Perbahasan Pusat Asasi UIAM 2013

Saya bersama Penasihat dan Finalis
Perbahasan Pusat Asasi UIAM 2013
(Gambar: Ahmad Hidayat Kamaruddin)

Tamat Kalendar

Dengan izin dan rahmat Allah SWT, Perbahasan Pusat Asasi (CFS DC) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM/IIUM) 2013 telah selesai disempurnakan pada 20-22 September 2013 di UIAM, Petaling Jaya, Selangor. Dengan berakhirnya CFS DC 2013, maka berakhirlah kalendar debat dan pengucapan awam Pusat Asasi UIAM bagi Semester 1, 2013/2014.

Petang tadi (22 September), apabila saya mengetuai Dewan Debat Bahasa Arab dengan usul bahawa “Dewan ini membenarkan kebergantungan terhadap Internet dalam penulisan kajian ilmiah”, saya rasa sedikit terharu dan sebak kerana saya mengumumkan secara rasminya – setelah mengambil kira tugas saya mengemudi perdebatan bahasa Arab di Pusat Asasi UIAM – bahawa perdebatan tersebut adalah yang terakhir bagi Semester 1, 2013/2014; dan sekaligus yang terakhir buat saya sebagai pelajar pra-universiti UIAM.

Saya dan CFS DC

Sebenarnya, saya hanyalah seorang penyusun persidangan debat bahasa Arab dalam CFS DC 2013. Saya hanya banyak berurusan dengan komputer dan borang hakim. Namun begitu, terus terang saya katakan; betapa CFS DC meninggalkan banyak kesan terhadap diri saya. CFS DC adalah sebuah program yang membolehkan saya mengukir banyak kenangan dan mendapat banyak pengajaran, walaupun saya hanyalah seorang pengatur pertandingan.

Tahniah dan terima kasih buat setiap yang terlibat menjayakan CFS DC, terutamanya warga Kelab Debat Bahasa Arab (ADC). Setiap sumbangan dan penglibatan – sebagai pengurus, eksekutif, penaja, hakim dan peserta – amatlah bererti buat kita semua. Tahniah jua buat Kumpulan Zahf al-Israa (Asasi Ilmu Wahyu dan Warisan Islam) – Mohamad Falah Noor Azmir (pembahas terbaik peringkat akhir), Zaid Zulkifle dan Hilman Fikri Azman – dan Kumpulan Sirr al-Aql (Asasi Bahasa dan Kesusasteraan Arab, dengan kerjasama Asasi Ekonomi dan Sains Pengurusan) – Muhammad Afif Ismail, Ahmad Hidayat Kamaruddin dan Mohammad Ehsan Ramli – yang dinobatkan sebagai johan dan naib johan perdebatan bahasa Arab. Tahniah jua buat setiap yang terpilih menjadi pembahas terbaik debat bahasa Arab.

Melihat kepada prestasi yang dipamerkan sepanjang CFS DC, saya ingin berterus-terang; betapa universiti memiliki ramai pendebat yang berprospek tinggi dan berprestij tinggi. Saya yang menyaksikan perdebatan demi perdebatan dalam CFS DC merasa kagum dan cemburu dengan prestasi setiap pendebat. Sungguh; betapa kalian lebih baik daripada saya. Untuk waktu yang mendatang, saya harus belajar banyak ilmu daripada pendebat yang lain yang lebih baik daripada saya.

Yang lebih membuatkan saya kagum dan cemburu adalah apabila ada pendebat yang berjaya meningkatkan prestasinya melalui CFS DC.

Rahsia Pemikiran

Sahabat saya, Hidayat, contohnya. Saya pernah bersamanya pada Perbahasan Piala Dekan Asasi UIAM 2013. Prestasi kami pada waktu itu tidaklah sebaik mana. Namun, saya amat terkesan apabila Hidayat menunjukkan prestasi yang amat baik dalam debat bahasa Arab. Alhamdulillah; dengan semangat yang jitu dan dengan usaha yang ditunjukkan melalui beberapa sesi latihan dan beberapa sidang perdebatan, prestasi beliau meningkat sedikit demi sedikit. Saya amat menghargai usaha dan semangatnya meskipun beliau harus meneruskan tugasannya menjadi wakil tertinggi pelajar asasi Bahasa dan Kesusasteraan Arab UIAM.

Seorang lagi sahabat saya, Afif. Beliau berjaya mengekalkan momentum dalam debat bahasa Arab. Pada pertandingan yang lepas, Afif dan ahli kumpulannya berjaya menjadi naib johan debat bahasa Arab. Kejayaan tersebut berkekalan dalam CFS DC bersama ahli kumpulan yang berbeza.

Hari itu, ada yang bertanya kepada saya, “Mengapa tidak menyertai?” Jawapan saya mudah. Saya bimbang, jikalau saya turut serta bertanding, tiada orang yang akan boleh menyusunatur perdebatan. Oleh hal yang demikian, saya memilih untuk menjadi Tabulator, dan sekaligus pengacara sesi debat Bahasa Arab. Selain itu, saya memilih untuk menggabungkan 3 orang – Ehsan, Hidayat dan Afif – menjadi kumpulan Sirr al-Aql. Saya adalah orang yang bertanggungjawab dalam membentuk kumpulan tersebut. Setiap orang ada kehendak dan sebab tersendiri sehingga membawa kepada pembentukan tersebut.

Aplikasi Masa Silam ke Masa Kini

Melihat kepada kejayaan yang dicapai oleh kumpulan Sirr al-Aql, saya kagum dan bersyukur. Kumpulan tersebut mencapai sasarannya yang signifikan meski saya tidak tahu sasaran sebenar kumpulan ini dalam CFS DC.

Sampai suatu saat, saya berfikir sendirian. Apa-apa yang berlaku dalam pertandingan debat haruslah diaplikasikan sama dalam pencapaian akademik. Ya, sekarang kita berada di penghujung semester; dan saya berada di hujung tempoh pengajian saya di Pusat Asasi UIAM, InsyaAllah. Saya rasa sudah sampai masanya untuk mengambil iktibar dan membawa semangat yang membara dalam CFS DC dalam minggu-minggu terakhir semester. Ya, saya harus buat yang terbaik untuk diri saya. Kalian juga begitu. Jikalau saya bersemangat dalam kokurikulum dan kepimpinan, sepatutnya semangat yang sama – bahkan lebih daripada yang sebenar – saya bawakan dalam akademik.

3 hari bersama CFS DC, saya amat terasa; betapa mereka – Sirr al-Aql – sanggup bersama untuk memastikan mereka mencapai apa-apa yang mereka inginkan. Dalam meneruskan sesuatu perjuangan, kebersamaan amatlah penting kerana kebersamaan kunci kejayaan sesuatu perjuangan. Begitu juga dengan pengorbanan. Tanpa pengorbanan, sesuatu kejayaan mana mungkin akan terjadi.

Terima Kasih, Sahabat

Di kesempatan ini, izinkan saya menyampaikan penghargaan khas kepada sahabat saya, Ahmad Farid Asyraf Abdul Rani. Walaupun beliau sibuk memikirkan hal ehwal pelajar antarabangsa di kampus sebelah sini (UIAM Petaling Jaya), beliau masih sudi bersama saya untuk menyusun perlawanan dan menjanakan keputusan pertandingan.

Di kesempatan ini juga, izinkan saya melahirkan rasa bertuah dan bersyukur apabila CFS DC – dengan rahmat Allah SWT – diserikan dengan kehadiran sahabat yang saya kasihi, Ehsan, satu-satunya mewakili pelajar asasi (baca: Asasi Ekonomi dan Sains Pengurusan) UIAM Gombak. Walaupun hadir hanyalah sebagai peserta, namun kehadirannya amat bererti buat kita semua; buat diri saya sebagai sahabatnya apatah lagi. Saya nampak; betapa semangatnya dalam debat bahasa Arab amatlah tinggi meski beliau masih banyak tanggungjawab yang perlu diselesaikan secepatnya.

Pada asalnya, beliau hampir tidak dapat menyertai CFS DC apabila nama beliau tersenarai menyertai program wajib universiti pada tarikh yang sama di UIAM Gombak. Namun, dengan izin dan rahmat Allah SWT, Ehsan diizinkan menyertai CFS DC setelah mengambil kira status aktiviti debat sebagai salah satu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) UIAM.

Dalam hal ini, penghargaan ingin saya tujukan, secara peribadi dan bagi pihak ADC, kepada Timbalan Dekan Asasi (Pembangunan Pelajar) UIAM, En. Izdihar Ishak, atas budi baik beliau membenarkan penyertaan Ehsan; juga atas sokongan padu beliau terhadap aktiviti debat dan pengucapan awam. Dengan sokongan padu yang diberikan oleh pejabat beliau, ADC mampu bergerak maju ke hadapan seiring dengan kemajuan universiti.

Terima kasih saya juga buat sahabat-sahabat senior, ahli-ahli Kelab Debat dan Pengucapan Awam Bahasa Arab, UIAM. Kehadiran mereka dari kampus induk memberi banyak pengertian dan manfaat kepada semua yang merasai kehadiran mereka. Mereka mempunyai banyak pengalaman dan debat dan pengucapan awam bahasa Arab. Oleh hal yang demikian, mereka didatangkan sebagai Hakim CFS DC supaya pengalaman mereka dapat dimanfaatkan walaupun sedikit.

Buat para jurulatih – Ustaz Hassan Sayed Hassan Haggag dan Ustazah Nurhuda Ramli, terima kasih kami ucapkan. CFS DC berjaya menjadi tempat pembuktian setelah berbelas sesi latihan dijalankan sepanjang Semester 1, 2013/2014. Namun begitu, kami masih berazam untuk terus maju ke hadapan dalam aktiviti debat dan pengucapan awam bahasa Arab.

Di kesempatan ini juga, saya dengan rendah diri memohon berbanyak kemaafan dan keampunan atas dosa dan kesalahan saya selama ini. Saya berazam untuk terus memperbaiki diri sendiri sedikit demi sedikit di waktu yang akan datang, InsyaAllah. Di pengakhiran, saya berdoa, semoga Allah SWT merestui kita semua dengan rahmat, keampunan dan kasih sayangNya.

Terima kasih, semua. Kalian amat bererti buat diri saya.

Comments