Iktibar buat Malaysia

(sempena memperingati Ulangtahun ke-56 Kemerdekaan Malaysia dan Ulangtahun ke-50 Penubuhan Malaysia)

Segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT. Dengan izin dan rahmatNya, Malaysia kini sudah mencecah usia 56 tahun kemerdekaan dan 50 tahun penubuhan. Selawat dan salam dipanjatkan ke atas Rasulullah SAW, kaum kerabatnya dan para sahabatnya yang amat mulia. Jerih-perih perjuangan Baginda dan para sahabat membolehkan syiar Islam bertebaran hingga ke dua pertiga dunia. Malaysia adalah antara negara yang mendapat hikmah hasil perjuangan Baginda.

Malaysia adalah bumi yang penuh dengan warna-warni sejarah. Sejarah yang tertulis selama kira-kira 750 tahun sehingga kini telah banyak menuliskan kisah suka dan duka. Dahulu, di zaman Kesultanan Melaka, masyarakat hidup dalam kedamaian dan kerukunan. Namun, sayangnya, kesentosaan yang wujud tidak mampu berkekalan. Penjajahan yang silih berganti selama 446 tahun memberikan implikasi negatif kepada masyarakat dan negara.

Alhamdulillah. Malaysia sudahpun merdeka selama 56 tahun, dan ditubuhkan sebagai sebuah persekutuan yang berdaulat selama 50 tahun. Sepanjang tempoh ini, Malaysia membangun dengan pesat di pelbagai aspek dan lapangan. Rakyatnya pula hidup dalam keamanan dan kesejahteraan. Semua ini berlaku atas izin dan rahmat Allah jua.

Namun begitu, kita harus sedar betapa kita hendaklah menjadi insan yang merdeka seiring dengan kemerdekaan negara. Jikalau negara merdeka daripada penaklukan kuasa-kuasa besar sehingga kita mampu mentadbir negara ini bersendiri, kita juga hendaklah memerdekakan diri dengan membebaskan fikiran daripada aliran-aliran yang membahayakan; dan membebaskan diri daripada mendapat kemurkaanNya dengan meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepadaNya, dengan mematuhi segala perintahNya dan menjauhi segala tegahanNya.

Alhamdulillah. Malaysia adalah negara yang aman, bebas dan berkecuali. Namun, kita tidak boleh terus berpuas hati dengan apa-apa yang kita telah capai kini. Masih banyak aspek yang wujud di sekeliling kita memerlukan perhatian dan tindakan kita semua. Islam yang menjadi amalan majoriti rakyat Malaysia dan yang didaftarkan sebagai agama rasmi persekutuan masih perlu diperkasakan. Golongan istimewa dan yang memerlukan masih perlu dibela. Musuh dan jenayah masih perlu diperangi habis-habisan. Undang-undang yang sedia ada masih memerlukan pemurnian. Pendidikan masih perlu dimajukan secara realistik. Masyarakat pula, secara keseluruhannya, memerlukan pendekatan dan pembimbing agar Malaysia dan seisinya mampu kembali dan terus berada di atas jalan yang Allah redhai.

Mari kita ambil iktibar daripada peristiwa Perang Lahad Datu. Di waktu kita leka dengan kemewahan dan kedamaian, kedaulatan negara kita begitu mudah dicemarkan. Peristiwa itu mengajar kita, tanpa mengira anutan agama, budaya bangsa dan aliran pemikiran, betapa sebuah negara yang merdeka masih perlu dipertahankan habis-habisan dengan pelbagai cara yang menggunakan kekuatan intelek, emosi, rohani dan jasmani; sehingga ke titisan darah yang terakhir. Dalam hal ini, kita hendaklah terus bersatu dan bersama atas nama Malaysia kerana perpaduan, persaudaraan dan kebersamaan adalah kunci kejayaan kita semua.

Sejarah negara kita amat bermakna kerana sumbangan dan pengorbanan yang diberikan oleh setiap yang berkorban dan menyumbang demi mengangkasakan syiar Islam dan mengangkat martabat Malaysia di astaka dunia. Kepada setiap yang menyumbang dan berkorban, kami doakan, semoga Allah membalas sumbangan dan pengorbanan yang dicurahkan dengan ganjaran berlipat kali ganda. Kepada setiap insan yang telah terlebih dahulu pulang ke pangkuan Yang Maha Esa, kami doakan, semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh mereka.

Sempena memperingati ulangtahun ke-56 kemerdekaan Malaysia dan Jubli Emas penubuhan Malaysia dan Jubli Emas Sabah dan Sarawak Maju Jaya dan Merdeka dalam Malaysia, saya mengajak diri saya dan semua agar meneruskan semangat dan usaha untuk membangunkan diri, keluarga, agama, bangsa dan negara. Saya yakin, dengan semangat yang tinggi dan dengan usaha yang maksimum, kita akan terus melangkah maju ke hadapan; Malaysia akan terus gagah di persada antarabangsa; dan Islam akan terus mulia sepanjang zaman, InsyaAllah.

Semoga Allah SWT merestui Malaysia dan seisinya dengan rahmat, keampunan dan kasih sayangNya.

Comments