Friday, 17 May 2013

Terima Kasih, Guruku!


(Sempena Hari Guru 2013)

Sebagai seorang penuntut ilmu, adalah menjadi kewajipan saya untuk meraikan setiap pendidik dan setiap ilmu yang saya terima. Tanpa ilmu, saya tidak mampu untuk menjalani kehidupan dengan sempurna.

Kehidupan seorang manusia - hamba Allah SWT - hanya akan sempurna dengan kewujudan ilmu. Ilmu membolehkan seorang manusia untuk membaca, menulis dan mengira. Ilmu juga membolehkan seseorang untuk memulakan, menjalani dan meneruskan kehidupan. Ilmu juga memungkinkan seseorang untuk mentadbir, mengurus dan membangunkan masyarakat, agama, bangsa dan negara. Yang lebih penting, ilmu membolehkan seseorang mengenali Tuhannya.

Setiap ilmu memerlukan guru untuk melestarikan keaslian sesuatu ilmu. Seorang manusia tak akan dapat mengecapi ilmu jikalau tiada gurunya. Mempelajari ilmu tanpa guru boleh membawa ke arah kesesatan. Oleh sebab itu, guru amat diperlukan dalam usaha untuk membimbing setiap muridnya ke arah kebenaran.

Seorang guru tidaklah setakat mendidik sesuatu ilmu semata-mata. Di sekolah, guru adalah ayah dan ibu kedua menggantikan ayah dan ibu yang sibuk bertugas di pejabat dan mengemas rumah. Merekalah yang mengambil berat akan pembangunan intelek, emosi, rohani dan jasmani para pelajar. Mereka jugalah yang banyak mendoakan kejayaan para pelajar. Mereka jugalah yang sanggup berkorban masa, harta dan tenaga untuk memastikan semua pelajar berjaya dalam akademik, kokurikulum dan sahsiah.

Jasa dan bakti para guru, membangunkan generasi baru dengan menggerakkan pendidikan amatlah besar dan bermakna bagi masyarakat, agama, bangsa dan negara. Tanpa guru, tidak akan wujud masyarakat bertamadun. Tanpa guru, syiar Islam tak mungkin akan terus bersinar. Tanpa guru, anak bangsa tak mungkin terus perkasa. Tanpa guru, Malaysia tak mungkin terus gah di astaka dunia. Segala kejayaan yang dicipta oleh seorang individu mahupun sekumpulan insan tidak lain dan tidak bukan kerana usaha guru yang akhirnya mendapat restu daripada Allah SWT.

Segala puji dan syukur saya panjatkan ke hadrat Allah SWT. Maha Suci Allah yang menciptakan agama Islam sebagai sebuah agama yang mempunyai cara hidup yang lengkap yang meliputi seluruh aspek kehidupan. Dialah yang mengajarkan Rasulullah SAW tulis baca. Dengan ilmu itulah, Rasulullah SAW diangkat menjadi utusan Allah, kekasih Allah dan guru kepada seluruh umat Baginda di dunia.

Selawat, salam dan penghargaan juga dipanjatkan ke atas Rasulullah SAW. Baginda - yang Siddiq (jujur), Amanah (bertanggungjawab), Tabligh (menyampaikan) dan Fatanah (bijaksana) - adalah sebaik-baik guru bagi seluruh manusia. Baginda tidak meninggalkan apa-apa melainkan al-Quran dan as-Sunnah. Dua perkara yang Baginda SAW tinggalkan amat bererti bagi kita semua yang mencintai Baginda. Begitulah sucinya kasih sayang Baginda SAW kepada umat Baginda.

Ucapan penghargaan dan berbanyak terima kasih juga saya tujukan kepada semua insan yang pernah mendidik saya di pelbagai tempat dan masa. Tanpa kalian, tidak mungkin saya akan mengenali huruf abjad dan nombor. Tanpa kalian, tidak mungkin saya akan mampu menggunakan bahasa Arab dengan baik. Tanpa kalian, saya tak mungkin dapat menulis dan memahami sastera dengan baik. Tanpa kalian, tidak mungkin saya mengenali erti kehidupan. Tanpa kalian, tidak mungkin saya dapat mengenali dan mempelajari pelbagai ilmu duniawi dan ukhrawi.

Di kesempatan ini, izinkan saya menyampaikan penghargaan khas saya kepada organisasi berikut dan para pendidiknya:

  • Tadika Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, Pekan Tuaran, Sabah
  • Sekolah Agama Negeri Pekan Tuaran, Sabah
  • Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Ahmadshah, Kota Kinabalu, Sabah
  • Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kota Kinabalu, Sabah
  • Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Ahmad Zaidi, Kuching, Sarawak
  • Pusat Asasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
  • Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Negeri Sabah
  • Pejabat Pelajaran Daerah Kota Kinabalu
  • Pejabat Pelajaran Daerah Tuaran
  • Ikatan Penulis Sabah

Jasa mereka semua dalam membantu saya membangunkan potensi diri dalam akademik, kokurikulum, kepimpinan dan sahsiah amatlah saya sanjungi. Merekalah yang selama ini bersungguh-sungguh membentuk seorang saya sehingga saya menjadi seperti yang dikenali saat ini. Terima kasih, kalian. Tanpa kalian, tak mungkin saya akan menjadi diri saya yang sebenar.

Kepada ibu bapa saya, guru utama saya, saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga. Semenjak kelahiran, merekalah guru saya yang awal sekali mengajar saya untuk mengenal Allah, mengenal dunia, memahami hakikat kehidupan dan mensyukuri rahmat hidup berkeluarga. Merekalah itu guru saya meski mereka bukanlah petugas rasmi pendidikan negara.

Di kesempatan ini, izinkan saya menzahirkan rasa bertuah saya kerana dapat mempelajari dan memahami profesion perguruan sepanjang berada di sekolah menengah. Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana saya dididik oleh guru-guru yang berkaliber dan profesional. Merekalah yang menggalakkan saya menceburi profesion perguruan. Sebagai berkongsi pengalaman, saya pernah diberi peluang dan tanggungjawab untuk menjadi guru muda dan fasilitator Bahasa Arab bagi beberapa buah kelas. Pengalaman tersebut saya gunakan sebaik mungkin untuk memahami dan menghargai profesion perguruan, InsyaAllah.

Sepanjang pengajian, kepada Allah SWT saya pohonkan keampunan, rahmat dan keredhaan; dan kepada semua saya pohonkan kemaafan dan penerimaan. Semoga Allah meredhai ilmu yang tersemat di akal dan di dada saya; dan semoga Allah merestui setiap yang pernah menyampaikan ilmu kepada saya.

2 comments:

  1. Penulisan yang bagus! Kita semua adalah pelajar dan guru sehingga akhir hayat kita.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih. Benar, kitalah itu pelajar dan guru. Tanpa guru, tidak wujud pelajar; tanpa pelajar, tidak wujud guru.

      Delete