Antara Dua

Saya ketuk pintu sebuah bilik di Aras 3, kolej saya.

“Assalamualaikum!” Ada orang menjawab salam saya. Saya kemudian dipertemukan dengan seseorang.

“Baru ini, aku naik komuter. Bukan kau duduk belah belakang, ek?”

“Eh, bukan aku duduk sebelah kau ke, semalam?” Dia menjawab saya.

“Ya Allah!” Bingkas saya. Izzat rupanya. Saya ingat Izzuddin. Tak lama kemudian, barulah Izzat memberitahu, “Izzuddin kat sebelah.”

Owh, begitu ceritanya. Dia berjaya memeranjatkan saya malam itu.

Masih segar dalam ingatan saya betapa Hafiz pernah memeranjatkan saya ketika ziarah mengejut saya ke penginapannya. Ketika itu, pada sekitar bulan Julai tahun sudah, beliau menginap di Wisma Belia, Kuala Lumpur. Sepatutnya, saya yang membuat kejutan terhadapnya. Rupanya, beliau membuat kejutan spontan terhadap saya.

Ya. Izzat duduk sebelah saya waktu saya naik komuter pulang ke Petaling Jaya. Saya bermula dari Seremban; manakala Izzat dan Izzuddin bermula dari Nilai.

Saya ingat. Izzat masuk ke dalam koc depan saya. Saya kemudian berjaya mendapatkannya. Izzuddin pula berada di belakang – belakang mana, saya tidak tahu.

Dari Seremban ke Nilai, saya duduk tanpa kewujudan orang sebelah. Lantaran itu, saya dapatkan Izzat untuk duduk sebelah saya.

Kedua-dua Izzat dan Izzuddin berakhir di Midvalley; dan saya berakhir satu stesen di hadapan, di Stesen Sentral Kuala Lumpur.

Izzat dan Izzuddin tak ubah dan tak kurang seperti Hami Hamizul dan Hami Hamizil, Nazri dan Najib serta kakak-kakak Lailatul Nujma dan Lailatul Najmi.

Pasangan kembar adalah rahmat buat keluarga dan tarikan buat setiap yang mengenali dan mendekati.

Jujur. Saya keliru antara Abdullah Izzat dan Abdullah Izzuddin hampir setahun.

Dalam setahun, saya cuba merungkai perbezaan Izzat dan Izzuddin.

Pernah sekali saya berkata kepada Izzuddin, “Lain kali, aku ambil gambar kau orang berdua; lepas itu, aku letak kat Facebook; aku tulis: Ku tak tahu antara dua.” Ketawa Izzuddin, suka. Seingat saya, saya pernah berkata yang sama kepada Izzat.

Saya mengenali Izzat ketika kursus induksi Pembimbing Rakan Siswa (PEERS) pada sekitar Julai tahun lepas. Bila menjadi rapat dengan Izzat, juga Izzuddin? Saya tak tahu. Saya biarkan kerana persahabatan saya dengan mereka itu suatu rahmat bagi kami.

Begitu jugalah dengan persahabatan antara saya dengan kembar yang lain.

Lalu, Izzat pernah berkata sekali kepada saya, “Nanti, sebelum habis pengajian asasi, bolehlah kau bezakan aku dengan Izzuddin.” Saya terkesan dengan kata-kata tersebut.

Benar. Sepanjang perkenalan, sampailah di suatu saat penghujung, saya boleh bezakan antara Izzat dan Izzuddin. Selama ini, saya menyangka saya bertemu orang yang sama.

Suatu hari, di pejabat besar kolej kediaman, saya bertemu Izzat. Kami ada pertemuan dengan Lembaga Pemegang Amanah Baktisiswa Antarabangsa, Pusat Asasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Saat saya bercerita dengannya, barulah dia merungkai bahawa dia ada kembar.

Selama ini, sekali lagi, saya fikir Izzat mempunyai abang di daerah Petaling. Barulah saya mampu mengenali mereka sebaiknya.

Tetapi, saya suarakan kebimbangan terhadap diri. Boleh jadi saya tertipu lagi hanya kerana satu perkara: Antara dua.

Saya tak mungkin akan melupakan sebuah catatan kehidupan: Antara dua.

Ku tak tahu antara dua.

Kampung Timbok, Tuaran, Sabah.
3-10 Jun 2013.

Comments