Mesej sempena Maulidur Rasul SAW 1434 Hijrah

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين
والصلاة والسلام على أشرف الانبياء والمرسلين
وعلى أله وصحبه أجمعين

اللهم صل وسلم على سيدنا ومولانا محمد عدد ما في علم الله صلاة دائمة بدوام ملك الله

Alhamdulillah. Allah sampaikan semula kita ke tarikh 12 Rabiulawal; yang umum mengetahui bahawa hari tersebut ditulis oleh Allah SWT sebagai Hari Keputeraan Rasmi Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Sebanyak-banyak selawat dan salam kita panjatkan ke hadrat Rasulullah SAW, yang telah banyak berjasa kepada Islam dan dunia; juga ke atas kaum kerabat dan para sahabat Baginda yang amat mulia.

Rasulullah SAW diutuskan oleh Allah SWT memberi banyak makna dan manfaat kepada Islam dan dunia. Adapun Rasulullah SAW diutuskan untuk menjadi rahmat kepada seluruh alam. Baginda juga diutuskan untuk membawa khabar gembira dan memberi amaran. Rasulullah SAW juga diutuskan sebagai contoh terbaik manusia sepanjang zaman hingga hari akhirat. Sebab itulah kita amat beruntung untuk hidup sebagai umat Baginda di bumi Allah SWT.

Sebagai umat Islam, adalah menjadi peranan kita untuk meneruskan ilmu dan perjuangan yang dibawa oleh Baginda SAW sekitar 1,400 tahun dahulu. Sekurang-kurangnya kita hendaklah mencontohi kelakuan baik Baginda SAW. Paling tidak pun, marilah, kita perbanyakkan selawat dan salam ke atas Baginda SAW. Sabda Baginda, "Barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, nescaya Allah akan berselawat ke atasnya dengan 10 selawat."

Marilah, semua. Rasulullah SAW amat merindukan umat Baginda. Sepanjang hayat Baginda, hidup Baginda banyak terisi dengan aktiviti fikir umat. Sebab itulah Baginda berdakwah bersungguh-sungguh tanpa mengenal erti putus asa; hatta di hujung nyawa, Baginda masih memanggil-manggil umat Baginda.

Ramai dalam kalangan kita kini melupai Baginda; terlalu lalai dengan dunia. Jangan, kelak menyesal nanti. Allah tidak pernah melarang hambaNya untuk mensyukuri dunia; tetapi, perlu kita ingat bahawa Allah juga mewajibkan kita untuk terus meneladani kekasihNya SAW, sekurang-kurangnya dengan selawat ke atas Baginda.

Marilah, semua, kita berusaha mendapatkan syafaat Baginda SAW. Dengan syafaatlah kita akan mampu menikmati syurga Allah yang kekal abadi. Sama-samalah kita meneruskan kecintaan kita kepada Rasulullah SAW dengan meneruskan amalan memperingati Baginda dan meneruskan amalan-amalan yang termaktub sebagai sunnah Baginda SAW.

Saya yakin, dengan rasa cinta kita kepada Rasulullah SAW dan dengan disertai amalan-amalan yang menjurus ke arahnya, kita akan menggapai redha Allah SWT dan syafaat Baginda SAW. Begitulah doa kita. Semoga kecintaan kita kepada Baginda semakin bertambah dan semoga nanti Allah SWT mengizinkan kita untuk menerima syafaat Baginda SAW yang amat agung.

Salam Maulidur Rasul.

والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Comments