Semakin di Penghujung

Tahun akademik 2012/2013 bagi Pusat Asasi (CFS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM/IIUM) semakin hampir ke hujungnya. Setakat minggu ini (Minggu ke-10, Semester 3), tahun akademik 2012/2013 hanya berbaki 4 minggu sebelum tahun akademik kini melabuhkan tirainya. Bagi pelajar yang hampir akan tamat pengajian asasi UIAM (graduating student of CFS), mereka pasti gembira sebab musim pengajian sarjana muda akan menyusul tak lama lagi. Bagi yang masih meneruskan pengajian di CFS (termasuklah saya), perjalanan masih panjang. Pengajian peringkat asasi UIAM mesti diteruskan sehingga ke hujungnya.

Semakin ke hujung tahun akademik, semakin sedikit masa yang tinggal dan semakin banyak tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Sebagai mahasiswa universiti, saya perlu selesaikan silibus pembelajaran saya dengan menghadiri saki-baki kuliah dan menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh pensyarah atau pengajar. Sebagai aktivis universiti pula, saya perlulah pula menyelesaikan kerja yang ditugaskan oleh pemimpin tugasan. Namun, saya gagal. Tanggungjawab demi tanggungjawab tercicir di tengah jalan menuju ke sempadan. Kuliah tertinggal. Tugasan disiapkan dalam kesukaran. Tugas lain dikerjakan, tugas yang lain pula ditinggalkan. Beberapa mesyuarat saya biarkan dan saya hadirkan diri.

Lantaran itu, tertangguhlah pula tanggungjawab saya terhadap diri sendiri untuk menyelesaikan masalah kewangan yang semakin meruncing juga untuk menguruskan perkara yang sangat penting buat diri sendiri. Tertangguh jugalah tanggungjawab saya terhadap keluarga untuk membantu menyelesaikan beberapa perkara kekeluargaan. Tertangguh jugalah tugas saya terhadap persaudaraan untuk bertanya khabar orang lain, menziarahi orang lain dan mengambil berat terhadap orang lain. Tertangguh jugalah tugas saya sebagai penulis untuk berkongsi ilmu dan pengalaman kepada yang lain. Tertangguh jugalah tugas saya sebagai guru untuk membantu yang lain mengajarkan apa-apa yang orang lain kurang fahami.

Kesannya, hutang-piutang terhadap perkhidmatan semakin meningkat. Diri sendiri semakin tidak terurus. Keluarga tidak diketahui hidup mati mereka. Saudara dan sahabat terbiar dan terputus hubungan tanpa sesiapa pun menyedarinya. Ilmu dan pengalaman yang ingin saya kongsikan tercicir di tengah kesibukan.

Akhirnya, kewujudan saya di mana-mana pun seakan tiada. Ketiadaan saya lebih baik daripada kewujudan saya. Sebagai insan, saya perlu sedar bahawa tanggungjawab lebih banyak berbanding masa. Maka, saya perlu selesaikan banyak tanggungjawab dalam sedikit masa. Jikalau tidak, kegagalan sudah mula muncul. Takut-takut di tengah kegagalan, Allah sudah membiarkan diri ini. Kelak tidak.

Comments