Terima Kasih, Pusat Asasi UIAM!

Terima kasih, Pusat Asasi (CFS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM/IIUM) atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan kepada saya sehingga saya dilantik dan akhirnya berjaya menjalankan tugas saya mewakili penduduk Kolej (Mahallah) Abu Bakar (MAB) bagi sesi akademik 2012/2013. Alhamdulillah. Dengan izin dan rahmat Allah SWT, tugas saya sebagai Penolong Setiausaha, Jawatankuasa Perwakilan Kolej Abu Bakar (MAB MRC) telah tamat secara rasminya pada hari pembubaran kami, 30 April 2013.

Sejak MAB MRC dibuka semula pada 3 Julai 2012, MAB MRC telah selamat menjalankan 11 sidang mesyuarat penuh bagi membincangkan perkara-perkara mengenai perjalanan program dalam Mahallah dan antara Mahallah serta bagi membincangkan isu-isu yang berbangkit yang berkait rapat dengan Mahallah. Alhamdulillah, hasil daripada 11 sidang mesyuarat, berbelas program berjaya dijayakan di dalam Mahallah mahupun di luar Mahallah. Ada beberapa program berjaya dijayakan hasil kerjasama dengan Mahallah lain yang dinaungi oleh Pusat Asasi, UIAM - Mahallah Umar al-Khattab, Mahallah Fatimah az-Zahra, Mahallah Khadijah, Mahallah Aisyah, Mahallah Zainab al-Jahsyi (UIAM Petaling Jaya) dan Mahallah Maryam (UIAM Gombak).

Sepanjang kewujudan MAB MRC juga, MAB MRC berjaya menyelesaikan masalah yang berlaku dalam Mahallah dan yang dihadapi oleh penduduk Mahallah; seperti keadaan kafeteria yang tidak memuaskan, kerosakan infrastruktur dan pengurusan disiplin. Tidak semua masalah kami dapat selesaikan. Namun, kudrat yang kami miliki sepanjang tugasan kami membuatkan kami berjaya menyelesaikan beberapa masalah yang timbul.

Kami mengaku bahawa kemampuan kami dalam menjalankan tugas kami - mewakili penduduk Mahallah, membawa suara Mahallah kepada pentadbiran Pusat Asasi, UIAM; membantu Mahallah melancarkan pengurusan Mahallah; dan menganjurkan program-program peringkat Mahallah yang memberi manfaat kepada Mahallah dan UIAM - sangatlah terhad. Namun begitu, kami cuba untuk melakukan yang terbaik demi kebaikan Mahallah dan UIAM. Kami bersyukur kerana dapat menjalankan tugas ini dengan baik; namun, kami amat berharap agar kami telah menjalankan tugas yang kami terima dengan sebaiknya.

Sepanjang saya bersama MAB MRC, saya berjaya menjalankan tugas saya dengan sebaiknya, terutamanya tugas saya dalam menjalankan operasi MAB MRC, iaitu untuk membantu Setiausaha menyediakan segala dokumen berkaitan MAB MRC dan untuk membantu Mahallah dalam hal menguruskan aduan dan komunikasi korporat. Namun begitu, saya mengakui bahawa saya masih lemah dalam menjalankan tugas dan berurusan, terutamanya ketika menguruskan sesuatu program yang dianjurkan secara antara Mahallah.

Alhamdulillah. MRC CFS IIUM bukanlah setakat suatu organisasi tertinggi di peringkat kolej kediaman yang banyak berfokus kepada sesuatu kolej kediaman semata-mata; MRC adalah sebuah keluarga yang mengamalkan prinsip persaudaraan dan persahabatan Islam yang saling mengambil berat antara satu sama lain. Dengan prinsip itulah kami berjaya mengadakan beberapa program besar sehingga mendapat tempat di persada nasional dan antarabangsa. Dengan prinsip itu jugalah kami satukan hati-hati kami untuk memelihara UIAM daripada sebarang anasir luar yang membahayakan UIAM.

Sesungguhnya, perlantikan saya dan 65 orang lagi ahli MRC daripada 7 buah kolej kediaman yang ditadbir oleh Pusat Asasi, UIAM, adalah suatu penghormatan bagi kami yang bertekad untuk membantu UIAM menjayakan visi, misi dan falsafahnya yang murni. Kami telah lakukan yang terbaik - berdasarkan kemampuan kami - dalam usaha menjalankan program yang memberi manfaat dan hikmah kepada pelbagai pihak dan membantu menyelesaikan masalah kolej kediaman demi memastikan kolej kediaman sentiasa aman, maju dan sejahtera berbekalkan hidayah dan rahmat daripada Allah SWT.

Saya berterima kasih kepada semua atas kepercayaan, sokongan, dorongan, doa, nasihat dan tunjuk ajar yang diberikan sehingga saya - dan yang lain - berjaya menjalankan perkhidmatan kami sepanjang sesi akademik 2012/2013. Terima kasih saya jua kepada semua kerana menerima dan mensahabati diri ini seadanya. Jauh di sudut hati, saya memohon berbanyak keampunan dan kemaafan daripada semua atas kesalahan, kesilapan, kekurangan dan kelemahan, sepanjang perkhidmatan saya, juga sepanjang persahabatan saya dengan yang lain. Saya berazam untuk memperbaiki diri di masa yang akan datang, InsyaAllah. Apa-apa yang saya terima, saya mohon pemberian itu dihalalkan.

Sempena berakhirnya tugas saya mewakili Kolej Abu Bakar, UIAM, pada 30 April, saya ingin melahirkan suatu pengharapan; agar MAB - juga semua Mahallah - terus berada di bawah naungan rahmat Allah SWT; dan semoga MAB terus maju, aman dan sentosa di bawah MRC baru yang akan dilantik Jun ini, InsyaAllah.

Saya - di sini - ingin menzahirkan kesediaan saya untuk menerima dan menjalankan tugas baru untuk sesi akademik 2013/2014, bermula pada 30 April 2013. Tugas baru ini memerlukan saya melaksanakan amanah yang disampaikan oleh Rektor/Naib Canselor UIAM kepada Dekan Asasi UIAM agar 20 peratus pelajar asasi UIAM dilatih dan dilahirkan menjadi pendebat dan pemidato. Walaupun tugas ini jatuh kepada pentadbiran Pusat Asasi, UIAM, bermula pada sesi akademik baru; saya tetap dan harus bertanggungjawab untuk membantu mereka merealisasikan halatuju tersebut kerana saya adalah antara yang menyertai aktiviti debat dan pengucapan awam di UIAM. Selain itu, tugas ini memerlukan saya membantu UIAM mengekalkan aktiviti debat dan pengucapan awam sebagai bidang kebitaraan UIAM.

Baru-baru ini, sebagai mengiktiraf aktiviti debat dan pengucapan awam sebagai bidang kebitaraan UIAM, Rektor UIAM, Profesor Dato' Sri Dr. Zaleha Kamaruddin, mencadangkan penubuhan Pusat Pendebat Dunia, sebuah pusat kecemerlangan di bawah tanggungjawab Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) UIAM. Baru-baru ini, cadangan tersebut diluluskan oleh Majlis UIAM. Setelah diluluskan, Unit Penambahbaikan Pengucapan dan Komunikasi Antara Insan (SPICE) yang berada di bawah tanggungjawab Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Pembangunan Pelajar (STADD) akan dinaiktaraf kepada sebuah pusat kecemerlangan yang mempunyai staf yang khusus, belanjawan yang khusus dan halatuju yang khusus.

Tugas yang saya terima ini juga memerlukan saya membentuk kabinet baru dan menjalankan kabinet ini bermula selewat-lewatnya 1 Julai 2013 seiring dengan halatuju dan falsafah yang digariskan oleh UIAM. Tugas ini juga memerlukan saya dan ahli pasukan saya serta warga daripada Kelab Debat Bahasa Melayu dan Kelab Debat Bahasa Inggeris menanamkan persepsi masyarakat Malaysia, khususnya warga Pusat Asasi, UIAM, bahawa debat seharusnya menjadi budaya kita dalam usaha melahirkan masyarakat berminda kelas pertama yang mampu menggunakan bahasa dengan baik, berkomunikasi dengan baik dan berfikir secara kritis dan kreatif.

Dengan sokongan, dorongan, doa, harapan, nasihat dan tunjuk ajar yang diberikan oleh semua samada daripada warga CFS IIUM mahupun warga di luar CFS IIUM, dan berdasarkan ilmu dan pengalaman yang saya timba sepanjang saya menganggotai MRC Abu Bakar, InsyaAllah, saya akan menjalankan tugas saya sebagai Presiden, Kelab Debat Bahasa Arab, Pusat Asasi, UIAM, dengan baik berdasarkan kemampuan saya.

Semoga Allah merestui kita semua dengan rahmat, keampunan dan kasih sayangNya.

Comments