Minta Maaf: Setelah Hatiku Terluka, Hatimu Jua Terluka

(i)

Di hujung pena maya
di atas meja ku mendakwat tinta
sejuta kemaafan ku pohonkan
sambil sejuta musykil dirimu ku maafkan.

Aku sedar aku melukakan hatimu
setelah hatiku terluka
tercedera minda dan jiwa
yang selama ini
kerananya dan keranaNya aku mampu ketawa ria
meski ketenangan yang ku kecapi bukanlah sepenuhnya.

Aku sedaya untuk memaafkanmu
namun akhirnya diriku yang menjadi mangsa
akhirnya menjadikan dirimu sepertiku jua.

(ii)

Aku bebal dalam memahami pengaluan
sehingga jiwaku menjadi singa
andai kalian di sana datang
tanpa khabar
sehingga kami tidak mengerti.

Rupanya secebis ingatan
guruku ukirkan
"sepatutnya kau bersyukur
andai mereka datang tanpa pengetahuan
kita terlepas kewajipan."

Setakat itu aku baru mula memahami
dan cuba beramal dan beriltizam dengannya.

(iii)

Aku terkenang
bahawa aku mendatangi tanah sana
mesti dengan khabar
maka mereka menerimaku sebaiknya
aku menghargainya
lalu insan tanah itu aku cintai secintanya.

Sampai suatu saat
sepatutnya aku menanti mereka
dengan doa
bukanlah ngauman harimau dari minda dan jiwa.

Tapi pernah aku sekali di tanah sana
terbiar tak berteman
maka aku sedih
kemudian menjadi harimau
mengaum sang insan sebelah sana.

Akhirnya aku yang wujud seakan tiada
maka aku cuba tiadakan diriku di sisi kalian
menarik diri daripada kumpulan
semoga senyuman melirik di bibir
setelah diriku, diriku kehilangan.

(iv)

Perlahan-lahan aku cuba murajaah dan muhasabah
sejujurnya aku memang kasih tanah sana dan penduduknya
namun tidak bertakrif kalian di sisiku aku biarkan
juga membiarkan yang lain tanpa perlu aku kasihi
memang zalim.

Hasanan
aku ingin memperbaiki diriku seketika
maka aku biarkan kerja aku perlahan
tanpa perlu aku meninggalkannya
aku ingin menenangkan diriku
yang tercedera emosi dan mental sekian lama
yang akhirnya mencederakan orang lain jua
dengan mata pena maya

Meski kita tidak bersemuka
kerana kesibukan
kalian sibuk, aku pun sibuk
samalah kita
aku pohonkan kemaafan
atas kebodohan dan kesalahanku

Di kesempatan ini
aku masih ingin bersama kalian lagi
kesemuanya di sana dan di sini
bersama syariat Maha Pengasih diikuti
dan bersama rahmat Ilahi.

Maafkan aku, kalian
aku maafkan kamu.

Perpustakaan, UIAM, Gombak, Selangor.
Ahad, 7 April 2013, jam 4.49 petang.

Comments