Menghargai Gombak

Blender

(Si adik)
Duhai kekanda, usah membisu
mengapa kau bersedih?
Duhai kekanda, ku rasa sayu
mengapa kau begitu?
Dinihari, petang menantiku kesepian.

(Si abang)
Duhai adik, kau tak mengerti
mengapa ku begini.
Ku kenangkan kisah silam
memori indah bersama
Apakah saat itu mungkin berulang?
Ku harap saat itu akan berulang...

(Melodi Bersama, Arif Muazzim Abdul Rahman & Mohd. Amir Shakirin Nasir)

Di waktu saya teringat madah seperti ini, terus terang; saya rindu saat saya bersama semua waktu itu. 1-3 Mac, kisah saya dan para sahabat saya di Batu 12, Gombak, menjadi antara kenangan terindah bagi saya.

Saya teringat. Belum pun sudah Program Latihan Kepimpinan Kolej Kediaman (Fasa 2) (MRC LTC 2), Pusat Asasi (CFS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM/IIUM) pada 2 Mac malam, kenangan itu sudah pun dimainkan semula oleh Pemanggang Ajaib. Saya ingat saat itu, kalian. Pemanggang Ajaib mengembalikan kami ke beberapa waktu yang silam yang baru saja menjadi silam, waktu itu; sampai kerisauan melanda ada seorang dalam kalangan kita.

Yang saya boleh respon dari pementasan terakhir dan yang ulung itu, terima kasih, Pemanggang Ajaib, kerana mengingatkan kami tentang sejarah yang baru sahaja berlari berlalu. Kata George Santayana, “Sesiapa yang tidak mempelajari sejarah, pasti dia akan mengulanginya.”

Alang Sedayu, kau yang di Batu 12, Gombak, baru julung kali saya ziarahi. Saya harap saya dapat menziarahinya lagi. Kau dan seisinya memberikanku banyak hikmah dan ibrah untukku amalkan, InsyaAllah. Untuk mereka jua, oh dikau; meski ada dari kalangan kami – termasuk saya – takut dan berniat untuk menolaknya. Ada jua yang merasa kurang seronok di garis masa mula sebab tempat itu sebahagian daripada mereka; dekat di hati mereka.

Namun, dengan izin Allah SWT, kami berkumpul jua. Kami bergembira di lamanmu. Kami menuntut ilmu di lembah dan perbukitanmu.

Saya sebelum ke Alang Sedayu kurang sihat secara fizikal dan mental sampaikan saya harus ke Klinik untuk diperiksa oleh Dr. Abdul Hamid Orakzai. Saya kemudian dibekalkan ubat-ubatan dan saya meneruskan perjuangan, datang ke Alang Sedayu. Saya bersedia sepenuhnya tak lama kemudian.

Ya Allah, tanpa izinMu, aku tak mungkin mengukir cita dan cinta di tanah itu.

Saya bersedia dan berjalan ke situ menaiki sebuah bas. UIAM menyediakan 2 buah bas untuk ke Batu 12, Gombak.

MRC Abu Bakar @ MRC LTC 2
Alhamdulillah. Allah izinkan sebahagian besar daripada kita, wakil-wakil kolej kediaman Asasi UIAM, untuk menyertai MRC LTC 2. Tapi, ada dalam kalangan kita – Azzim, abang Ridzuanshah, abang Firdaus “Don”, Audie Afham dan ada lagi – tidak dapat bersama kita. Sayang seribu kali sayang. Kalau Allah tak izinkan, kami tak boleh buat apa-apa. Redha sahajalah. Sampai ketemu di lain waktu.

Alang Sedayu diselia oleh Layang Adventure. Rupanya duduk di Seksyen 8, Kota Damansara.

Ustaz Azizi sedang mengendalikan sesi
Petang 1 Mac mula menduga kami. Ustaz Azizi mula menduga kami. Caranya di permulaan amat menggerunkan; tetapi, sebenarnya beliau sedang membawa beberapa pengajaran dalam sesi perkenalan.

Dini Nurhani ditanya haiwan kesayangannya bersama 2 sebab lalu haiwan kesayangan itu dinisbahkan kepada dirinya pula kemudiannya. Abang Shaatibi – saya kurang ingat kejadiannya waktu itu – dipukul berbilang batang rotan oleh Ustaz Azizi.

Pada hemat saya, Ustaz Azizi mahu kita fokus, menyayangi diri dan sekeliling. Saya teringat bahawa abang – abang Adib Asyraf (yang saya rindui) – pernah menekankan nilai fokus.

"Pak Ulu" Muzzammil Al Hajid Ahmad Nizar
dan "Mak Ulu" Nadhira Abdul Rahman
Saya berpijak di daerah Gombak. Oleh sebab itulah, ketua-ketua program – Muzzammil dan kak Nadhira – dipilih dari UIAM Gombak. Saya setuju!

Ustaz Azizi kemudian mencipta suatu penghayatan untuk MRC LTC 2.

Di sini lahirnya sebuah cinta
yang murni, abadi, sejati
di sini tersemai cita-cita
bercambah menjadi warisan

Andai ku terbuang tak diterima
andai aku disingkirkan
ke mana harus ku bawakan
ke mana harus ku semaikan
cinta ini?

Betapa di bumi ini ku melangkah
ke utara, selatan, timur dan barat
ku jejaki

Aku bukanlah seorang perwira
gagah menghunus senjata
namun hati rela berjuang
walau dengan cara sendiri
demi cinta ini.

Ku ingin kotakan seribu janji
sepanjang kedewasaan ini
Ku ingin sampaikan pesanan
Akulah penyambung warisan.

(Warisan, Allahyarham Datuk Sudirman Hj. Arshad)

Saya masih ingat. Saya menyanyi lagu itu ketika mendengar berita syahidnya 2 orang anggota polis dalam mempertahankan tanah air saya, negeri Sabah. Daripada lagu itu, saya cuba bangkit semula. Saya tak nak dan tak patut bersedih dengan kehilangan pahlawan.

Meski saya bukanlah perwira, saya cuba untuk mewarisi keperwiraan mereka dengan menuntut ilmu.

Kalian, kelak kita juga menjadi perwira di pelbagai medan nanti. Kitalah perwaris mereka. InsyaAllah.

Sebab itulah saya membangkitkan pula suatu penghayatan dalam MRC LTC 2. (Mungkin sebahagian kecil sahaja yang mendengar.)

Pengalaman silam mengajar erti hidup
yang amat payah untuk kita harungi
mengapa masih ada di antara kita persengketaan?

Perjalanan waktu sering menghambat kita
kian hampir pada titik hujungnya
tak perlu ragu-ragu untuk tegakkan tugu kemerdekaan.

Segala-galanya kini telah disediakan
untuk kita teruskan bersama
Jangan biarkan musuh merapatinya
hancurkan kedamaian kita.

Selagi kita mampu pertahankan
maruah agama, bangsa dan negara,
selagi itulah kita akan bersatu!
Di situ letak kunci
kejayaan kita bersama.

Taburkan jasa dan semaikan budi
Jadilah kita warga yang berbakti
Tiup semangat cintakan negara
demi perwaris bangsa
anak-anak generasi kita.

(Taburkan Jasa, Semaikan Budi; In Team, UNIC & Aeman)

Penghayatan itu saya datangkan ketika saya berada di atas air terjun Sungai Pisang.

Blender dalam perbincangan
Saya adalah Blender bersama “Pak Ulu” Muzzammil, abang Presiden Zaidan, abang Fikri dan beberapa lagi orang sahabat wanita. Abang Fikri mengetuai kami.

Selain Blender, Dapur MRC mengandungi Loyang, Lesung, Pisau, Kuali “Pan” dan Pemanggang Ajaib. Mewahnya Dapur MRC di Alang Sedayu. Macam-macam ada.

Setelah lengkapnya Dapur MRC, kami mengusung diri kami ke Sungai Pisang, sekitar 29 kilometer daripada Plaza Tol Gombak di Lebuhraya Pantai Timur (LPT). Sebahagian daripada kami meneruskan kerja Dapur MRC dalam hutan jauh sedikit daripada air terjun. Sebahagian lagi turun abseilling dekat air terjun Sungai Pisang.

Brothers of MRC CFS IIUM
45 minit kami meredah Sungai Gombak dan Sungai Pisang, terowong di bawah LPT dan bukit-
bukau. Kami berjaya akhirnya menjejak sebelah sana dengan sabarnya. Waktu itu, Sungai Pisang baru sahaja diziarahi sebahagian warga Asasi Ekonomi dari UIAM Gombak, termasuklah wakil Kolej Maryam. Patutlah berpengalaman.

Masak dari hati, masak dengan iman
Kami bermula dengan berhidup di hutan; memasak dalam hutan. Hanya tepung dan telur yang menemani sebagai material, juga kayu api, pemula api (starter) dan mancis sebagai apparatus. Masaklah dengan apa-apa cara sekalipun. Masak dari hati, masak dengan iman!

Dalam tempoh 2 jam, masakan siap dihidang setelah saudara kita berenang atas tanah jaga api, setelah saudari kita turun sungai menguli tepung.

Ketua Jurulatih, abang Suhaihisam “Shai”, menilai setiap masakan yang ada. Semua pun ikut menyerbu. Ada yang sangat laku makanannya sampai terkeluar dari mulut Awis, “Jangan gaduh-gaduh! Makanan banyak lagi.”

Bertukar di sebelah petang. Sebelum itu, pertama kali dalam sejarah hidup, saya bersolat dalam hutan. Timbalan Dekan Asasi kami, Puan Rose Haliza, pun merasa yang sama.

Usai solat fardhu Zohor secara berjemaah. Yang selesai berhidup di denai belah atas dipohon turun ke tepi air terjun. Yang selesai jatuh melalui air terjun pula dipohon untuk berhidup di belah atas pula.

Selesai Zohor, saya ingat saya yang akan turun dahulu untuk sesi kedua abseiling di tepi air terjun. Rupa-rupanya peserta perempuan pula yang mendahului kami yang lelaki.

Di sebalik tabir
Sementara menunggu mereka. Tiba-tiba datang satu idea. Saya tanya abang Suhaizan. Ingat nak rakamkan suatu kenangan di sini. Lanjutan darinya, abang Suhaizan bersetuju untuk merakamkan 4 senario saya; lagu yang saya menjadi penyanyinya.

Jujur saya katakan. Pertama kali berada di tepi air terjun Sungai Pisang, saya merasa takut untuk abseiling. Gayat dan fobia dengan ketinggian. Namun begitu, saya cuba tenangkan hati, bangkitkan semula semangat diri.

Saya cuba bawa penghayatan yang ini.

Kesenangan yang datang tak akan selamanya
Begitulah, selepas susah ada kesenangan
seperti selepas malam, datangnya siang
Oleh itu, waktu senang, jangan lupa daratan.

Gunakan kesempatan untuk kebaikan
sebelum segalanya terlepas dari genggaman
kelak menyesal nanti tak berkesudahan
Apa guna sesalan hanya menekan jiwa?

Jangan difikir derita akan berpanjangan
kelak akan membawa putus asa pada Tuhan
Ingatlah, biasanya kabus tak berpanjangan
Setelah kabus berlalu, pasti cerah kembali.

Ujian adalah tarbiyyah dari Allah
Apakah kita akan sabar ataupun sebaliknya?
Kesenangan yang datang selepas kesusahan
semuanya adalah nikmat dari Tuhan.

(Kehidupan, In Team)

Saya kena juga harungi pahit getir sebelum datangnya suatu kejayaan yang nama kesenangan.

Penghayatan seterusnya saya bawakan di atas air terjun Sungai Pisang menerusi lagu Taburkan Jasa, Semaikan Budi dan lagu Warisan. Lagu Warisan saya nyanyikan bersama 3 orang lagi – Presiden Nazmi, “Pak Ulu” Muzzammil dan Aiman Haziq – di situ; cuma, sayang, video itu tidak ditayangkan.

Akhirnya, saya cuba luahkan satu perasaan yang sebegini rupa, yang dirindui oleh setiap yang pernah menziarahi negeri Sabah.

Tinggi-tinggi Gunung Kinabalu
tinggi lagi sayang sama kamu
Biru-biru hujung Kinabalu
tengok dari jauh, hati saya rindu.

Kinabalu letaknya di Kundasang
banyak sayur boleh pilih-pilih
Apa guna pergi luar negeri?
Naik Kinabalu, hati saya rindu.

Sumandak-sumandak pun ramai menunggu
menari-nari lenggang Sumazau
Sekali melihat melepak kulitnya
sayang; jatuh cinta...

Sayang, sayang sayang Kinabalu
Kaamatan pesta bulan lima
Sayang, sayang, kita pergi Tamu Jalan Tamparuli
hati saya rindu.

(Sayang Kinabalu, Allahyarham Kimin Mudin)

Abseiling
Akhirnya, saya turun abseiling, bertarung nyawa sesama sendiri. Silap langkah, al-Maniyyah (maut) yang menanti. Jujur, waktu itulah pertama kali saya melakukan abseiling. Gayat. Pun begitu, saya tetap mencuba untuk berbuat demikian. Berbantukan kemahiran yang diajarkan jurulatih (kak Suhaila dan ada seorang abang), saya cuba juga melakukan abseiling.

Di tengah tebing, saya tergelincir. Nafas semakin kurang. Saya kemudian beransur ke bawah. Sampai ke bawah, lemas. Akhirnya, Marsyal yang menanti di bawah (abang Ja) menarik diri ini. Hampir-hampir diri ini ditumbuk pengsan kerana cuba menarik Marsyal untuk lemas. Demi menjaga keselamatan, beberapa prosedur perlu dipatuhi.

Abseiling mengajar saya erti motivasi. Seorang Penyair Arab masa kini pernah bermadah, lebih kurang maksudnya, “Jangan berputus asa. Boleh jadi orang yang gagal, yang berada di bawah, akan kembali ke atas semula.”

Tazkirah saya pada 1 Mac malam mengingatkan diri saya sendiri sebenarnya agar tidak berputus asa. Allah SWT pernah berfirman dalam al-Quran agar tak berputus asa.

Sampai masa untuk pulang dari perbukitan Sungai Pisang. Saya di belakang abang Shai berjalan menyusuri tepi LPT. Berjalan di belakangnya. Sesampai dekat-dekat Sungai Gombak, hujan mula membasahi kami dan bumi. Ada satu jalan tebingan yang licin. Kami sayang semua. Maka, sebahagian daripada kami membantu sebahagian yang lain naik.

Semua selamat sampai hampir-hampir waktu Maghrib.

Malam kerehatan kami isi dengan pementasan sampai pukul 1 pagi lebih keesokannya. Nampak Ustaz Azizi pegang lilin di malam sebelum sesi pementasan. Ingatkan ada candle war, rupanya Ustaz Azizi membuka pementasan dengan nyanyiannya bersama lilin.

Lalu, keenam-enam barang Dapur MRC dipentaskan. Lalu, keluarlah dialog-dialong yang sinonim dengan bait lagu Misha Omar, “Kamu selalu buatku tersenyum sendiri...”

“Cikgu, A tu Am, kita suka dia!” Siap melompat-lompat lagi orang yang disebut. MasyaAllah.

“Cikgu, Am dah janji nak kahwin dengan saya. Awak jahat. Awak nak ambik dia!" Respon Cikgu Muizz, “Jangan gaduh-gaduh. Kamu ini kawan.”

You kenal Dato' K? Hensem. I suka dia.”

Ngapain ya enggak ada orang yang datang-datang ya ke kedai aku ini?”

“OK bah kalau kau.”

Babak 1. Ting, ting, ting!”

Cikgu, saya nak terkencing. Dah tak tahan ni!”

Cikgu, Cikgu, ABC? Abu Bakar College?”

“Kalau ekau sumo punyo tepon tak mahal daghi tepon den, jangan nak menunjuk!”

“Hai, sayang! Ha? Ikan bakar? RM20? Murahnye. Tepi pantai? Okey, nanti kita pergi, ek!" Siap conteng papan putih. Teringat Karoot Komedia.

“Kan aku dah kata, hang jangan berniaga kat tengah jalan. Nanti susahlah kete nak lalu. Hang meniaga kat sini, sini, sini;” sambil melukis peta. Sekali lagi teringat Karoot Komedia.

“OK, murid-murid. Ingat tak hari ni ade ape? Ade teknik gosok gigi!” Itu Guru Besar kepada Cikgu Muizz tu.


“Mu ni, Amin, Mok suoh mu beli pan, yang mu beli pen ni gapo?”

“Maaf, saya lambat. Ada angsa kat luar.”

“Cikgu sembur ubat. Cikgu tak sembur racun.” Cikgu Muizz paling diingati kerana pernyataan ini.

Gol!” Ahli mesyuarat Pengetua Aiman Haziq baru tersedar dari tidur. Pengetuanya garang.

Hok aloh!

“Hai! Saya Samsung, TV pintar.” Modennya TV Dr. Solehuddeen Shaatibi.

“Daripada perkataan MRC, kita boleh jemput My Chemical Romance ke?”

“Saya takde tepon. Tepon I ada kat kedai.”

Terima kasih, Cikgu!” Siap gaya Upin Ipin lagi. Sama jua ceritanya dengan salam, “Selamat pagi, Cikgu!”

“Cikgu, tulisan cikgu kecik sangat. Saya tak nampak!” Cikgu Muizz besarkan lagi tulisan itu macam gergasi. Lanjutannya, beliau tanya semua, “Susah, kan, jadi cikgu!?”

“Sakit tahu tak bahu beta! Sakit tau, sakit!” Ini Raja Ameruddin terpanah oleh Penasihat Ahmad Nadim.

“Dinda, kanda nak pergi berburu ni. Nak ikut?”

“Ala, Bagitahu jelah kanda. Kanda nak tahu jugak!”

“Cikgu, dia bawa handphone!” Respon Cikgu Muizz, “Simpan! Nanti cikgu rampas.”

Antara yang paling dikenang dalam MRC LTC 2 sebenarnya adalah pementasan. Pementasan tamat dengan menghargai sejarah.

Sampai di hari hujung. Semangat masih diperlukan dalam Amusing Race yang memerlukan kami menyempurnakan ejaan di kolam renang, mengambil ulat sagu di muka sauk, menterjemah kod di Banjaran Sedayu, menuang air guna tali dan cerek di halaman Jungle Lodge dan melontar bola ping pong ke dalam baldi di Alang Manja.

Semua barang dapur terpecah dua dan kembali menjadi satu selepas tamatnya Explorace tersebut.

Setiap permulaan ada pengakhiran. Sebelum menutup program, suatu sesi perkongsian dibuat. Alhamdulillah. Saya diberi peluang untuk memulakan sesi perkongsian setelah lagu Sayang Kinabalu nyanyian saya dimainkan dalam sesi tersebut. Saya ada khulasah saya dan mereka jua ada khulasah mereka untuk kita hayati bersama.

Puan Rose Haliza Harun, Timbalan Dekan Asasi
(Pengurusan Asrama & Disiplin), UIAM
Kesimpulan daripada Timbalan Dekan Asasi kami sangatlah menyentuh hati dirinya dan semua. Madam Rose terharu apabila beliau sendiri merasai pengalaman yang dirasai oleh semua peserta, fasilitator dan ahli jawatankuasa MRC LTC 2. Beliau kemudian memutuskan bahawa berdasarkan semangat persaudaraan, kecekalan, kesabaran, kerjasama dan kasih sayang yang wujud sesama warga MRC LTC 2, beliau berpendapat bahawa program berjaya mencapai objektifnya.

Waktu itu, saya putuskan dalam kibdah (hati), oleh sebab program mencapai objektifnya, sekarang sampai masanya bagi semua untuk mengaplikasikan segala ilmu dan pengalaman dalam lapangan kerja sebenar.

Fasilitator Layang Adventure sendiri teruja sebenarnya dengan gelagat kita semua. Saya tidak menyangka bahawa saya akhirnya akan terkesan dan menghargai segala ilmu dan pengalaman yang saya terima di tepi Sungai Gombak dan Sungai Pisang.

Di tepi Sungai Gombak, saya menghargai persaudaraan, persahabatan, kasih sayang dan semangat semua kalian; juga ilmu dan pengalaman yang saya dapat hasil didikan warga Layang Adventure. Saya secara peribadinya bertuah kerana dilatih oleh sebuah kumpulan yang pernah berjaya melatih pasukan negara dalam Sukan SEA 2001 sehingga Malaysia menjadi juara keseluruhan Sukan SEA 2001.

Saya tinggalkan Batu 12, Gombak, dengan menunaikan permintaan sahabat saya, Nazmi.

Terkenang sebuah memori lalu
kisah persahabatan kita bersama
di dalam satu pengajian
menuntut ilmu dan pengalaman
mengingatkanku pengorbananmu
terpahat padu di kalbuku.

Bersama rakan taulan dan guru
tawa riangmu menghiburkan hatiku
Indahnya suasana ketika itu
terjalin ukhuwwah sejati.

Nasihatmu sungguh bermakna bagiku
mengenangkanku erti kehidupan
Susah payah kita hadapi bersama
itulah asam garam dalam kehidupan.

Ya Tuhanku, tabahkan hatinya
Kuatkan semangatnya untuk menghadapi hidup
Limpahkanlah maghfirah dan kasih sayangMu
agar hidupnya sejahtera di dunia akhirat.

(Nostalgia, Shoutul Amal)

Nostalgia adalah sebuah lagi penghayatan yang saya terima dalam MRC LTC 2 untuk diabadikan oleh semua.

Yang saya dapat abadikan di sini ini sahajalah. Biarlah barang-barang Dapur MRC menjadi kenangan sepanjang hayat.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua; kepada Pejabat Timbalan Dekan Asasi (Pengurusan Asrama dan Disiplin) UIAM yang membawa kami dan menyertai kami bersama di Batu 12, Gombak; kepada Layang Adventure yang mengajar kami banyak perkara terutamanya erti menghargai dan semangat kerjasama.

Terima kasih saya juga kepada semua sahabat, semua ahli Jawatankuasa Perwakilan Kolej Kediaman (MRC). Terima kasih kerana menerima, memahami dan menyayangi diri ini seadanya. Kalianlah itu yang seterusnya bagi saya.

Saya ingin memohon berbanyak kemaafan atas kesalahan, kesilapan, kelemahan dan kekurangan diri ini sepanjang perkenalan kita. Saya berazam untuk memperbaiki diri sendiri di masa mendatang, InsyaAllah.

Sungguh, apa-apa yang disimpulkan oleh pelbagai pihak mengenai saya adalah benar sama sekali. Kefahaman semua amatlah saya perlukan sentiasa, terutamanya ketika menyertai komiti Program Transformasi Etika Mahallah (MAETCAM) dan Jawatankuasa Pepandu Program Baktisiswa Antarabangsa (ICOS).

Setelah berkampung 3 hari di Gombak, selain menghargai sahabat-sahabat di UIAM Petaling Jaya, saya amat menghargai pula sahabat-sahabat UIAM Gombak, tuan rumah MRC LTC 2. Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana dapat bersama kalian, juga bersama semua yang lain.

Cuma, kelak di waktu nanti, pasti syair Arab ini berlegar di relung hati saya.

أأستطيع أن أحبك يا أخي
إذ أنت مشغول وأنا في شغولي

Mampukah aku menyayangimu, duhai saudaraku
jika kau sibuk dan aku berada dalam kesibukanku?

كيف كنت ممكنا بحب حبيبي
حينما أصبت بقلة حب نفسي

Bagaimana aku boleh mencintai sahabatku kesayanganku
di waktu aku kurang menyayangi diri sendiri?

أحاول أن أحبك دائما
ولكن كان أحيانا فعفوا

Aku cuba untuk menyayangimu selalu
tetapi, kasih itu jarang sahaja; maka maafkanlah aku

لأن كل نفس عليه مسؤولا
وعلى اوامر أخرى مسؤولا

Kerana setiap diri bertanggungjawab ke atas dirinya
dan bertanggungjawab ke atas urusan lain

أرجو أن يكون حبيبي ناجحا
فسوف أتبعه للنجاح مقبلا

Aku berharap agar sahabatku kesayanganku menjadi orang yang berjaya
Kelak aku akan menyertainya untuk berjaya di masa muka

والله ولله في الدنيا
والآجرة أحبك حبا جما

Demi Allah dan kerana Allah, di dunia
dan di akhirat aku mencintaimu setulusnya

اللهم بجودك وعزتك كنّا
لك محب إخوتنا وارضنا أبدا

Ya Allah, dengan kemuliaanmu, jadikan kami
pencinta saudara-saudaraku keranaMu dan redhai kami selamanya.

Ada sesuatu sempat saya nukilkan di tepi Sungai Gombak untuk mensekiankan rasa ini, meski abang pernah berpesan, “Pergilah dengan rasa kita. Saya yakin kita akan kembali dengan rasa itu.”


Loyang


Pisau


Lesung


Kuali Pan


Pemanggang Ajaib

DI TEPIAN BATANGAN

Musafir seorang aku
di tepi batangan Gombak
aku belajar
erti sebuah keberanian
makna sebuah penghargaan
takrif hakiki perjuangan.

Kita kini membawa nama
jemaah kita yang mengetua
juga segunung amanahnya
terlatih seorang qaid
bererti tersedia bakal pemimpin
akan terbit nanti
penyandang kursi
yang kelak akan menjadi
Himayah al-Islam.

Semoga aku mengerti untuk menghargai
juga tahu untuk memahami
juga arif untuk bangkit berani
bersiaga menghadapi ranjau masa muka
yang pengurusnya hanyalah Pencipta.

Terima kasih, semua
kelak aku menjadi yang ahsan
di waktu sebelah sana
bersama musaadah Allah
emas bermutu, tinggi nilainya.

Rabbi,
sayangi mereka
dan aku.

Alang Sedayu, Batu 12, Gombak, Selangor.
Ahad, 3 Mac 2013, jam 12.46 tengahari.


Taman Desa Rhu, Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan.
Ahad, 10 Mac 2013, jam 1.35 pagi.

Comments

  1. Subhanallah. ukhwah fillah abadan abada. aasif jiddan klu ana ada buat slah kt muiz :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Subhanallah. Nak minta maaf jua salah silap diri ini

      Delete

Post a Comment