ismail AS. Keredhaan dan ketaatan bersinar di hati mereka. Namun, sejarah menuliskan betapa Allah SWT Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Seekor kibas yang ingin berkorban kepada Allah SWT dihantarkan kepada Nabi Ibrahim AS sebagai ganti kepada anakanda baginda untuk berkorban. Kibas tersebut dikorbankan.

Peristiwa ini sangat menyentuh hati kita semua sehinggakan perisitwa ini diabadikan dalam lipatan sejarah sepanjang zaman. Cuba fikirkan; populasi manusia sedunia akan berkurangan sekiranya manusia dikorbankan oleh manusia sendiri. Walau bagaimanapun, Allah memerintahkan supaya yang dikorbankan itu binatang ternakan yang digolongkan dalam kumpulan al-Anaam supaya kita dapat makan daripada rezeki Allah yang halal lagi diredhai.

Dalam pada itu, ibadah korban sebenarnya mengajar kita, betapa kita perlu mengekalkan – bahkan meningkatkan – nilai ketaqwaan kita ke hadratNya. Hal ini demikian kerana, dalam ibadah korban, yang sampai kepada Allah SWT bukanlah darah dan daging binatang yang dikorbankan. Yang sampai kepadaNya adalah rasa taqwa kita kepadaNya. Al-Quran jelas menyentuh perkara ini.

Sejarah itu memungkinkan pengorbanan berkesinambungan sepanjang zaman. Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda juga telah banyak berkorban bagi memastikan bahawa mesej Islam tersebar di serata dunia. Mereka semua tidak pernah berkira dalam mengorbankan harta benda dan jiwa raga. Semua pengorbanan yang mereka tunjukkan, tidak lain dan tidak bukan, adalah kerana Allah SWT dan demi kelestarian Islam. Pengorbanan mereka semua membolehkan Islam tersebar hingga ke serata dunia. Malaysia adalah antara negara yang mendapat kesan hasil perjuangan para pejuang Islam.

Sejarah Malaysia sendiri telah menuliskan pengorbanan. Alhamdulillah; kita baru sahaja memperingati Ulangtahun ke-56 Malaysia dan meraikan Jubli Emas Sabah dan Sarawak Merdeka dan Maju Jaya dalam Malaysia. Kita telah merdeka setelah melalui 446 tahun penjajahan yang menyaksikan pertumpahan darah ribuan pejuang kerana menentang penjajahan, menuntut keadilan dan merindukan kedamaian.

Kita Diperlukan

Sedang kita menikmati keamanan dan kemakmuran, janganlah kita lupa bahawa kita masih diperlukan untuk meneruskan pengorbanan dengan cara kita sendiri. Lihatlah, betapa pengorbanan kita semua membolehkan Islam terus memayungi negara kita. Lihatlah, betapa pengorbanan kita semua membolehkan negara terus membangun dengan pesat. Lihatlah, betapa pengorbanan kita semua membolehkan negara kita terus berdaulat dan merdeka.

Namun begitu, kita jangan lupa; betapa saudara-saudara kita di luar Malaysia sedang sibuk meneruskan perjuangan untuk membebaskan negara mereka daripada penjajahan dan kezaliman. Janganlah jua kita lupa betapa kita semua diperlukan untuk membantu mereka meneruskan perjuangan yang suci.

Palestin, meski diiktiraf sebagai sebuah negara, masih berada di bawah cengkaman Israel. Syria dan Mesir pula dipayungi pemerintahan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan. Anak bangsa Rohingya beragama Islam di Myanmar tidak kurangnya dizalimi; dan tidak mendapat tempat di negara sendiri. Di beberapa buah negara yang lain, Islam dan umatnya tidak dilayan secara adil dan saksama.

Mereka semua harus dibantu dengan semangat kita yang ingin berkorban. Kita sudah tentu tidak mampu untuk bersama mereka, menghunus senjata, memerangi musuh yang sangat kejam. Namun, apabila kita memahami erti pengorbanan, sekurang-kurangnya kita akan membantu mereka; jikalau bukan dengan harta, dengan doa sudah mencukupi.

Memperingati Jasa dan Sumbangan

Di kesempatan ini, saya mengajak diri saya dan semua untuk memperingati betapa diri kita dan setiap yang berada di sekeliling – ibu bapa, sanak saudara, para pendidik dan para sahabat – hidup dalam suasana memahami dan menghayati erti pengorbanan. Mungkin ada benarnya sekiranya kita – sebagai seorang yang dipimpin dan memimpin – menuliskan pengorbanan kita terhadap orang lain dengan cara yang signifikan. Namun, di sini kita diperingatkan; kita sedang dan masih hidup berbantukan pengorbanan orang lain.

Ingin sekali saya mengajak diri saya dan semua memperingati beberapa peristiwa.

PERTAMA, betapa ayahbonda dan sanak-saudara kita banyak berkorban mengasuh dan membesarkan kita demi memastikan kita menjadi insan yang berguna di masa muka berbantukan hidayah Allah SWT.

KEDUA, betapa para guru kita banyak berkorban demi memastikan bahawa ilmu yang mereka ajarkan sampai di akal dan di dada kita dalam keadaan diredhai oleh Allah SWT.

KETIGA, betapa para sahabat kita banyak berkorban demi memastikan persaudaraan dan persahabatan berkekalan dalam kerestuan Allah SWT.

Pendek kata, dalam pada kita berkorban – menyumbang harta, tenaga dan buah fikiran – kepada yang lain, kita jua sedang hidup aman dan selesa hasil pengorbanan orang lain yang mendahului kita.

Terima Kasih

Buat setiap yang telah, pernah dan masih berkorban dalam kehidupan; lihatlah, betapa pengorbanan kalian semua amat bererti buat setiap kami yang merasainya. Terima kasih yang tidak terhingga kami ucapkan atas jasa dan sumbangan kalian dalam pelbagai perkara yang bermanfaat dan berguna di pelbagai tempat dan ketika. Kami semua – sesungguhnya – belajar daripada sumbangan dan perjuangan orang lain; sehingga kami diberi peluang untuk turut berkorban bersama. Kami, di masa mendatang, berazam untuk mengerah diri kami secara fizikal, mental dan spiritual untuk bersama berjuang dan berbakti. Semoga Allah SWT menerima amalan dan pengorbanan kita semua; dan semoga Allah SWT terus memberikan kekuatan untuk meneruskan perjuangan.

Buat setiap insan yang telah pergi mendahului kita, terutamanya yang terkorban di medan perjuangan, kita doakan, semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh mereka dan menempatkan mereka bersama para Syuhada.

Di kesempatan ini, saya menyusun sepuluh jari memohon keampunan dan kemaafan atas salah silap dan dosa saya selama ini. Sesungguhnya saya – seperti kalian – tidak dapat lari daripada melakukan dosa. Namun begitu, saya berazam untuk memperbaiki diri di masa yang akan datang.

Di penghujung, saya menyeru diri saya dan semua; betapa erti pengorbanan bukanlah untuk dikhaskan dan disempitkan kepada satu perspektif pada satu waktu sahaja. Pengorbanan akan berterusan di pelbagai tempat dan ketika. Oleh hal yang demikian, kita diperlukan untuk melengkapkan dan meneruskan perjuangan dengan mempraktikkan pengorbanan.

Di mana-mana pun kita berada, dan walau apa pun yang terjadi, saya mohon; kita terus bersama.

Selamat Hari Raya Aidiladha.

Comments