Thursday, 4 July 2013

Debat Bahasa Arab yang Bererti

Pusat Asasi UIAM dan Madrasah al-Salah, Palestin dalam
Sesi Pembukaan Debat Bahasa Arab 2013/2014, Pusat Asasi, UIAM
(Gambar: Aiman Solihin Azman)

Pertemuan ini menjadi suatu bererti
di kala diri menepi untuk warna-warna hati

(Kupu-kupu Cinta)

Kami, semalam (3 Julai), tidaklah sehebat warga Palestin. Palestin yang diwakili oleh Madrasah al-Salah, Gaza, baru sahaja menjuarai Pertandingan Debat Pelajar Antarabangsa Musleh (MISDC) 5/2013 (Kategori Bahasa Arab), baru-baru ini. Namun begitu, kami tetap mencuba untuk memberikan yang terbaik dalam Sesi Pembukaan Debat Bahasa Arab 2013/2014, Pusat Asasi (CFS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM/IIUM), semalam yang membawakan usul bahawa "Dewan mewajibkan para wanita bekerja di luar rumah" (خروج المرأة إلى العمل ضرورة).

Bagi saya, debat semalam amat bererti bagi saya dan setiap yang terlibat dan menyaksikannya. Sungguh, saat ini saya hargai sepenuh hati saya.

Pertama, kerana sesi perdebatan semalam bertujuan untuk meraikan dan mengekalkan persaudaraan Malaysia-Palestin. Sesi debat semalam tidaklah terlalu bertumpu kepada usaha menggalakkan warga UIAM menceburi bidang debat dan pengucapan awam bahasa Arab semata-mata. Sesi debat semalam dianjurkan agar seluruh warga UIAM terus mendengar dan mengambil berat terhadap nasib yang menimpa saudara kita di Palestin sana. Alhamdulillah; pungutan derma dan jualan amal berjaya diadakan walaupun secara sampingan. Di samping itu, di permulaan sesi semalam, lagu kebangsaan Palestin, Fidai (فدائي) berjaya dimainkan, mendahului lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku.

Kedua, kerana kami menggunakan sesi perdebatan itu untuk mencari pengalaman. Pada hemat saya, kami tidak mungkin akan menang ke atas mereka meskipun memiliki hujah dan fakta kes yang kukuh. Mereka adalah penutur jati bahasa Arab. Bahasa Arab adalah bahasa ibunda mereka. Saya tidak hairan; sekiranya berlaku perdebatan antara penutur Arab Nusantara dengan penutur Arab Timur Tengah, penutur Arab Timur Tengah dengan mudah akan memenangi perdebatan kerana berjaya menggunakan bahasa ibunda mereka dengan baik. Namun begitu, sekurang-kurangnya, debat itu mengajar kami agar lebih fasih untuk berkomunikasi dalam bahasa Arab.

Ketiga, kerana debat itu membawa saya menjadi seorang yang bersemangat untuk berkomunikasi dalam bahasa Arab. Saya masih ingat; apabila saya menyertai MISDC 5/2013 sebagai ahli jawatankuasa dan hakim debat bahasa Arab, saya dapat rasakan bahawa wujudnya suasana bahasa Arab (البيئة العربية) dalam diri setiap yang terlibat. Semangat yang saya kecapi dalam MISDC 5/2013 saya tarik keluar tanpa saya sedari. Maksudnya, saya masih mempunyai semangat itu di sebarang tempat meski MISDC 5/2013 telah berakhir. Suasana tersebut saya rindui selalu.

Keempat, kerana sesi debat kendalian saya dan rakan-rakan di Kelab Debat Bahasa Arab (ADC), CFS IIUM, turut dihadiri oleh warga UIAM Gombak. Yang lebih bermakna bagi saya adalah apabila salah seorang daripada mereka sudi bersama kami untuk duduk sebaris dalam perdebatan. Saya hargai semangat perdebatan bahasa Arab yang wujud dalam diri beliau.

Kelima, kerana sesi debat semalam mendapat sokongan dan dorongan daripada pelbagai pihak berkepentingan. Saya syukuri dan hargai kehadiran beberapa orang pentadbir CFS IIUM yang hadir memberikan sokongan kepada Palestin dan aktiviti debat bahasa Arab. Yang lebih bermakna bagi saya dalam hal ini ada dua perkara. Pertama, apabila hasrat Dekan kami, Profesor Dr. Torla Hassan, untuk menyaksikan debat bahasa Arab, tercapai semalam. Kedua, apabila sesi ini mendapat sokongan padu daripada Pejabat Timbalan Dekan (Pembangunan Pelajar) dan Jabatan Bahasa Arab, CFS IIUM. Alhamdulillah.

Kepada semua, Alhamdulillah; kami telah buat yang terbaik. InsyaAllah, kami akan cuba sedaya upaya kami untuk terus memperbaiki mutu perdebatan kami di waktu yang mendatang. Terima kasih, semua, atas sokongan dan dorongan semua sehingga sesi semalam berjaya dilangsungkan. Ampun maaf dipinta atas kesalahan dan kekurangan sepanjang sesi perdebatan berlangsung.

Semoga Allah merestui Malaysia dan Palestin dan seisinya dengan rahmat, keampunan dan kasih sayangNya.

2 comments:

  1. mabruk :)Semoga Allah merestui Malaysia dan Palestin dan seisinya dengan rahmat, keampunan dan kasih sayangNya. aminn..

    ReplyDelete