Wednesday, 7 August 2013

Ramadhan yang Dirai dan Dirindui

Setiap yang bermula pasti akan berakhir; begitulah dengan bulan Ramadhan al-Mubarak, bulan yang menggalakkan seluruh umat Islam untuk memperbanyakkan amal ibadah dan khidmat bakti. Kedatangannya amat dialu-alukan dan pemergiannya amat dirasai dan ditangisi. Jikalau orang biasa merasai kedatangan, perjalanan dan pemergian Ramadhan yang mulia, orang yang luar biasa – yang banyak amal ibadahnya serta tinggi keimanan dan ketaqwaannya – apatah lagi. Walaupun Ramadhan sarat dengan mesej kesabaran dan ketabahan, Ramadhan diklasifikasikan sebagai sebuah bulan yang penuh dengan kasih sayang Allah SWT.

Diri ini sangat terasa; betapa Allah SWT Maha Pemurah lagi Maha Penyayang; terutamanya di bulan Ramadhan. Manakan tidak, semua pahala pada hari biasa dilipat gandakan pada hari-hari dalam bulan Ramadhan. Setiap yang menghidupkan bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan akan mendapat pengampunan atas dosa-dosa masa lalu. Oleh hal yang demikian, Ramadhan senantiasa dirai, dirindui dan dinanti. Cuma, Dr. Yusuf al-Qaradhawi pernah berpesan, “Jadilah kalian hamba-hamba Allah, bukannya hamba-hamba Ramadhan.”

Beruntunglah bagi sesiapa yang menghidupkan hari-hari Ramadhan dengan amal ibadah dan khidmat bakti. Beruntunglah jua bagi sesiapa yang mendapat rahmat dan keampunan Allah SWT pada bulan Ramadhan; dan beruntunglah bagi sesiapa yang diizinkan oleh Allah SWT mendapat bahagian pada malam Lailatul Qadar.

Di kesempatan ini, saya mengajak semua berdoa, semoga Allah SWT menerima amalan kita semua; mengampunkan dosa-dosa kita; dan berkenan untuk merahmati kehidupan kita semua; dan semoga Allah mengizinkan kita untuk bertemu semula dengan bulan Ramadhan pada Tahun Hijri yang akan datang. Amin ya Rabb al-Alamin.

0 comments:

Post a Comment