Mesej sempena Tahun Baru 2013

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب السلام
الصلاة والسلام على خير الأنام
وعلى آله وأصحابه الكرام

Alhamdulillah. Segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT. Dengan rahmatNya, kita telah dan masih diberi peluang untuk menikmati kehidupan di dunia. Dengan kasih sayangNya, kita telah dan masih diberi peluang untuk merasai pemberianNya yang amat infiniti. Dengan berkatNya, kita telah dan masih diberi peluang untuk meniti jalan menuju redha dan maghfirahNya. Selawat dan salam kita panjatkan ke hadrat Rasulullah SAW – yang telah banyak berkorban demi memastikan umat Baginda hidup dalam aman dan sejahtera di bawah naungan murni Ilahi – juga kepada para keluarganya dan sahabatnya yang amat mulia.

Apresiasi Masa

Alhamdulillah. Kini, tiba masanya kita mengucapkan selamat jalan kepada tahun 2012 dan selamat datang kepada tahun 2013. Kita tidak ada kudrat dan iradat untuk menahan tahun 2012 daripada terus pergi dan kita tidak ada kudrat dan iradat untuk menyekat kedatangan tahun 2013 kerana masa adalah kuasa mutlak Allah SWT. Begitulah jua keadaanya dengan tahun 1433 Hijrah yang sudah pergi dan tahun 1434 Hijrah yang baru bersemi. Perkara itu sudah termaktub dan termaklum di dalam banyak ayat dalam al-Quran.

Allah SWT banyak bersumpah dengan masa di dalam al-Quran. Sumpahan Allah SWT dengan menggunakan masa, pagi dan malam dalam al-Quran menunjukkan bahawa Allah SWT amat mengambil berat terhadap urusan masa dan perjalanannya. Bukan setakat itu sahaja, bahkan Allah SWT, sesungguhnya, menyuruh manusia agar menghargai masa.

Umat Islam maklum akan Surah al-Asr, [والعصر * إن الإنسان لفي خسر * إلا الذين آمنوا وعملوا الصالحات وتواصوا بالحق وتواصوا بالصبر] “Demi masa; sesungguhnya manusia berada dalam kerugian; kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, yang saling berpesan di atas kebenaran dan yang saling berpesan dengan penuh kesabaran.”

Masa, menurut pepatah Melayu, diibaratkan seperti emas; bererti masa itu amat berharga, nilainya amat mahal bagi seseorang. Bagi umat bangsa Arab pula, [الوقت كالسيف إن لم تقطعه قطعك] “Masa itu pedang; jika kita tidak memotongnya, maka ia akan memotong kita;” bererti dalam banyak perkara, kita hendaklah pandai mengurus dan menghargai masa agar masa tidak berlalu begitu sahaja tanpa sebarang pengisian. Hakikat masa itu datang dan pergi tak kembali harus kita terima dan kita fahami seadanya.

Kembalilah Secepatnya, Waktu Masih Ada

Kita tidak mahu di waktu kemudian kita menyesal kerana tidak menggunakan kesempatan yang ada dengan sebaiknya untuk perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan dan pahala. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.

Dalam Surah as-Sajdah, ayat 11 hingga 15, Allah SWT berfirman kepada Rasulullah SAW agar mengingatkan umat Baginda SAW bahawa setiap yang hidup akan diambil nyawanya oleh Malaikat Maut. Lalu, Allah SWT bercerita tentang masa hadapan orang-orang yang banyak dosa di dunia, kemudiannya menyesal di akhirat. Kata mereka nanti, menurut al-Quran, [ربنا أبصرنا وسمعنا فارجعنا نعمل  صالحا إنا موقنون] “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar (segala keingkaran kami dahulu); maka kembalikanlah kami (ke duniaMu) supaya kami akan melakukan amal soleh. Sesungguhnya kami yakin;” sedangkan Allah SWT telah memberikan banyak masa kepada hamba-hambaNya untuk selalu bertaubat kepadaNya atas segala kesalahan masa lalu.

Firman Allah SWT, [ولو شئنا لآتينا كل نفس هداها ولكن حق القول مني] “...dan andaikan Kami telah tetapkan persediaan (dengan memberikan hidayah kepada semua insan tanpa mereka perlu berusaha akannya), nescaya Kami berikan setiap daripada mereka hidayahnya; tetapi telah tetaplah hukuman dariKu.” Dalam ayat ke-13, Surah as-Sajdah, Allah SWT mahukan hamba-hambaNya untuk berusaha mencari hidayah dariNya, bukannya mengharap hidayahNya sahaja tanpa berbuat apa-apa.

Berbalik kepada penyesalan golongan yang berdosa di akhirat yang meminta dikembalikan ke dunia, Allah SWT berfirman dalam ayat ke-14 surah yang sama bahawa Allah SWT tidak akan menerima rayuan mereka kerana dunia sudah kiamat dan semua sudah berhimpun di Padang Mahsyar. Allah SWT tetap akan mengazab mereka dalam neraka atas segala dosa yang mereka lakukan yang mereka tidak minta ampun kepadaNya atasnya.

Nilai yang kita boleh dapati di sini adalah, sebagai umat Islam, masa adalah antara perkara yang perlu kita hargai dan kita manfaatkan ke arah kebaikan dan ke arah menggapai redha, rahmat dan maghfirah Allah SWT. Tidak dapat dinafikan bahawa, ada waktu kita gunakan ke arah perkara yang tidak baik. Untuk itu, kepada Allahlah kita mohon ampun dan maaf kerana menjadi adat resam dunia bahawa setiap manusia tidak dapat lari daripada kesilapan. Sabda Rasulullah SAW, [كل أبن آدم خطاء وخير الخاطئين التوابون] “Setiap anak Adam (manusia) itu bersalah (tidak dapat lari daripada kesilapan) dan sebaik-baik orang yang bersalah itu orang yang bertaubat.”

Kita tidak tahu tentang kejadian hari esok. Kita jua hakikatnya jahil tentang waktu kematian kita yang sebenar; begitu jugalah dengan tarikh hari kiamat. Allah SWT berfirman di akhir Surah Luqman, [إن الله عنده علم الساعة وينزل الغيث ويعلم ما في الأرحام وما تدري نفس ماذا تكسب غدا وما تدري نفس بأي أرض تموت إن الله عليم خبير] “Sesungguhnya pada Allah itu pengetahuan tentang hari kiamat; Dia menurunkan hujan; Dia tahu tentang apa-apa yang ada pada rahim wanita; Tiada siapa pun tahu apa-apa yang akan diusahakannya esok hari dan tiada seorang pun yang tahu di bumi sebelah mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Luas PengetahuanNya.” Sebab itulah kita kena selalu bersedia; dan sebagai umat Islam, kita hendaklah percaya kepada Qadha’ dan Qadar. Kepada Allahlah kita pohonkan kekuatan untuk menghadapi segala kemungkinan di waktu mendatang.

Menentukan Tarikh Hari Kiamat: Apa Urusanmu?

Namun, sebagai umat Islam, kita prihatin dengan berita yang menggemparkan seluruh dunia. Kaum Maya di benua Amerika menjangkakan bahawa hari kiamat akan jatuh pada 21 Disember 2012 selari dengan berakhirnya kalendar kehidupan bangsa Maya di benua Amerika sehingga ada pihak yang sanggup menggambarkan hari kiamat dalam filem 2012. Ada jua pihak yang sanggup berbuat apa-apa sahaja menggunakan matlamat menghalalakan cara untuk lari daripada hari kiamat. Namun, segalanya sebenarnya menggembirakan mereka apabila tidak berlaku hari kiamat pada 21 Disember 2012.

Persoalannya, mereka mungkin tidak tahu bahawa jikalau hari kiamat berlaku pada tarikh tersebut, semua isi bumi dan angkasa yang Allah SWT ciptakan akan Allah gulung semula; hancur semua sekali; dan di sini ada satu soalan lagi, apa urusan kaum Maya Amerika untuk menentukan bahawa 21 Disember 2012 adalah hari kiamat sehingga kenyataan mereka menakutkan dunia dan menggugat keimanan orang Islam? Hebat sangatkah kaum Maya yang mempunyai ilmuwan seperti Nostradamus untuk mengalahkan pengetahuan Allah SWT dengan menentukan hari kiamat sedangkan Rasulullah SAW, kekasih sejati Allah SWT, pun tidak tahu bilakah hari kiamat?

Firman Allah SWT dalam Surah an-Naziat, [يسألونك عن الساعة أيان مرساها * فيم أنت من ذكراها * إلى ربك منتهاها] “Mereka (yang ingkar) bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat, “Bilakah waktu datangnya?” Apa hubungan tugasmu dengan (soal) menerangkan masa hari kiamat itu? Kepada Tuhanmulah terserah kesudahan ilmu mengenainya.” Tarikh 21 Disember 2012 sudah berlalu dan membuktikan bahawa bukanlah hari tersebut hari pengakhiran dunia (hari kiamat). Sudah terang lagi bersuluh.

Tentang hari kiamat, kita hanya diberikan tanda-tandanya sahaja untuk kita kenali, sama ada petanda itu kecil mahupun besar. Maka, Allah SWT berpesan kepada Rasulullah SAW dalam Surah an-Naziat, [إنما أنت منذر من يخشاها * كأنهم يوم يرونها لم يلبسوا إلا عشية أو ضحاها] “Sesungguhnya tugasmu (wahai Muhammad) hanyalah untuk memberi amaran kepada yang takut akan huru-hara hari kiamat tersebut; seolah-olah pada hari mereka melihatnya, mereka tidak lagi tinggal di dunia melainkan hanya sekadar sepetang mahupun sepagi sahaja.” Kita hanya perlu mengetahui tanda-tandanya sahaja sebelum hari kiamat sebenar datang kepada kita.

Bermacam-macam yang akan terjadi apabila kita semua dikumpulkan di Padang Mahsyar. Sebab itulah kita perlu selalu mempersiapkan diri dengan segala amalan yang membawa kita menuju redha dan syurga Allah SWT yang kekal abadi. Sebagai umat Islam, seperkara perlu diingati. Dunia ini syurga orang kafir dan penjara orang mukmin dan sebaliknya akan berlaku di akhirat nanti. (Pesan ini saya tujukan khusus buat diri yang selalu lupa dan bersalah.)

Menghitung Masa Lalu, Mengimpi Masa Hadapan

Sempena Hujung Tahun 2012 dan Tahun Baru 2013, marilah sama-sama kita mengingati diri sendiri bahawa sambutan Hujung Tahun 2012 dan Tahun Baru 2013 bukanlah untuk dirayakan dengan sepenuh kegembiraan, tetapi kita gunakan sambutan ini untuk bermuhasabah diri akan masa-masa yang kita tempuhi di tahun 2012 dan untuk merancang apa-apa yang kita azamkan di tahun 2013.

Memang menjadi hakikat dan umum memang mengetahui bahawa kita telah mengisi 2012 dengan kebaikan dan kegembiraan. Kita semakin hari semakin mendapat sahabat dan rakan baru di tempat baru dan dalam suasana yang baru. Kita juga merasa diri dirahmati Allah SWT dengan kejayaan cemerlang setelah Allah SWT uji kita dengan kepayahan dalam perjuangan.

Namun, kita semua perlu sedar dan jangan lupa bahawa dalam tahun 2012, kita turut menghadapi keburukan dan kesedihan. Kita banyak dosa kepada Allah SWT lalu kita terasa Allah membalasnya dengan pelbagai cara dengan harapan agar kita bertaubat dan agar dosa terus diampunkan. Kita jua semakin hari semakin kehilangan orang yang kita kasihi.

Ada waktu, kita ada sahaja kehilangan orang yang kita sayangi. Kepada semua yang mendahului kita, kita doakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh para al-Marhum dan al-Marhumah dan seterusnya menempatkan mereka bersama orang-orang yang mendapat syurgaNya.

Kita juga diuji dengan pelbagai kepayahan, tetapi kita masih merasa betapa diri ini tertimpa kegagalan sehingga menjerumuskan diri ke arah kekecewaan. Sedarlah, gagal sekali bukanlah bererti kegagalan yang abadi. Oleh itu, marilah kita terus bangkit berusaha dengan kudrat yang Allah SWT kurniakan untuk mencapai kejayaan yang diharapkan. Kepada yang telah dan sedang mencapai kejayaan, teruskan perjuangan mencapai kejayaan kerana kejayaan juga bukanlah kejayaan yang abadi. Pepatah Arab berkata, [الدهر يومان يوم لك ويوم عليك] “Setahun mengandungi dua hari; hari untukmu dan hari ke atas kamu,” atau secara Melayunya, “Hidup ini ibarat roda, kekadang di atas, kekadang di bawah.” Jangan putus asa kerana Allah sentiasa menemani perjuangan suci lagikan murni. Mengapa harus putus asa sedangkan masih ada yang sudi menemani?

Dari tahun 2012, setelah tibanya tahun 2013, marilah kita bina semula diri ini, kita tambah baik diri ini, kita kuatkan semangat, teguhkan tekad, teruskan perjuangan kerana perjuangan tidak akan tamat; yang menamatkan perjuangan hanyalah kematian.

Azam di tahun 2013 amat mudah – untuk menjadi yang lebih baik daripada tahun sudah berpandukan ajaran Islam dengan iringan rahmat dan redha Allah SWT. Setiap tahun, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menjadikan diri ini di waktu mendatang lebih baik dari waktu yang sudah. Mantan Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Seri Dr. Hasbullah Mohd. Taha pernah berkata dalam dasar pentadbirannya, dasar ‘Beyond Excellence’, “Tahun ini lebih baik dari tahun lepas, tahun depan lebih baik daripada tahun ini.”

2012: Suatu Kenangan

Tahun 2012 amat bermakna bagi diri ini apabila saya berjaya mendapat keputusan yang terbaik buat diri dan keluarga seterusnya menyumbang kepada peningkatan pencapaian sekolah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011; sekaligus melayakkan diri menyertai Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam program Asasi Bahasa & Kesusasteraan Arab.

Tahun 2012 juga menyaksikan betapa saya masih dihargai oleh warga pendidikan Islam negeri Sabah. Baru-baru ini, saya dijemput oleh sekolah untuk menyampaikan ucaptama dalam Program Pecutan Akhir Bahasa Arab SPM 2012 anjuran Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Negeri Sabah, di Institut Latihan Perindustrian (ILP), Kota Kinabalu, Sabah.

Tahun 2012 juga menyaksikan beberapa peristiwa yang membolehkan hubungan persaudaraan dan persahabatan diteruskan, dimurnikan dan dikekalkan meski ramai yang sudah merata hatta sudah sampai ke tanah perantauan antarabangsa seperti di China, Jordan dan Mesir. Saya – pada tahun ini – sudah boleh bermasyarakat (sedikit demi sedikit) dengan masyarakat Arab. Saya sangat beruntung apabila bahasa Arab diajar oleh orang Arab dari Sudan dan Mesir selain pengajar dari tanah air sendiri. Ilmu dan pengalaman mereka amatlah kita hargai. Nanti, InsyaAllah, saya dan sahabat-sahabat yang lain akan diajar pula mengenai bahasa dan agama Islam oleh orang-orang antarabangsa pula seperti dari China, Iraq dan Thailand selain orang Malaysia.

Banyak lagi kenangan manis yang saya boleh ceritakan sebenarnya. Tetapi, saya tidak mampu bercerita kesemuanya. Hanya Allah yang mengetahui segalanya dan kepadaNyalah dipanjatkan puji dan syukur yang tidak terhingga.

Namun begitu, kita tidak boleh nafikan bahawa kita mempunyai kenangan pahit dan buruk. Biarkanlah ia berlalu di persempadanan dan dikitab dalam lipatan sejarah sebagai ibrah di masa mendatang.

2013: Suatu Harapan

Sempena ketibaan tahun 2013, adalah menjadi harapan agar kita terus memperbaiki diri berbantukan taufik dan hidayah daripada Allah SWT. Hakikat mengubah diri amat sukar, seperti yang digariskan dalam Surah ar-Ra’d, yang boleh mengubah diri hanya diri sahaja.

Sempena 2013, semoga segala kebaikan dan amal jariah yang dilakukan pada tahun 2012 berterusan amalannya dan pahalanya di tahun 2013/1434 ini; dan semoga segala kejahatan dan maksiat yang dilakukan tahun sudah disempadani keampunan daripada Allah SWT dan keazaman untuk menjadi yang lebih baik.

Semoga persaudaraan dan persahabatan yang terjalin dan terlestari di tahun 2012, berteruskan kemurniannya dan ikatannya di tahun 2013. Jangan putuskan persaudaraan dan persahabatan ini kerana sudah takdir daripada Allah SWT bahawa setiap umat Islam yang beriman itu bersaudara. Takut-takut amalan memutuskan ukhuwwah ini membawa seseorang ke neraka kerana Rasulullah SAW bersabda, “Tidak akan masuk syurga orang yang memutuskan persaudaraan.”

Di Kesempatan Ini

Di kesempatan ini, saya dengan rendah hati memohon berbanyak keampunan dan kemaafan daripada semua atas dosa, salah dan silap diri ini. Saya sedar bahawa saya hanyalah insan biasa yang selalu berdosa. Namun, adalah menjadi azam diri ini untuk terus memperbaiki diri sendiri.

Di kesempatan yang berharga ini juga, saya dengan penuh takzimnya merakamkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada semua yang menghiasi kehidupan saya, menceriakannya dan mewarnakannya dengan warna-warna ukhuwwah seterusnya yang mendoakan kesejahteraan dan kejayaan saya pada tahun 2012/1433. Kepada keluarga, sanak-saudara, para pendidik, para sahabat dan semua yang mengenali dan mengasihi diri ini, sekalung penghargaan saya hadiahkan kepada kalian. Tanpa kalian, hidup saya yang tidak ada apa-apa ini seolah-olah tiada ertinya.

Akhir kalam, semoga Allah SWT mengampunkan dosa-dosa kita yang lalu, memberi ganjaran atas amalan-amalan baik masa lalu, membantu kita meneruskan kehidupan dengan taufik dan hidayahNya, menjauhkan kita daripada dosa dan maksiat dan mendekatkan kita kepada amal soleh dan amal jariah; dan semoga Allah SWT merestui kita selama-lamanya dengan rahmat dan kasih sayangNya.

Tuhan, Engkaulah yang Maha Pertama, Engkaulah yang Maha Dahulu dan Engkaulah yang Maha Abadi...

SELAMAT TAHUN BARU 2013

وصلى الله على النبي المصطفى
وعلى آله وصحبه وسلم تسليما كثيرا
والحمد لله رب العالمين

والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Salam hormat,
AWANG ABDUL MUIZZ BIN AWANG MARUSIN
31 Disember 2012


Comments