Saturday, 1 June 2013

Saya, Sastera dan Mata Pena: Saya Masih Hijau

Rabitah (ikatan) antara saya dan sastera sudah lama. Rabitah itu mula zahir sekitar zaman sekolah rendah. Bonda saya membantu saya, pada zaman itu, membawa saya meminati sastera dengan aktiviti membaca puisi di sekolah rendah. Kata saya dulu, puisi itu datang daripada saya. Hakikatnya, bonda saya yang menulis puisi-puisi tersebut di zaman persekolahan rendah saya, lalu saya persembahkan di majlis-majlis rasmi sekolah rendah saya, Sekolah Kebangsaan (SK) Berungis, Tuaran, Sabah.

SK Berungis juga tidak kurang juga aktifnya dalam membawa saya meminati sastera. Para pendidiknya, waktu itu, banyak menggalakkan saya membaca puisi.

Saya fikir rabitah antara saya dan sastera berhenti di situ. Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Inanam (SEMAI) (kini SMKA Tun Ahmadshah), Kota Kinabalu, Sabah, juga banyak mendorong saya mengembangkan kemahiran bersastera. Bukan setakat itu. SMKA Inanam adalah tempat permulaan saya mendekati dunia penulisan. Penulisan, pada hemat saya, bukanlah setakat bermaksud menjadi setiausaha bagi sesebuah persatuan sekolah.

Benar, kesetiausahaan dan pengkeranian juga ada hubungkaitnya dengan penulisan. Seseorang tidak layak menjadi setiausaha juga kerani (pelbagai peringkat dan kelulusan) jikalau tidak mahir menulis. Jikalau berkata tentang kesetiausahaan dan pengkeranian, saya punya pengalaman dalam urusan tersebut selama 4 tahun.

Penulisan adalah mengenai fikrah dan persepsi. Penulis bebas menulis apa-apa sahaja yang dia inginkan berdasarkan minat dan pengetahuan. Cuma, beberapa prinsip dan perkara perlu diambil kira dalam menulis.

Sastera pula adalah mengenai keindahan sesuatu bahasa. Sastera adalah pengindah dan pencantik bahasa.

Penulisan dan sastera, alaqahnya (hubungannya) sangat kuat. Penulisan menyerikan sastera, juga bahasa.

Itulah yang saya dapati sepanjang hubungan antara saya, sastera dan penulisan selama hampir 10 tahun. Saya boleh menyebut semua ini. Namun begitu, saya sedar bahawa ramai telah mendahului saya dalam penulisan dan sastera. Saya masih terlalu hijau dalam penulisan dan sastera.

Apresiasi buat SEMAI. Merekalah yang dahulu membawa saya mengenali dan terus mendekati penulisan dan sastera.

Pernah suatu hari di tahun 2009, saya bertemu dengan warga Ikatan Penulis Sabah (IPS) di Dewan Hamzah al-Fansuri, SEMAI. SEMAI membawa mereka masuk dengan harapan agar para pelajarnya mengenali dan meminati penulisan dan sastera. Di situlah saya kenal orang-orang besar IPS. Peristiwa itu kemudiannya berulang di tahun 2010.

Mulai tahun 2009 (bahkan sebelum itu, di tahun 2007 tidak silap saya, di waktu saya mula-mula belajar subjek Komponen Sastera Melayu), saya lebih mengenali dunia penulisan dan sastera, terutamanya di negeri Sabah; sampai sekarang.

Pada tahun 2010, SMKA Kota Kinabalu (SMKAKK) pula mengambil alih tugas dan jasa mendorong saya meminati penulisan dan sastera. Penghargaan saya buat SMKAKK; terutamanya Tuan Pengetuanya ketika itu, Ustazah Jaimis Saiman.

Penghargaan khas saya pula buat IPS yang menerima kemasukan saya sebagai ahli penuh IPS sekitar Julai 2011. Sebelum waktu itu, saya hanya mampu menjadi penyokongnya sahaja tanpa status keahlian. Selama ini, IPS banyak mendorong dan menyokong saya dalam usaha memartabatkan penulisan dan sastera di Sabah.

Sebagai ahli IPS, saya bertanggungjawab untuk meneruskan aktiviti penulisan dan sastera di negeri Sabah. Saya telah dan masih merealisasikan tanggungjawab tersebut, bahkan sebelum waktu keahlian saya dalam IPS.

Pada 21 Jun 2009, New Sabah Times menyiarkan tulisan saya bertajuk "Terima Kasih, Sanjunganku", sebuah kisah mengenai Hakim, seorang setiausaha kerajaan yang dahulunya pernah menjadi pelajar yang nakal; namun akhirnya berubah menjadi baik setelah mendapat didikan dan perlindungan daripada Ustaz Haslam, pengetua sekolahnya. Waktu itu, saya dalam penerbangan pulang dari Sandakan ke Kota Kinabalu setelah menyertai Majlis Ihtifal SMKA Negeri Sabah di SMKA Sandakan (kini SMKA Tun Juhar), Sandakan, Sabah.

Pada 29 Januari 2012, Utusan Borneo (Sabah) pula menyiarkan sajak saya yang bertajuk "Seketika Menoleh ke Belakang", suatu sajak bertemakan muhasabah. Kemudiannya, laman web SMKA Tun Ahmadshah (TUNAS) menyiarkan kembali sajak tersebut.

Saya banyak menulis dan bersastera. Namun, setakat ini, hanya sebuah cerpen dan sebuah sajak sahaja setakat ini yang diterbitkan di dada akhbar negeri Sabah. Kelak saya terus menulis di dada akhbar suatu masa nanti, InsyaAllah.

Dalam dunia sastera, saya bersyukur kerana diberi kesempatan menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam program Asasi Bahasa dan Kesusasteraan Arab. Baru-baru ini, saya selesai belajar matapelajaran Kesusasteraan Arab (Al-Adab wa an-Nusus), antara matapelajaran bahasa Arab aras tinggi. Mempelajarinya memang sukar. Namun, saya tetap mencuba sebaik mungkin untuk mencintainya.

Maha Suci Allah yang menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa yang terindah untuk dihayati oleh masyarakat dunia, khususnya umat Islam. Bahasa Arab amat indah sehingga bahasa itu diabadikan sebagai bahasa al-Quran dan as-Sunnah, juga bahasa utama ilmu-ilmu Islam.

Keindahan bahasa dan sastera Arab - setakat yang saya pelajari - saya cuba aplikasikan dalam penulisan dan sastera, InsyaAllah.

Saya ada hasrat untuk hadir ke Mesyuarat Agung IPS pada 25 Mei lepas di DBP, Kota Kinabalu, Sabah. Tapi, malangnya saya terlepas untuk hadir ke sana apabila mendapati bahawa saya hanya akan berlepas pulang pada hari itu di sebelah malam. Rupa-rupanya mesyuarat tersebut melantik saya sebagai Duta IPS bersama 4 orang lagi ahli.

Saya berterima kasih dan terharu untuk menerima perlantikan, membawa nama IPS di luar Sabah. Perlantikan itu memberi saya peluang yang ekstra untuk berbakti, membudayakan sastera Sabah walaupun berada di luar negeri Sabah. Meski minat utama saya adalah bahasa Arab, saya mencuba sebaik mungkin untuk membantu memartabatkan sastera Sabah di luar negeri Sabah, InsyaAllah.

Ya. Saya hanya cuba berkongsi rasa dan pengalaman saya sepanjang saya bersama dunia penulisan dan sastera. Banyak lagi yang perlu saya tambahbaik dan perbaiki dalam bidang-bidang tersebut. Saya yang masih hijau masih memerlukan ilmu dan pengalaman agar saya menjadi yang lebih baik dalam menulis dan sastera; begitulah juga sokongan, dorongan dan doa daripada semua.

Di kesempatan ini, saya pohonkan keampunan daripada Allah SWT dan kemaafan daripada semua atas kesalahan, kesilapan, kekurangan dan kelemahan selama ini, terutamanya selama saya menulis dan bersastera. Saya berazam untuk memperbaiki diri ini di waktu mendatang, InsyaAllah.

Terima kasih buat semua atas ilmu, nasihat, sokongan, dorongan dan doa yang diberikan sehingga saya menjadi yang terbaik buat diri ini. Semoga Allah merestui kita semua dengan rahmat, keampunan dan kasih sayangNya.

0 comments:

Post a Comment