Duta SEMAI di Antarabangsa


Kontinjen Malaysia dan warga SEMAI yang hadir memberi
sokongan dalam PTPR Asia Pasifik 2012
(Gambar: Sdr. Mohd. Hairul Adhan Ruzan)

Puji dan syukur saya panjatkan ke hadrat Allah SWT apabila melihat junior-junior saya di SMKA Tun Ahmadshah (TUNAS) (dahulunya SMKA Inanam; SEMAI), Suhardi Hablee dan Muaz Mingu melonjakkan diri ke persada antarabangsa dalam aktiviti pelancaran roket, suatu aktiviti yang memerlukan penguasaan sains fizik dan sains angkasa yang tinggi. Saya fikir mereka sudah mencapai kebitaraan dalam bidang fizik pada tahap kebitaraannya yang tersendiri. Kata senior-senior SEMAI yang pernah menyertai acara yang sama, "Dulu, kita boleh bermimpi sahaja." Sekarang ini, saya faham dan saya kagum apabila mimpi yang 2004 dahulu, kini menjadi realiti di penghujung tahun 2012.

Penyertaan di peringkat antarabangsa sebenarnya adalah suatu rekod yang amat cemerlang bagi SMKA TUNAS kerana bukan mudah bagi SMKA TUNAS untuk menempatkan dirinya di persada antarabangsa. Oleh hal yang demikian, saya - yang kini tidak lagi menuntut di situ - turut berbangga atas kejayaan tersebut. Turut sama berbangga adalah warga SEMAI yang masih mahupun yang tidak lagi berada di SEMAI.

Semalam (9 Disember), beberapa orang senior SEMAI berjaya menghadirkan diri, menyaksikan Pertandingan Teknologi Pelancaran Roket (PTPR) Peringkat Asia Pasifik 2012 di SMK Putrajaya Presint 18 (1), Putrajaya. Saya pohonkan kemaafan atas ketidakhadiran tersebut. Namun, Alhamdulillah; saya dapat jua bertemu dengan mereka bersama jurulatih mereka, Pn. Hartini Asimin, di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP), Seksyen 5, Bangi, Selangor, pada Jumaat, 7 Disember. Saya harap kunjungan saya ke ILKAP sedikit sebanyak dapat menaikkan semangat mereka untuk bertanding. (Terima kasih kerana menerima saya di ILKAP, Jumaat lepas. Saya minta maaf salah silap saya sepanjang pertemuan tersebut.)

Saya dan kontinjen SEMAI

Terima kasih saya kepada mantan Premier SEMAI (2005), saudara Mohd. Hairul Adhan Ruzan, kerana mengkhabarkan saya tentang kejadian dalam pertandingan tersebut. Terus terang. Mereka kali ini tiada rezeki; namun, sebenarnya itulah kejayaan kerana bukan mudah untuk seseorang melonjakkan diri ke astaka antarabangsa. Penyertaan mereka sebenarnya membuktikan bahawa mereka dan SEMAI sudah diantarabangsakan. Dalam erti kata yang lain, SEMAI kini sudahpun menintakan lembaran sejarah kejayaan di persada antarabangsa; juga mereka kini berjaya mendutakan diri mereka dalam sains fizik. Merekalah itu duta SEMAI di antarabangsa.

Tahniah, Cikgu Hartini, kerana berjaya melatih Suhardi dan Muaz membitarakan diri dalam sains fizik dan sains angkasa sehingga mereka berjaya menempa nama di peringkat antarabangsa. Cikgu sendiri pun sebenarnya berjaya mencipta rekod antarabangsa bagi Cikgu. Itulah kenangan terindah bagi SEMAI/TUNAS pada penghujung 2012.

Suhardi, Muaz; jangan kecewa setelah nasib tidak menyebelahi; saya tahu bukan mudah untuk seseorang menyertai aktiviti peringkat antarabangsa. Penyertaan di peringkat antarabangsa - bagi saya - adalah suatu kejayaan sebenarnya. Tahniah, kalian. Kalian amat beruntung di saat itu. Semoga kejayaan itu menjadi teladan untuk melakar kejayaan di masa hadapan; dan semoga ilmu itu bermanfaat dan dapat dimanfaatkan kemudiannya kepada setiap yang mewarisinya pada waktu mendatang.

Dalam melakar kejayaan ini, penghargaan perlu diberikan kepada guru kita, Pn. Nor Sapura Abdul Rahman dan suami, En. Veddin Ismail. Ilmu dan nasihat mengenai teknologi pelancaran roket datangnya dari mereka. Mereka berjaya melatih ramai pelajarnya dalam bidang ini bertahun lamanya sehingga satu persatu kejayaan dalam bidang ini dilakar sekaligus memungkinkan SEMAI/TUNAS muncul sebagai sekolah yang bitara dan disegani dalam bidang yang sedemikian rupa.

Akhirnya, sebagai bekas pelajar SEMAI (dan SMKA Kota Kinabalu; SMKAKK), saya amat menyokong penyertaan sahabat-sahabat saya dalam semua aktiviti peringkat negara juga antarabangsa. Saya lebih gembira jika kejayaan dapat dilakar di sana; dan dan sebagai pelajar (juga pemimpin pelajar) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), usaha pengantarabangsaan amatlah saya dukung tinggi. Pengantarabangsaan (bagi UIAM) adalah salah satu misi dalam memajukan universiti selain misi Intergrasi, Islamisasi dan Kecemerlangan Komprehensif. Maka, tidak salah bagi saya jika misi tersebut dilaksanakan oleh warga UIAM di luar UIAM kerana konsep-konsep yang diterapkan dalam IIICE secara umumnya adalah universal dan tidak terhad kepada UIAM sahaja.

Tahniah, SEMAI/TUNAS! Meski nasib tidak menyebelahi, namun SEMAI/TUNAS tetap melakar sejarah, berdiri di persada antarabangsa dalam aktiviti teknologi pelancaran roket. Saya bangga dengan pencapaian sebegitu rupa. Terima kasih, Allah, atas kasih sayangMu.

Comments