Terima Kasih dari Sabah

Warga kerja LOCUS 2013 (lelaki)
(Tiada dalam gambar: Ily Izdihar)
Alhamdulillah. Sampai waktunya, Allah beri kemampuan untuk bertenang atas segalanya yang terjadi. Terima kasih kepada semua yang sudi membantu menghilangkan kesedihan ini.

Sahabat-sahabat Gombak, maafkan kedukaan hari itu.

Saya amat merasai kehilangan – dalam terma yang rasmi – di hadapan mata. Pun begitu, atas kasih sayang yang saya terima, saya cuba untuk bertenang dari kedukaan itu.

Kalian, kalian takkan hilang di hati saya meski hilang dari pandangan. Takkan terputus talian persahabatan dan persaudaraan meski tamat sesebuah tugasan. Kalian kekal bersama saya – semangat, kasih sayang, nasihat, persahabatan, persaudaraan – melainkan jika Allah memanggil sebuah kepulangan yang menginsafkan semua yang masih bernyawa.

Sabah – keadaannya dan masyarakatnya – pasti (dan mogakan) kekal dalam ingatan dan kerinduan kalian.

Sabah – termasuklah saya – juga pasti akan merindui jasa dan bakti kalian mengangkasa syiar Islam di sini dan mempersaudarakan kami dengan kalian dalam ikatan Islami.

Terima kasih banyak-banyak, kalian. Kalian banyak mengajar diri ini erti kehidupan, cara kerja, kehidupan beragama dan adat perhubungan.

Saya dan abang Adib waktu
Induksi LOCUS
(Gambar: Sdri. Najah Hakimah Abdullah)
Sebelum bersama berbakti, saya cuba jalinkan perhubungan yang murni; Alhamdulillah, berhasil. Kalianlah itu sebahagian daripada kehidupan saya dan ada yang kini saya dan famili anggapkan sebagai sebahagian daripada kami; agar Allah kekalkan penyatuan antara kita.

Kalian, kalian kini sebahagian daripada Sabah sebab Sabah juga adalah Malaysia. Saya dan warga Sabah meraikannya. Terima kasih, kalian.

Di waktu kebaktian, saya belajar cara kerja dan kehidupan beragama. Kehidupan beragama diterapkan agar kita mampu menambahbaik penerapannya dalam kalangan mereka yang memerlukannya.

Pertama kali saya menjadi fasilitator secara kaunseling – sebelum ini menjadi fasilitator secara akademik – saya cuba menerapkan nilai Islam sebaik mungkin dalam kalangan semua. Saya berharap agar semua yang kita sumbangkan itu bernilai tinggi dan bermanfaat kepada mereka dan semua yang di sekeliling mereka; dan semoga objektif khidmat masyarakat kita di Ranau tercapai dan berkekalan, InsyaAllah.

Saya tidaklah sebaik fasilitator lain yang hebat belaka, seperti abang Adib dan abang Shaatibi. Saya kekadang harus melihat cara mereka mengendalikan kumpulan. Saya tidaklah sebaik salah seorang penyelarasnya – Afif Afnan “Apin” – yang berpengalaman dalam konsultansi. Sebelum pulang Sabah, saya cuba mendengar pengalamannya.

Maka, dari situlah – Program Baktisiswa Tempatan (LOCUS) 2013 – saya belajar menjadi fasilitator dari fasilitatornya yang lain. Kelak saya manfaatkannya dalam program yang sama di peringkat antarabangsa pertengahan tahun nanti memandangkan saya nanti adalah penyelarasnya bersama lagi 3 orang ahli jawatankuasa.

Saya dan kumpulan Success Muslimin
Di pengakhiran, saya belajar hakikat kehidupan. Banyak saya belajar; dan sedikitnya saya tinggalkan kepada semua ahli kumpulan saya sebelum berangkat meninggalkan sekolah. Akhirnya, saya memahaminya semula.

Terima kasih banyak-banyak, kalian. Kalian – saya juga – cuba bersabar dan redha dengan segala ketentuan dan kejadian sepanjang kebersamaan.

Mungkin kita terkejut dengan suasana SMA al-Irsyadiah Marakau, Ranau, sehingga ada yang mengatakan bahawa mereka lebih baik dari kita. Saya percaya ada yang terkejut dengan gaya hidup anak-anak nelayan warga Filipina di tepi bandaraya Kota Kinabalu yang rupanya gemar meminta sedekah beramai-ramai.

Semoga kalian memahami dan mengerti.

Terima kasih banyak-banyak, kalian. Kalian akhirnya mencintai Sabah dan seisinya; budayanya, bahasa bangsanya dan keindahannya.

Sebelum kalian pergi ke Sabah, hinggalah pada waktu kalian berada di Sabah, kalian sudah tahu lagu Sayang Kinabalu (nyanyian al-Marhum Kimin Mudin) dan lagu Anak Kampung (versi Melayu dan Dusun) (nyanyian Jimmy Palikat). Kedua-dua lagu itu pasti akan mengingatkan kalian akan negeri Sabah.

“Tinggi-tinggi Gunung Kinabalu, tinggi lagi sayang sama kamu... Biru-biru hujung Kinabalu; tengok dari jauh, hati saya rindu...”

Sabah adalah sebuah negeri yang unik dan indah untuk diterokai. Kalian, semoga kalian datang semula ke Sabah di waktu lain yang Allah SWT izinkan. Banyak lagi kalian boleh terokai di kebanyakan tempat di Sabah.

Saya dan sekolah terlibat pasti akan mengingati dan merindui gaya dan cara semua fasilitator.

Abang Shaatibi yang tenang dan lemah lembut; abang Adib yang ‘sporting’ dan bersahaja; ‘abang comel’ Afif Afnan yang bergaya dan ramai lagi; semuanya mempunyai karekternya yang signifikan dan menarik perhatian dan ingatan.

Sekalung penghargaan kepada sekolah. Meski sekolahnya kecil di tepi pekan Ranau, orangnya baik-baik dan mesra-mesra belaka; tangannya sentiasa terbuka untuk membantu. Kita terharu untuk menerima jasa dan budi mereka di waktu kita jua menjadi seperti mereka.

Di penghujung, perlu saya nyatakan. Saya amat merasa kehilangan dan saya sedar apa-apa yang saya rasa itu. Saya kehilangan.

Terasa kehilangan dan kerinduan ini mengsengsarakan diri.

Pun begitu, semangat, ilmu, nasihat, ingatan, perhubungan dan kasih sayang yang saya terima, tetap berada di samping diri, dalam ingatan dan di hati saya.

“Nasihatmu sungguh bermakna bagiku; mengenangkanku erti kehidupan...”

Terima kasih, kalian, kerana menerima, memahami dan melayan diri ini seadanya.

Terima kasih jua kepada yang pernah mendoakan diri ini. Tanpa doa kalian, saya mungkin tidak menjadi orang baik, terbaik bagi diri sendiri.

Kecil tapak tangan, negeri Sabah saya tadahkan.

Saya terharu untuk menerima kasih sayang kalian semua, terutamanya mereka yang nanti di Gombak akan menjadi pelajar sarjana muda, bukan lagi pelajar asasi.

Jangan dilupakan diri ini di mana-mana pun kalian berada...

Alhamdulillah, apa-apa yang dapat saya layan, bantu dan beri, setakat itu sahajalah.

Saya minta maaf zahir batin dari kalian atas kesalahan, kesilapan, kecuaian dan kelemahan saya. Saya berazam untuk terus memperbaiki diri ini di masa hadapan, dengan bantuan daripada Allah SWT dan dengan sokongan daripada semua orang termasuk kalian.

Jemput datang semula ke Sabah suatu masa nanti. Saya senantiasa menerima kalian dengan hati dan tangan terbuka.

Saya dan Sabah sentiasa menerima kalian setiap waktu. Semoga Allah sampaikan semula kalian ke Sabah.

Senior Gombak, saya berjanji akan datang semula ke Gombak meski kalian sudah duduk di Mahallah lain. Mahallah Maryam – dan warganya dari dulu – sebahagian daripada saya kerana Mahallah Maryam adalah Mahallah Asasi.

Selesai Asasi di Petaling Jaya, saya tetap akan ke Gombak. Kita akan bersama lagi dalam tempoh yang lama, walaupun masa itu masih jauh lagi, InsyaAllah.

Saya mohon doa kalian, semoga Allah memberi kekuatan kepada diri untuk meneruskan kehidupan, sama ada kalian berada di sisi mahupun tidak.

Kepada yang masih di Petaling Jaya, InsyaAllah, semoga persahabatan kita berkekalan. Kepada sebahagian daripada kalian, kini sampai waktunya kita menunaikan tanggungjawab seterusnya dalam akademik dan hubungan kemasyarakatan.

Pengalaman di Ranau akan cuba kita aplikasikan pula dalam Baktisiswa Antarabangsa (ICOS) pula, InsyaAllah.

Akhirnya, semoga Allah SWT merestui kita semua dengan rahmat, keampunan dan kasih sayangNya. Amin ya Rabb al-Alamin.

Terima kasih, kalian. Terima kasih, Allah.

Saya dan abang Adib sebelum abang Adib pulang KL
Kerana Allah, sebagai adik dan sahabat, saya sayang kalian semua, abang-abang, kakak-kakak dan sahabat-sahabat sekalian.

Abang Adib, adik abang sayang abang.

Kampung Timbok, Tuaran, Sabah.
Selasa, 15 Januari 2013, jam 12.03 tengahari.

Comments