Perbahasan Piala Dekan Asasi UIAM 2013

Al-Adalah

Kumpulan saya, al-Adalah, menarik diri sebelum keputusan Sidang ke-4 Debat Bahasa Arab sempena Perbahasan Piala Dekan Asasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) 2013, hari ini, setelah menyedari bahawa kumpulan saya sebenarnya hanya tinggal saya dan sahabat saya, Ahmad Hidayat Kamaruddin. Seorang lagi yang diarah menyertai kami, Mohd. Daqiqi'id Md. Sobki – yang menggantikan ahli asal, Abdul Hakam Khairul Anwor, yang terpaksa menarik diri awal-awal kerana menyertai sukan perahu naga mewakili universiti – menarik diri, khabarnya atas masalah kesihatan. Saya tidak kecewa dan sedih untuk membuat keputusan seperti ini kepada jawatankuasa penganjur.

Yang mengecewakan saya kali ini adalah prestasi saya yang sebenarnya. Saya amat malu untuk mengatakan bahawa saya sebenarnya kalah dalam kesemua tiga sesi perbahasan – sesi keempat, keputusan tidak saya ketahui – sekaligus mengecewakan semua yang menyokong aktiviti saya. Walaupun kumpulan saya mendapat markah tertinggi perbahasan, saya sangat malu kerana Hakim yang Mempengerusi (presiding judge) dan pemikirannya tidak berpihak kepada kami. Persembahan tidak berkualiti walaupun berkuantiti tinggi kerana mendapat markah yang tinggi setelah dikumpulkan tetapi kalah secara pemikiran dan penghakiman.

Perbahasan Kami

Bermula dengan Sesi Pertama pada Jumaat lepas (15 Februari), dengan usul bahawa Perlunya Sekatan Internet, parti Lisan al-Haq menang ke atas kami dengan perbezaan 4 markah. Sesi-sesi berikutnya pada hari ini ceritanya sama.

Sesi ke-2 pada jam 10 pagi semalam (16 Februari) menyaksikan parti Rimba Bara menang ke atas kami dalam perbahasan dengan usul betapa Sesuainya Bekerja Sendiri dengan perbezaan 1.5 markah. Perbahasan sengit. Keadaan parti kami membuatkan hilang konsistensi dalam mengendalikan perbahasan.

Perbahasan waktu ini sepatutnya bermula pada pukul 9.40 pagi. Setelah saudara Daqiqi disahkan tidak hadir, kami mengisytiharkan untuk tarik diri kepada Hakim yang Mempengerusi. Namun, penarikan diri ditolak oleh Pengarah Perbahasan, Ustaz Hassan Sayed Hassan Haggag. Saya diarah untuk bermain dua peranan, sebagai Ketua Pembangkang dan Pembangkang ke-2. Saudara Hidayat kekal sebagai Pembangkang Pertama. Namun begitu, mujur dan syukur; nasib baik menyebelahi kami walaupun perbahasan tidak memihak kepada kami. Pertama, Saudara Daqiqi digantikan oleh saudara Wan Mohd. Iqbal Wan Hakim (Parti Lisan al-Haq). Kedua, saya dipilih oleh Hakim yang Mempengerusi sebagai Pembahas Terbaik.

Sesi ke-3 sekitar jam 12 tengahari semalam pula menyaksikan pula parti Firqah al-Furqan menang ke atas kami dengan perbezaan 4 markah dengan usul betapa Sesuainya Bandar-bandar Pelancongan Dikhususkan. Saudara Iqbal digantikan pula oleh saudari Nur Aina Syafiqah Sulaiman (parti Lisan al-Haq).

Sesi ke-4 pula diteruskan sekitar jam 3.30 petang semalam menentang pula dengan parti Itminan dengan usul betapa Pentingnya Cukai ke atas Rakyat Diturunkan. Hakim yang Mempengerusi tidak mengumumkan sebarang keputusan ketika ini kerana keputusan pengumuman ditangguhkan sehingga ke pukul 10 pagi tadi untuk menentukan parti-parti yang layak ke sesi perbahasan peringkat suku akhir. Pun begitu, Hakim yang Mempengerusi dalam penghakimannya membayangkan bahawa usul akan diterima sekaligus menendang kami ke jalanan.

Saya terima keputusan perbahasan yang dihakimi oleh hanya seorang hakim. Saya redha dengan segala yang tersurat dan tersirat dalam perbahasan kali ini. Namun begitu, saya suka untuk membangkitkan persoalan dalam perbahasan kali ini.

Persoalan Perbahasan

Pertama, teknik debat sepatutnya bersyarah dan kurang pembacaan. Saya secara peribadinya kurang berpuas hati apabila pembahas yang banyak membaca (yang matanya banyak bertumpu kepada teks ucapannya mahupun nota penyampaiannya) diberikan kemenangan; dengan perbezaan yang besar pula itu. Setahu saya, pembahas boleh dipotong markah sekiranya sesuatu pembahas terlalu banyak membaca. Sebab itulah saya tulis nota ucapan saya dalam keadaan seolah-olah saya tidak bersedia walhal ada saja fikrah yang datang. Cuma, kepetahan berkata-kata dalam bahasa Islam yang menghalangi.

Maka, tidak hairanlah orang yang membaca menang perbahasan kerana mereka fasih berbicara dengan menggunakan teknik pembacaan; dan orang yang kurang membaca kalah kerana kurang fasih dalam berhujah. Kefasihan dikira dalam penghakiman bahagian Peranan dan Gaya.

Pengarah Perbahasan Bahasa Arab sendiri telah mengingatkan semua pembahas bahawa perbahasan kali ini diadakan untuk mengasah bakat berkata-kata bukannya bakat membaca. Sebab itulah, beliau mengingatkan agar kurangkan pembacaan teks dan banyakkan percakapan tanpa teks. Itulah roh perbahasan yang sebenar.

Kedua, teknik debat sepatutnya bersemangat dari segi gaya dan cara berbicara. Tahap semangat dalam bergaya dan berbicaralah yang memberikan markah besar sekaligus membantu dalam mensuasanakan perbahasan selain pengisian, penghujahan dan pembuktian. Sebab itulah markah Isi dan markah Peranan dan Gaya diberikan nilai yang sama (40 markah) selain 20 markah untuk Keselamatan Bahasa. Namun, sepanjang 4 perbahasan, saya dapati bahawa ada pembahas yang kurang bermaya. Roh perbahasan tidak wujud di situ. Kemenangan boleh dipertikaikan.

Cuma, yang membantu kemenangan mereka – pada hemat saya – hanyalah hujah yang berjaya menawan pemikiran Hakim yang Mempengerusi dan penggunaan bahasa yang baik. Maka, setakat itu, penghakiman tidak saya pertikaikan kerana kami memang lemah dari segi pengisian hujah dan penggunaan bahasa. Kami yang banyak belajar teori bahasa (pelajar Bahasa dan Kesusasteraan Arab) kalah dengan mereka yang banyak mempraktikkannya dalam keadaan kekurangan teori bahasa (pelajar Bahasa Arab Komunikasi).

Ketiga, antara pengkajian dan keberanian. Ada bukti yang datang secara sahih. Ada bukti yang datang secara buat-buat. Dalam perbahasan, kita digalakkan membuat kajian sebelum masuk ke dalam sesuatu perbahasan. Pembahas sendiri diingatkan – sekali lagi – bahawa perbahasan diadakan untuk menguji tahap pembacaan seseorang pembahas. Tetapi, di satu sudut lain, pembahas diingatkan agar yakin dengan apa-apa yang dihujahkan dalam perbahasan walaupun bukti yang dikemukakan di hadapan dewan perbahasan adalah fakta cindai (bukti tipu).

Dalam perbahasan, sepatutnya pembahas cenderung kepada kerja kajian dan penyelidikan terlebih dahulu kerana nilai pengetahuan juga merupakan roh perbahasan. Jika memang tiada sesuatu bukti benar dijumpa, maka adalah menjadi tanggungjawab pembahas untuk mengemukakan fakta tipu dengan yakin dengannya seolah-olah fakta itu benar.

Saya terkilan apabila ada pembahas yang menjadikan pengalaman itu suatu bukti. Benar, pengalaman layak menjadi suatu bukti; tetapi pengalaman adalah bukti yang sangat lemah kerana tidak ada hitam putih darinya sama ada melalui jurnal, akhbar, majalah, laman web dan sebagainya. Sesuatu bukti adalah sah sekiranya dinyatakan secara jelas dan tidak ada keraguan padanya. Perbahasan bukanlah sesi mahkamah kehakiman yang menerima pengalaman sebagai fakta kes. Perbahasan bukannya suatu sesi membincangkan punca kematian orang yang diragui sebab kematiannya atau untuk membincangkan kesahihan sesuatu jenayah yang dilakukan oleh seseorang yang kena tuduh sehingga pengalaman perlu dibuktikan dan disebut di hadapan hakim mahkamah.

Perbahasan membincangkan sesuatu perkara yang memerlukan pencerahan yang sangat terang berdasarkan bukti yang sangat nyata. Mengapa pengalaman harus diambil dan dijadikan bukti sedangkan banyak dakwat secara realiti dan alam maya menulis tentang realiti sesuatu perkara dan kemudiannya penulisannya itu diyakini dan disahkan oleh pelbagai pihak? Nampak kepincangan di situ.

Selesailah sudah hujah menuding jari ke arah orang lain. Kami sedar bahawa satu jari kami tuding ke arah orang lain, sepuluh jari orang lain menunjuk ke arah kami. Saya menghargai semua yang memberikan ilmu dan ibrah yang akan saya sebutkan di sini.

Diri Kami

Pertama, perbahasan bukanlah merujuk kepada kekuatan individu. Perbahasan merujuk kepada kekuatan kolektif. Kami kalah bersebab kekuatan kolektif dari segi penghujahan dan gaya. Rasa tidak adil pula jika saya seorang yang terlebih semangat sedangkan di kanan dan di kiri saya semangat terkurang. Sama juga ceritanya dengan kefasihan. Tidak adil pula rasanya andaikan saya tidak fasih dalam berbicara sedang orang di kanan dan di kiri saya lebih fasih berbicara.

Kedua, perlu saya – sahaja – sedari bahawa saya masih lemah dari segi teknik perbahasan. Setelah komentar, saya sedar bahawa saya adalah pendebat bahasa Arab yang sangat teruk terutama dari segi disiplin. Pelajar asasi tidak berdisiplin, secara hal ehwal pelajarnya, boleh disaman bahkan boleh dibuang universiti. Perkara ini sudah termaktub dalam peraturan disiplin yang disahkan oleh Ketua Perlembagaan/Canselor Universiti. Maka tidak hairanlah jika parti kami hari ini merupakan parti yang paling teruk walaupun markah kami paling tinggi dalam kalangan yang lain; dan saya bertanggungjawab sepenuhnya ke atasnya.

Silap haribulan, saya harus mengucapkan selamat tinggal kepada debat bahasa Arab dan Kelab Debat Bahasa Arab (ADC), Pusat Asasi, UIAM, kerana gagal menjadi pendebat Arab yang lain walaupun sudah 3 semester saya bersama ADC. Seakan tidak layak diri ini untuk terus bersama ADC walaupun mempunyai pengalaman dalam debat Bahasa Arab. Jika saya memutuskan perkara sebegini, saya percaya Pejabat Timbalan Dekan Asasi (Pembangunan Pelajar) kecewa dengan saya lantas berkemungkinan saya sudah tiada akses untuk membantu diri dan universiti dalam pembangunan kokurikulum.

Ketiga, konsentrasi. Saya pada hari Jumaat (15 Februari) dan semalam (16 Februari) hilang konsentrasi. Di waktu saya menyertai perbahasan ini, rakan sekumpulan saya di Kolej Zainab al-Jahsyi memanggil saya untuk menghadiri Sesi Induksi sempena Kempen Etika Mahallah (MAETCAM) yang akan diadakan sekitar April ini. Konsentrasi saya terhadap debat bahasa Arab mula terganggu pada waktu ini ekoran tanggungjawab terhadap program MAETCAM yang bermain di fikiran. Begitu juga dengan pemikiran terhadap program Baktisiswa Antarabangsa (ICOS) dan perjalanan Jawatankuasa Perwakilan Kolej (MRC) Abu Bakar.

Seorang pembahas memerlukan konsentrasi yang tinggi sebelum dan semasa perbahasan. Konsentrasi yang tinggi terhadap sesuatu perkara memungkinkan keberhasilan sesuatu perkara. Bagaimana seorang pembahas boleh terus dengan konsentrasinya di waktu dia harus berfikir beberapa perkara lain yang akhirnya menjejaskan penghujahannya dan persembahannya dalam perdebatan? Oleh itu, fahamilah gerakerja pembahas.

Diri Saya

Saya minta maaf kepada diri sendiri walaupun diri sendiri sukar untuk memaafkan diri sendiri kerana tidak berjaya mengawal tumpuan terhadap perdebatan. Benar, saya bertanggungjawab ke atas urusan kolej kediaman saya. Tetapi, pada suatu ketika, saya harus bertanggungjawab terhadap pembangunan kokurikulum saya. Kedua-duanya saya fikirkan dalam satu waktu. Akhirnya, yang dikejar berciciran di tepian jalan entah sudah berpijakan.

Secara pertandingan, saya sangat rugi. Secara pendidikannya, saya sangat beruntung; kerana niat kami menyertai sidang perbahasan kali ini adalah untuk belajar, bukannya untuk mengecap kemenangan. Kini, saya sedar bahawa saya perlu (dan saya akan cuba) memperbaiki mutu perbahasan saya. Saya berazam untuk itu asal Allah tidak memutuskan harapan diri ini untuk mempelajari ilmu perbahasan.

Saya dengan rendah hati memohon maaf kepada jurulatih, rakan selatihan dan setiap yang menyokong aktiviti saya. Saya dengan jujurnya telah menghancurkan hati kalian. Namun, jikalau kalian kecewa dengan diri ini, percayalah pada saya bahawa saya lebih kecewa atas apa-apa yang berlaku kepada diri saya kerana saya yang bertanggungjawab ke atas diri saya.

Saya sedang menimbang banyak perkara. Jika keadaan tidak mengizinkan, saya ingin beri tumpuan kepada kerja-kerja saya sebagai wakil pelajar universiti di peringkat kolej kediaman. Saya sesali kelemahan saya dan saya sedar ramai yang akan menghina saya atas perkara itu dan tidak ramai yang menjadi sahabat saya yang sebenar untuk membantu saya mengatasinya.

Terima kasih, semua, atas dorongan dan sokongan yang diberikan sepanjang saya menyertai debat Bahasa Arab. Saya menghargainya.

Namun, rasanya, mulai saat ini sebolehnya, sebagai pelatih dan ahli jawatankuasa ADC, Pusat Asasi, UIAM, saya harus (dan ingin) mengucapkan selamat tinggal kepada ADC, Pusat Asasi, UIAM.

Comments