Debat: Penghargaan bersama Cabaran

Sebagai seorang pendebat di Pusat Asasi (CFS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM/IIUM), saya sangat bersyukur dan berbangga apabila aktiviti debat diangkat menjadi bidang kebitaraan UIAM. Sejarah UIAM sendiri telah membuktikan bahawa ramai pelajarnya berjaya menjadi pemidato dan pendebat bukan setakat di pentas nusa, malah di persada dunia.

Sebagai meraikan aktiviti debat sebagai kebitaraan UIAM, Rektor/Naib Canselor UIAM, Profesor Dato' Sri Dr. Zaleha Kamaruddin, dalam ucapannya ketika merasmikan Perbahasan Bahasa Inggeris Piala Rektor UIAM 2013 di Dewan al-Malik Faisal, CFS IIUM, Petaling Jaya, Selangor, semalam (15 April), mengumumkan bahawa Unit Penambahbaikan Pengucapan dan Perhubungan antara Insan (SPICE), sebuah unit yang diselia oleh Bahagian Pembangunan dan Hal Ehwal Pelajar (STADD), sedang dan akan dinaiktaraf menjadi sebuah pusat kecemerlangan yang akan dinamakan sebagai Pusat Pendebat Dunia (CWD). CWD, setelah penubuhannya, akan diletakkan terus di bawah tanggungjawab Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar).

Apabila CWD diluluskan penubuhannya, pertambahan pekerja dan belanjawan akan berlaku seiring dengan peningkatan misi. Misi tetap sama, iaitu untuk melatih pelajar menjadi seorang pemidato juga seorang pendebat yang fasih berbicara, yang tajam pemikirannya dan yang serba tahu isu semasa; cuma misi ini akan diperhebatkan lagi setanding dengan misi universiti untuk mengantarabangsakan warganya.

Dalam ucapan beliau, beliau turut mencabar CFS untuk melatih 20% daripada pelajarnya untuk menjadi pendebat mulai tahun akademik 2013/2014.

Saya melihat amanah yang diberikan oleh Rektor waktu itu adalah sangat besar untuk ditunaikan. Hal ini demikian rentetan kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh UIAM dalam perbahasan dan pengucapan awam di peringkat negara mahupun di astaka dunia. Kita berbangga dengan kejayaan yang dicapai. Oleh sebab itulah, cabaran tetap disahut.

Dalam hal menyahut cabaran ini, peranan semua warga untuk mengembangkan aktiviti debat dan pengucapan awam amatlah diharapkan. Pada hemat saya, debat dan pengucapan awam haruslah dikembangkan kerana bahasa hanya boleh dikuasai apabila sesuatu bahasa diaplikasikan dalam komunikasi. Komunikasi sendiri akhirnya menyemarakkan bahasa. Bahasa takkan berkembang tanpa komunikasi.

Ramai dalam kalangan kita mahir berbahasa secara teorinya. Tetapi, malangnya, hanya sedikit yang mahir berbahasa secara praktikalnya. Sesuatu ilmu tidak akan berkembang sekiranya sesuatu ilmu hanya wujud sebagai teori dan tidak dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

Sempena menjelangnya tahun akademik 2013/2014, saya amat berharap agar aktiviti debat dan pengucapan awam terus digiatkan dalam usaha untuk menambahbaik kemahiran berbahasa. UIAM amat menyokong aktiviti debat. Maka, kita sebagai warganya seharusnya meraikan sokongan itu dengan menunjukkan kegigihan untuk meneruskan legasi kebitaraan.

Comments