Semalam di Gombak

Semalam, abang masih hidup. Alhamdulillah.

Cuma, saya tidak dapat bayangkan apabila sampai waktu abang harus pulang ke muara Pencipta.

28 Januari hari itu. Abang ditimpa kemalangan di Jalan Duta, Kuala Lumpur. Kata sahabatnya, dia hampir kehilangan seorang sahabat; abang.

Hampir-hampir keluarga abang kehilangan abang; hampir-hampir para guru dan sahabat abang kehilangan abang; hampir-hampir kekasih abang kehilangan abang. Namun begitu, Allah tetap sampaikan abang pulang bermukim di Gombak. Mujur dan syukur abang tidak apa-apa meski abang terasa sakit di belah kiri tubuh badannya.

Andai tidak terizin, barangkali saya harus menziarahinya di hospital; mungkin jauh di kediamannya.

Pun begitu, hanya doalah yang akan kekal dan berkekalan.

Saya harap abang baik-baik sahaja. Semoga Allah terus mengurniakan kesihatan kepada abang. Sama-sama kita mendoakan kesihatannya. Terima kasih, semua.

Semalam, saya menziarahi semula UIAM Gombak. Mahallah Maryam dan Mahallah Zubair. Abang – abang Adib – kini bermukim di Mahallah Zubair, dekat dengan pintu besar UIAM Gombak.

Kali berikutnya saya menziarahi Mahallah Maryam, saya rasa meriah. Walaupun tidak semua yang saya cari wujud waktu itu, namun saya tetap merasa sukacita.

Saya tetap senang hati walaupun Presiden Nazmi menggembirakan saya dengan caranya. Sama juga dengan Naib Presiden Solehah.

Saya bertemu Muzzammil seolah-olah saya baru berkenalan dengannya (walhal saya betul-betul mengenali Muzzammil, sekitar sebulan setengah yang lepas, di waktu saya dan abang Rahman melawatnya di Cheras Perdana.)

Salam perkenalan buat Azim dan Ibadullah yang dilantik menjadi wakil penduduk Mahallah Maryam sejak Oktober lepas.

Sayang. Saya tidak sempat bertemu seorang lagi yang 'baru' dalam kalangan perwakilan Mahallah Maryam. Ahmad Amin. Rasanya kelak saya akan memanggilnya 'Ustaz'. Salam perkenalan jua.

Istimewa yang saya nampak. Kalau dipandang dari sisi, Azim dan Ibadullah, wajahnya sama. Pandang mereka dari depan, kelak nampak perbezaan.

Kelak saya kenal mereka dengan lebih mendalam.

Kalian, pernah saya berkata dengan seorang sahabat kita. Saya berhasrat untuk menziarahi UIAM Gombak setiap 3 Jumaat. Tengoklah.

Setiap kali tangan kalian terbuka, saya senantiasa menghargai. Kecil tapak tangan, nyiru hamba tadahkan.

Saya terhutang budi waktu kalian sedia membantu saya. Saya tidak memintanya. Lain kali, saya cuba membantu kalian mana-mana yang termampu.

Saya sedia, InsyaAllah, sebab Mahallah Maryam sebahagian daripada saya. Saya amat menyayanginya, juga warganya, juga MRCnya.

Kecintaan ini saya cuba tanamkan sebaiknya; kerana Mahallah Maryam adalah sebahagian daripada Pusat Asasi UIAM meski Mahallah Maryam berada di Gombak dan seisi Pusat Asasi UIAM berada di Petaling Jaya.

Sahabat-sahabat, saya galakkan semua, terutamanya wakil-wakil Mahallah Asasi Petaling Jaya, untuk menziarahi sahabat-sahabat kita di Gombak.

Sebab mereka juga sebahagian daripada kita.

Kerana mereka sebahagian dari sayalah – dari kitalah – saya menyayanginya sepenuh hati. Saya sandarkannya ke hadrat Allah SWT.

Jalan Yaacob Latif, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.
Sabtu, 2 Februari 2013, jam 12.14 tengahari.

Comments