Tuesday, 18 December 2012

Tarikh Hari Kiamat: Apa Urusanmu?

يسألونك عن الساعة أيان مرساها
فيم أنت من ذكراها
إلى ربك منتهاها
إنما أنت منذر من يخشاها
كأنهم يوم يرونها لم يلبثوا إلا عشية أو ضحاها

Mereka (yang ingkar) selalu bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat, "Bilakah masa datangnya?" Apa hubungannya tugasmu dengan (soal) menerangkan masa kedatangan hari kiamat itu? Kepada Tuhanmulah terserah kesudahan ilmu mengenainya. Tugasmu hanyalah memberi amaran kepada orang yang takut akan huru-hara hari kiamat itu. (Sangatlah dahsyatnya huru-hara hari itu, sehingga orang-orang yang bersalah merasa) pada masa melihatnya seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja.
(Surah an-Naziaat, ayat 42-46)

Siapalah kita ini untuk mengetahui bilakah hari kiamat? Umum mengetahui bahawa hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui hari sebenar hari kiamat. Andai Rasulullah SAW masih ada dan kita menanyakan baginda tentangnya, Rasulullah SAW yang menjadi kekasih sejati Allah SWT pun tidak tahu dan redha akan rahsia Allah SWT.

Pun begitu, kita sudah diterangkan terlebih dahulu tentang tanda-tanda kecil dan tanda-tanda besar kiamat.

Antara tanda-tanda kecil kiamat termasuklah muzik bermaharajalela dan perempuan lagi ramai daripada lelaki; manakala antara tanda-tanda besar kiamat termasuklah matahari terbit dari sebelah barat dan kewujudan Dajjal.

Namun, rata-rata orang bukan Islam (terutamanya masyarakat kaum Maya di Benua Amerika) percaya bahawa kiamat dunia akan berlaku pada 21 Disember 2012. Fakta ini sahaja berjaya meracuni sebahagian masyarakat dunia sehingga ada yang sanggup duduk dalam binaan berteknologi tinggi di bawah tanah pada 19-23 Disember 2012, ada yang membunuh diri dan sebagainya; semuanya kerana takut hari kiamat. Mereka mahu hidup seribu tahun lagi sebab dunia ini syurga bagi orang-orang kafir sedangkan dunia ini penjara bagi orang-orang mukmin. Maka, kekallah syurga mukminin itu Syurga di Hari Akhirat kelak. (Kepada Allah kita memohon kuncinya di Hari Akhirat kelak. Allahumma Amin ya Rabb al-Alamin.)

Andai hari kiamat itu akan terjadi dalam waktu yang terdekat, sepatutnya kita bukannya takut untuk menghadapinya. Allah berfirman, setiap yang hidup pasti akan merasai mati. Semua orang akan menghadapi hari kiamat, cuma kiamat di sini ada dua, iaitu kiamat kecil (kematian) dan kiamat besar (hari kiamat). Jika hari kiamat akan berlaku, Rasulullah SAW bersabda, jika ada satu benih untuk ditanam, tanam sahajalah. 

Jika kita sedar hari kiamat semakin dekat, marilah diriku, marilah semua, sama-sama kita tingkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan mematuhi segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya. Andai Allah SWT khabarkan tarikh sebenar hari kiamat, percayalah, semua orang akan sibuk dengan urusan masing-masing. Satu benda kelalaian takkan wujud sama sekali sebab semua dapat tahu daripada Allah SWT tentang tarikh sebenar hari kiamat.

Tetapi, Allah sengaja rahsiakan tarikh sebenar hari kiamat supaya semua orang sedar akan diri masing-masing. Allah berfirman, 5 perkara yang hanya Allah sahaja yang tahu - hari kiamat, hujan, benda yang wujud dalam rahim wanita, hari esok dan kematian. Sebagai orang yang beriman, kita menerima kerahsiaan Allah SWT yang Maha Mutlak ini.

Kiamat memang semakin hari semakin dekat. Namun, adakah kita sudah bersedia? Sama-sama kita bersedia. Semoga Allah izinkan kita mengadapNya dalam keadaan hati yang sejahtera dan dalam keadaan Allah SWT meredhai kita semua.

اللهم توفني وانت راض عني

Ya Allah, matikan aku dalam keadaan kau meredhaiku.

1 comment: